Sunday, December 2, 2007

CERITAKU DI PENANG

Menelusuri lebuhraya menuju ke Pulau Pinang, setepatnya ialah USM bersama ahli PKPIM memberi kesempatan kepadaku untuk mengenali adik-adikku dengan lebih dekat lagi. Pada satu tempat dalam perjalanan kami, berlaku tragedi tanah runtuh di seberang jalan. Alhamdulillah, kami selamat kerana tidak berada di seberang jalan tersebut.

Pendahuluan ucapan berupa pengalaman di atas, menjadi pendahuluan ucapan ku pada hari ahad yang lalu sempena kepulangan awal yang terpaksa daripada Program Latihan Aktivis Belia anjuran TERAS , Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Mana tidaknya, aku diminta memberi ucapan sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Isi kandungan ucapanku hanya bermodalkan tentang mensyukuri nikmat, kuliah yang pernah ku hadiri dan disampaikan oleh Dr. Farid Shahran suatu ketika dulu. Ditambah sedikit dengan tanggungjawab remaja melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan bukannya menjadikan orang lain sebagai idola sewenang-wenangnya, dan ucapan ku diakhiri dengan kata-kata dan pantun ini :

Kata-kataku bukannya mutiara,
Bukan juga emas mahal berganda
Sekadar butiran tiada nilainya
Buat menyampai rasa, menyemai cinta
Buat menyentuh hati hambaNya.

Kalau ada hajat yang panjang
Boleh saya mai lagi
Kalau ada hasrat yang panjang
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Serba salah diriku dibuatnya, mahu tudak mahu terpaksa juga meluahkan kata-kata di khalayak ramai, khalayak ramai yang terdiri seawal usia 13 tahun sehingga 50 tahun ke atas, yang terdiri daripada penulis, pendakwah bebas dan pemimpin GAMIS UTP. Siapalah aku untuk berucap jika dibandingkan dengan mereka.

Sedikit ceritera pengalamanku sepanjang program;
Perjalanan yang agak jauh dan waktu siang yanag panjang memaksaku untuk tidur di sepanjang perjalanan, mana tidaknya sebelum ini kebiasaan ku mengambil bas waktu malam untuk suatu perjalanan yang jauh bukannya siang yang terang benderang. Masa di dalam bas sebelum tertidur aku luangkan berbual dengan Nadiah. Berbaloi juga perjalanan itu kerana untuk mengenal seseorang seharusnya dengan mengembara bersama-sama.

Setibanya di Desasiswa Saujana, USM aku dikejutkan dengan kehadiran teman-teman KPIJ dan yang paling menggembirakanku ialah kehadiran adinda Kartini Sulaiman yang sudah lama tidak ku temui. Gembiranya kami bukan kepalang. Sepanjang program berjalan, aku sempat mengenali anakanda Presiden TERAS, Ilham namanya. Masih muda, berusia 20 tahun dan dalam dua tahun lagi akan melanjutkan pelajaranya di USA. Mengenali seorang penulis wanita yang seusia denganku namun enggan memberikan nama penanya, selain mengenali seadanya seorang pendakwah bebas dan seorang ahli GAMIS UTP. Yang pasti bagiku, semua yang menghadiri program ini hebat-hebat belaka.

Nakalnya aku apabila melarikan diri dari program pada hari Sabtu, 24 November 2007 bersama teman-teman KPIJ untuk menghadiri walimah Sdr. Arifuddin Asmuni dan Sdri. Munirah di Alor Setar Kedah. Sehari suntuk perjalanan cukup meletihkan. Namun puas kerana dapat meluangkan masa sepuasnya dengan adinda Kartini atau Deq Ni.

Pendidikan kepenggunaan untuk berdakwah dan peranan belia menjadi agen perubah masyarakat menjadi objektif program. Setuju atau tidak memang belia mempunyai peranan mengubah masyarakat. Sepanjang program, peserta didedahkan dengan segala isu berkaitan kepenggunaan, dari isu hedonisme sehinggalah isu dadah dibincangkan. Seolah-olah dunia ini sudah dipenuhi segala macam masalah dan penyakit. Pening juga kepala memikirkan apa ubat untuk semua masalah dan penyakit ini.

Namun satu yang pasti, ketakpuashatian aku tentang suatu tulisan artikel yang diedarkan secara sengaja kepada peserta tentang kelemahan SEMUA gerakan pelajar. Penulisan yang bagus tetapi tidak begitu sesuai untuk diedarkan kepada
golongan remaja yang masih baru mengenali apa itu gerakan pelajar. Setuju atau tidak, kecewa atau tidak terpulang kepada pembaca tulisan tersebut, bergantung kepada SIAPA yang membaca dan menganalisis isi kandungan tulisan tersebut. Bukan alasan bahawa aku sekarang sedang bergiat dengan sebuah gerakan pelajar, tetapi secara amnya tidaklah molek pendapat penulis itu disebarluaskan. Bagaikan membuka pekung di dada dan menunjukkan bahawa ‘mereka’ yang mengedarkannya lah yang ‘paling betul dan hebat’.

Apa-apapun tanggapan mereka terhadapku, yang pasti aku bukan bersikap ‘memilih’ orang. Sudah ku buktikan bahawa jika mahu bergerak, bergeraklah kerana Islam dan Allah semata, bukan kerana jawatan dan organisasi yang diterajui. Bukan memilih atas dasar aku dan kau mesti berasal dari satu pasukan yang sama menggunakan jalan dan cara yang sama barulah boleh bergerak. Walaubagaimanapun, program kemasyarakatan seperti ini harus ditambah dan diadakan lagi pada masa hadapan agar kesiapsagaan belia menangani isu kepenggunaan secara langsung boleh dilaksanakan.

Akhirnya,
Perjalanan pulangku ke Kuala Lumpur bersendirian dan kecederaan ringan yang harus ditanggung setibanya aku di Gombak perlu dihadapi dengan sabar.

‘Terima kasih kepada adinda Adam dan Hanan yang sudi menemaniku di stesen bas tempoh hari dan mantan pimpinan PKPIM USM yang menjadi urusetia program serta semua peserta yang sudi melayan karenah ku yang ‘gila-gila’ sepanjang program-sengaja kerana ku lihat ada jurang personality yang ketara antara para peserta akibat perbezaan usia’

Pengembaraan ke Pulau Pinang kali kedua dalam tempoh tiga tahun di Kuala Lumpur.

26 November 2007
12.58 malam


No comments: