Saturday, October 3, 2009

MENJEJAKI KASIH SAYANG



Tahun 1997, itulah kali terakhir aku menjejaki keluarga di Sekuduk, Kalimantan Barat. Cucu sulung Nek Wan ini menjejaki kasih sayangnya semula tahun ini, 2009 setelah dua belas tahun meninggalkan kampung halaman. Hanya cucu sulung Nek Wan ini sentiasa tidak berkesempatan untuk bersama ketika aktiviti pulang ke kampung berlaku. Akhirnya, hajat hati ini termakbul berkat doa Nek Wan juga yang mengimpikan agar tujuh orang anaknya berkumpul di pagi Aidilfitri buat kesekian kalinya selepas kematian Tok Wan beberapa tahun lalu…

PENGEMBARAAN BERMULA

Bas Biaramas Miri-Serian-Pontianak beransur meninggalkan Bandar Miri jam 5 petang, 16 September hari Rabu. Kelebihan memiliki passport individu dan akibat hanya lima orang mampu dimuatkan untuk perjalanan yang memakan masa hampir dua hari; bukan dua jam dalam sebuah kereta kenari menyebabkan aku terpaksa pulang ke kampong halaman bersendirian tanpa keluarga ditemani oleh seorang saudaraku. Jam 8 pagi bas sampai di Serian dan jam 10 pagi barulah bas yang lain mengangkut kami terus ke Pontianak melalui sempadan imigresen Tebedu-Entikong. Setibanya di Pontianak selewat jam 8 malam hari Khamis memaksa kami untuk bermalam sebelum keesokannya perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda selama lebih kurang 5 jam lagi sebelum benar-benar sampai di destinasi tujuan. Dua malam satu hari barulah sampai di kampong halaman, tempoh perjalanan yang memakan masa yang sama jika mahu ke Jakarta menaiki kapal laut. Nasib baik aku bukan seorang yang mudah mabuk angin walau dalam keadaan penat sekalipun. Ini (Video 1) perjalanan ku untuk sampai ke kampong. Jika dilihat keadaan jalan raya di sana, terutama jalan masuk ke kampong, seronok rasanya jika para mat rempit Malaysia merempit di jalan yang sedemikian rupa dan mungkin bisa menginsafkan mereka agar bersyukur dan menggunakan nikmat Tuhan dengan sebaiknya.

Berjujuran airmata pastinya, dipeluk cium diri ini oleh Nek Wan dan tiga orang mak cik ku di rumah. Rumah Nek Wan yang bersebelahan dengan Madrasah Ibtidaiyah Negeri, rumah papan dengan empat bilik tidur, berhalaman dipenuhi bunga dan tanaman selain dilengkapi kebun getah kecil di belakang rumah cukup menggamit nostalgia dulu. Sungguh jauh berubah berbanding 12 tahun lepas, jalan sudah bersimen tetapi aku lebih suka memori berkaki ayam di atas tanah liat kuning kering kontang dan licin apabila dibasahi hujan cukup aku rindukan. Hari Jumaat, 18 September aku berada di kampong secara rasmi. Lewat petang baru dikhabarkan bahawa keluargaku akan tiba dengan kereta Kenari seawal tengahari keesokannya, hari Sabtu akibat ada sedikit masalah di Imegresen; rupa-rupanya akibat pegawai yang kurang bertanggungjawab. Dengan kesibukan untuk menyambut raya Ahad keesokannya, Keluargaku tiba pada tengahari Sabtu di kampong. Petang itu juga rumah Nek Wan mula dipenuhi sanak saudara yang ingin menemui kami sekeluarga. Adik lelaki ku kepenatan, kebetulan itulah pertama kalinya memandu sejauh itu ke kampong. Tayar kereta sempat ditukar sebelum sampai ke Serian, nasib baik dia sudah biasa dengan masalah-masalah berkaitan kereta. Alhamdulilah pengalaman bermakna katanya.

RAHMAT AIDILFITRI

Pagi raya, Ahad, 20 September merupakan hari yang sayu dan menggembirakan. Deraian air mata tumpah di setiap wajah-wajah yang bertandang ke rumah Nek Wan, semua anak Nek Wan seramai tujuh orang kecuali Pak Su (21 tahun) sahaja yang belum berumah tangga. Pak Su yang usianya muda dariku tapi pangkatnya dalam keluarga lebih tinggi harus ku hormati. Ku hitung satu persatu cucu Nek Wan, rupanya sudah ada 14 orang semuanya dan aku cucu sulung pastinya, ini kerana ibuku antara anaknya yang menikah paling awal. Nek wan yang ku kenali sangat tabah orangnya, itulah sikapnya yang ingin aku contohi. Dia tidak pernah mengeluh walau apa pun musibah melanda, teringat ku semasa salah seorang anaknya sakit tenat dan dengan wajah tenang dibiarkan saja tanpa banyak bicara. Dia tau dan pasrah. Kini, luarannya Nek Wan masih sihat, Cuma mungkin jika tertekan, badannya akan cepat masuk angin. Nek Wan mula tinggal seorang di rumah selepas Pak Su meninggalkannya untuk menyambung Pelajaran di Universitas Islam Negeri (UIN Jakarta) dalam bidang Pendidikan. Selepas itu, anaknya yang keempat menjaga makan minumnya. Paling aku sukai ialah melayan gelagat anak-anak saudara yang rata-rata berusia 3 hingga 10 tahun. Rumah itu riuh hanya kerana suara-suara cilik itu. Sepinya rumah itu hanya kerana Tok Wan sahaja yang sudah tiada.

Selama beberapa hari di kampong, perancangan sudah diatur untuk memaksimumkan keberadaan ku di sana. Namun, hampir 80 % masa yang ada dihabiskan di rumah Nek Wan di samping menziarahi rumah sanak-saudara. Ada hampir 100 buah rumah di sekitarnya, yang aku tau ada hulu ada hilir (jumlah itu belum termasuk yang di tepi laut dan lain-lain). Rumah Nek Wan ku di hulu, itu aku pasti. Aku hanya menziarahi keluarga terdekat yang mengenali kami sahaja, yang lainnya tau sendiri untuk bertandang ke rumah Nek Wan bertemu kami. Rasanya, Aidilfitri kali inilah rumah Nek Wan tidak putus-putus dikunjungi tetamu sehinggakan ibuku kepenatan walaupun hanya duduk sahaja melayan tetamu. Ala YB ada juga lagaknya ibu dan Nek Wanku. Akibat masalah pengangkutan, perancangan gempakku untuk menghabiskan masa di Sambas (pekan utama yang terdekat dari kampungku) terpaksa dibatalkan. Pengangkutan utama hanya motosikal dan perahu tambang, tanpa salah satu tidak akan bisa keluar jauh dari kampong. Keadaan jalan yang agak mengerikan dan ku kira sedikit merbahaya di jalan yang bukan jalan berturap mematikan niatku. Aku Cuma berkesempatan ke Sambas kerana niat ku hanya untuk mencari khazanah keluarga yang baru sahaja ku ketahui…

MENYELAM SAMBIL MINUM AIR

Ingin ku ceritakan sedikit pengalaman paling manis apabila anak saudara sulung kepada Pak De; Esy membawaku berjalan-jalan ke tempat-tempat menarik. Seperti biasa, apabila berada di tempat yang baru pertama kali dikunjungi; aku mesti mencari masjid (cuba untuk solat jika berkesempatan), muzium (untuk mengetahui sejarah kawasan tersebut) dan makanan paling istimewa yang tiada di tempat lain. Alhamdulillah aku sempat melaksanakan ketiga-tiga tips mengembaraku ini. Aku sempat ke Kraton (Muzium) Sambas. Hanya terdapat gambar pengasas Sambas Sultan Muhammad Safiudin dan Pangeran Sambas dipamerkan. Dimaklumkan kepadaku bahawa Pangeran Sambas baru sahaja meninggal dunia dan kini tempatnya diwarisi oleh anak lelakinya yang masih muda. Kebanyakan bahan sejarah di situ dipindahkan ke Kraton Pontianak, yang tinggal hanya gambar-gambar dan meriam ajaib. Teks-teks sejarah juga tiada untuk dibaca, maka aku harus mencari sendiri maklumat tentang sejarah Sambas. Keadaan serba kekurangan ini menyebabkan aku ingin benar ke kraton Pontianak, lagi-lagi bila khazanah keluarga tidak juga ku temui. Seterusnya, perjalanan hampir 3 jam ke Pulau Simping memang pengalaman pertamaku menaiki motosikal (walaupun hanya dibonceng) paling lama dalam hidupku. Pergi balik sahaja hampir 6 jam. Sempat istirehat dan solat di Masjid Pemangkat yang masih dalam proses pembinaan sebelum tiba di Pulau jam 4 petang. Panorama yang indah dilengkapi dengan Zinka Zoo ala Safari di atas bukit menghilangkan rasa penat kami. Sebelum pulang ke rumah Pak De aku berkesempatan memakan Pecel Ayam atau Nasi Ayam Penyet di pekan Sambas. Sampai di rumah Pak De, jam menunjukkan 10 malam. Akibat perjalanan yang jauh itu, otot badanku sakit berhari-hari. Namun, ada beberapa perkara yang aku perhatikan di sepanjang perjalanan :

1. Hampir 90 % papan iklan dimonopoli oleh iklan rokok dan rangkaian telefon. (Selain itu, Syarikat rokok merupakan penaja utama iklan televisyen Indonesia selain Mi Sedaap)

2. Hampir semua rumah memiliki parabola.

3. Hampir setiap 3 km, masjid (bukan surau) didirikan. Keadaan yang berbeza (kurang masjid) jika melalui Entikong dan jalan raya sebelum masuk ke Sinkawang.

4. Tiada pusat membeli belah, hanya ada pasar atau pekan sahaja. Jika ada pun di Pontianak.

5. Perniagaan di pekan antaranya ialah warung serbaguna, warung makan, menjual solar (minyak diesel), kedai baju, kedai HP, kedai emas dan bengkel.

6. Jalan raya utama hanya ada satu sahaja. Jadi, sangat mudah untuk mengingat dan mengenal jalan walaupun anda memandu sendirian untuk pulang ke Sarawak.

7. Tiada penguatkuasaan jalan raya. Nasib baik, halem (topi keledar) wajib dipakai. Hon merupakan ‘polis trafik’ yang paling efektif.

PERJALANAN PULANG

Dari pekan Sambas, Ahad jam 2 petang; bas menjemput aku dan seorang teman di rumah kawan ibu. Bas tiba di sempadan tebedu jam 2 pagi. Kami terpaksa menunggu jam 5 pagi waktu pejabat Imigresen dibuka. Aku sempat menunaikan solat Subuh di masjid Entikong. Tidak ku duga ada hampir satu ribu orang beratur untuk memasuki Sarawak yang rata-ratanya pekerja. Kebetulan cuti umum Aidilfitri sudah tamat. Aku bernasib baik menjadi antara orang terawal beratur untuk urusan imigresen. Yang amat ku kesali ialah kepincangan pengurusan bahagian imigresen Tebedu. Dengan promosi ‘sistem lambat dan system laju’ yang ku fahami sama saja dengan rasuah berlaku di depan mata dan didengari telinga ini cukup menyedihkan. Tangisan anak kecil kepenatan beratur menanti ibu bapa mereka paling aku kasihani. Empat kaunter untuk hampir satu ribu, tidak mungkin siap dalam tempoh sejam pastinya. Aku sendiri pernah mengendalikan pendaftaran untuk tiga ribu peserta dengan 15 kaunter dan siap dalam tempoh satu jam, inikan pula empat untuk seribu. Seorang memakan masa satu minit! Di mana keadilan, kebijaksanaan dan kejujuran ketika itu, langsung tiada integriti. Jika dibiarkan sistem seperti itu maka akan rosak teruk dan kemudian langsung tidak bisa dibaiki lagi. Biarlah keadilan itu pahit awalnya tetapi untuk kesenangan masa depan semua nantinya. Pada saat ini aku masih tertanya-tanya siapa yang harus dipersalahkan. Selesai urusan di kaunter imigresen, dalam perasaan yang amat mengecewakan aku pergi mendapatkan bas untuk terus ke Miri. Baram Ekspress sahaja yang terbaik saat itu yang ada, walaupun perlu membayar RM 70. Bas hanya dapat bergerak setelah siap menanti yang lain selesai urusan imigresen pada jam 11 pagi, rasa-rasanya hanya aku seorang pemegang passport Malaysia. Terfikir juga, kalau ada warga Malaysia terlepaslah warga Indonesia di’minta-minta’ oleh polis di pos pemeriksaan tepi jalan. Selewat jam 11.30 malam aku sampai di terminal bas Miri. Kepenatan terus mencengkam jiwa lantaran sehari sebelum kembali ke BUmi Kenyalang aku jatuh sakit namun ku gagahi juga kerana tiket pulang sudah tiada. Sekali lagi aku kecewa kerana misiku untuk menemukan naskhah Al-Quran pertama di Sambas hasil tulisan tangan moyangku Nek Hadran tidak ku temui..kegagalan misi ini mungkin akan menjadi pendorong kuatku untuk menjejakinya di kemudian hari. Menjejaki kasih sayang sangat payah, namun kemanisan pertemuan dan perpisahan hanya Tuhan yang tahu rahmat dan hikmahnya. Ku serahkan kembali kasihku padamu Tuhan untuk kasihku kepada mereka yang ku sayangi..



GAMBAR KENANGAN





No comments: