Sunday, December 2, 2007

Biar dibenci, jangan berhenti memberi

Ibu mithali ibu sejati menjadi tema Anugerah Ibu Mithali kali ke-9 tahun ini. Program yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islam Islamiah Malaysia (YADIM) dengan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 21 November 2007 dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat. Ucapan oleh dua orang pemimpin iaitu YBhg. Datuk Hj. Mohd. Nakhaie B. Hj. Ahmad, Yang Dipertua YADIM dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Ibu Mithali memeriahkan lagi majlis tersebut. Persembahan lagu Ibu Mithali dan Syurga di Telapak Kaki Ibu oleh Aisyah menghiburkan hadirin.

Anugerah tahun ini diterima oleh Hajah Esah Binti Din yang berasal dari Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah. Beliau mempunyai 17 orang anak, masing-masing 13 orang daripadanya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan menjawat pelbagai jawatan tinggi. Apa yang menarik tentang personaliti beliau ialah kegigihan beliau mengahrung kapayahan hidup bagi memastikan setiap anaknya mendapat pendidikan. Beliau sendiri buta huruf dan tidak mahu melihat anak-anaknya ketinggalan dalam pelajaran. Walaupun semua anaknya sudah boleh berdikari dan dia boleh hidup senang, namun sifat pemurah dan suka membantu menjadikan beliau tidak senang duduk di rumah. Ada saja pekerjaan yang akan dilakukannya membantu penduduk kampung sehingga mendapat gelaran “Menteri Kebajikan”. Prinsip beliau ialah biar dibenci jangan berhenti memberi. Apa yang pasti, keikhlasan beliau membantu tanpa ada jawatan rasmi harus dicontohi oleh masyarakat.

Beberapa persoalan timbul di minda, jika dilihat tahun perkahwinan sembilan finalis Anugerah Ibu Mithali dan bilangan anak mereka, penulis kira kriteria untuk Anugerah Ibu Mithali 10 hingga 20 tahun akan datang akan berbeza. Finalis-finalis ibu mithali tahun ini rata-rata berkahwin pada usia yang muda dalam lingkungan usia 13 hingga 22 tahun. Jika diperhatikan situasi masa kini, ramai wanita yang memilih untuk berkahwin pada usia 20 tahun ke atas, bilangan anak pun lebih kurang dalam 4 hingga 8 orang anak sahaja. Perkara berkahwin pada usia lanjut ini dipengaruhi oleh kepesatan teknologi, ekonomi dan persaingan pasaran kerja. Jika dulu, wanita perlu menoreh getah seawal 5 pagi, namun kini perkara itu diimbangi dengan persaingan pekerjaan di sektor swasta dan awam. Setiap masa harus menghadap manusia dan mesin.

Setelah Negara mengecap 50 tahun kemerdekaan, fungsi wanita menjadi pelbagai. Wanita 50 tahun dahulu terpaksa bertungkus lumus memastikan anak-anak mendapat pendidikan sebaik mungkin, namun wanita 50 tahun kemudian ini harus mengharungi cabaran persaingan ekonomi dalam sektor pekerjaan dan persaingan untuk memastikan keberlangsungan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi kerana pendidikan asas sudah mampu dimiliki semua. Wanita perlu menjalankan pelbagai tanggungjawab pada masa yang sama; tanggungjawab sebagai seorang anak, sebagai seorang mahasiswa, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai pekerja, sebagai pemimpin masyarakat atau pemimpin organisasi. Wanita kini harus bersifat multidimensi sepertimana Saidatina Siti Khadijah, beliau lah isteri, ibu dan pada masa yang sama juga ahli perniagaan. Remaja wanita kini jangan hanya terpesona dengan keseronokan dunia, namun cabaran untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran harus menjadi cita-cita selain memastikan kita pakar dalam bidang masing-masing agar apabila berada di alam dewasa, kita berupaya bersaing dengan pelbagai golongan masyarakat.

Remaja perlu menyahut cabaran untuk menjadi insan bersuadaya; jiwa dipenuhi dengan ilmu, iman dan amal dan mempunyai pelbagai pakej kemahiran selain mempunyai daya saing dan juang yang tinggi. Memetik kata-kata Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, ‘wanita biar menjadi insan yang melangsungkan jejak bakti ummul mukminin pada zaman silam’. Melihat kondisi remaja wanita kini, pastinya kualiti remaja akan dipertikaikan. Istilah manja bagai sinonim dengan arus kehidupan remaja masa kini yang dikelilingi kemewahan duniawi. Sedangkan jika diperhatikan sebenarnya, terlalu banyak cabaran yang harus mereka tempuhi untuk meneruskan survival diri di segenap penjuru kehidupan bermasyarakat. Jika remaja leka dan lalai dengan gejala sosial di luar sana, pasti mereka akan tersungkur di pintu kampus mahupun tersungkur sebelum memasuki gerbang pekerjaan. Kebimbangan terhadap gejala sosial sepertinya menjadi indikator kepada masa depan wanita khususnya dan negara amnya. Hakikat bahawa wanita masih merupakan bilangan majoriti yang menyumbang kepada tenaga kerja negara patut dibanggakan, namun peringkat umur wanita yang menjawat jawatan ini harus dilihat sebagai penunjuk kepada di mana letaknya wanita-wanita muda yang bakal meneruskan keberlangsungan kemajuan negara.

Justeru itu, kesedaran ibu bapa dalam mendidik anak remaja mereka agar melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan bukan ilmu untuk lulus peperiksaan semata-mata harus dipupuk semenjak di bangku sekolah lagi. Persiapkanlah anak remaja dengan modal seperti ilmu, kemahiran dan budi pekerti yang sesuai dengan mereka agar pembangunan insan berjaya dicapai dalam 50 tahun akan datang.

No comments: