Sunday, May 11, 2008

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

Individu adalah pemimpin untuk dirinya sendiri. Jika konsep ini tiada, maka istilah pemimpin tidak wujud apatah lagi istilah khalifah. Justeru, kita harus memahami bahawa sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang dipilih dalam majlis syura. Syura berlaku untuk memilih pemimpin tertinggi dan juga pemimpin bawahan. Syura dalam erti kata rundingan bukanlah bermaksud kedaulatan ada pada insan, tetapi kedaulatan dalam syura ada pada Allah.

Beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian dalam konsep kepimpinan daripada hadis berikut;Janganlah kamu menuntut kepimpinan. Maka jika kamu diberikan jawatan kepimpinan kerana kamu menuntutnya, maka kamu akan dibiarkan dengan keupayaanmu sendiri; dan kalau kamu dikurniakannya tanpa menuntut, maka kamu ditolong oleh Allah , maka jadilah urusan itu tidak memberatkan diri. (Hadis Bukhori-Muslim, Riwayat Abd. Rahman B. Samurah)

Hadis ini menjawab persoalan pemilihan pemimpin dalam syura adalah berlandaskan kepada keredhaan Illahi bukan pada insan semata-mata. Pengikut harus menerima keputusan syura dengan hati terbuka, yakin hanya pada Allah dan bukan meletakkan kayu ukur hanya pada manusia. Dalam buku Generasi Muda dan Perubahan, Ustaz fathi Yakan menyebut bahawa setiap pemimpin mempunyai kemampuan dan persiapan yang berbeza di antara individu yang berlainan dan perkara ini adalah suatu tabii dan realiti. Kepimpinan boleh lahir secara semulajadi dan ada yang boleh diusaha atau dibentuk. Menurut beliau, seseorang calon pemimpin perlu memiliki sifat-sifat asas seperti indhibati, ibdai’i dan berjihad.

Persiapan indhibati (Boleh disusun atur) ialah sifat individu yang sentiasa bersedia menerima arahan. Penerimaan arahan adalah persediaan kejiwaan dan fikiran untuk terikat dan berpegang teguh (iltizam). Tanpa sifat ini, hilanglah unsur ketaatan dan lenyaplah unsur bersedia menerima dan melaksanakan. Akibatnya, hancurlah sesebuah struktur organisasi dan pemimpin.

Persediaan Ibdai’i (Memberi/ produktif ) merujuk kepada sifat ibda’ yang ertinya memberi dan melahirkan natijah. Sifat ini menjadikan pemuda sebagai pelopor dalam masyarakatnya bukan pengekor semata-mata, yang bergiat cergas dan bukannya malas dan menjemukan. Islam tidak memerlukan golongan yang hanya bergerak apabila diketuk dan ditekan kerana keperluan hari ini amat mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Islam dan bukan Islam memikul mereka.

Persediaan Jihad secara umumnya ialah sifat bersedia berkorban jiwa, harta dan segala sesuatu. Tidak pernah jemu dan lesu, tetapi terus bersemangat juang tinggi. Begitulah antara sifat-sifat asas yang perlu ada pada pemimpin yakni generasi muda yang memainkan tugas perubahan. Amanah melaksanakan tugas perubahan tidak boleh tidak berada di bahu generasi muda. Oleh itu, generasi muda perlu sentiasa cerdas dan iltizam tinggi dengan agama Allah Taala. Jadilah hamba yang berupaya memimpin diri dan masyarakat untuk menjadi hamba yang juga taat kepadaNya.

Sumber :
Syura, Muhammad Uthman El-Muhammady
Generasi Muda dan Perubahan, Fathi Yakan

DIARI

Semalam (Sabtu), setelah sekian lama tidak bersendirian di rumah, akhirnya aku ditinggalkan sendirian. Alhamdulillah, ditemani tiga ekor ‘hamster’ yang comel; permintaan teman lama yang harus menjalani praktikal hampir dua bulan di Borneo. Sebelum ini pun aku pernah menjaga ‘mereka’, kini setelah sekian lama, harus dipelihara sekali lagi. Pastinya, teman-teman sepejabat yang paling gembira, jika mahu membeli pasti tidak mungkin. Syukur dapat lihat yang ini, kata mereka. Semua mahu memelihara ‘ mereka’, lucu juga melihat keletah teman-teman yang juga adik-adik seperjuanganku.

Sedikit ceriteraku pada hari Sabtu minggu ini, kesempatan meminjam komputer riba teman serumah membolehkan aku berkongsi diari minggu ini. Kegembiraan dan ketakutan, dua dalam satu bercampur. Gembira kerana dapat meluangkan sedikit masa di FEDEC untuk menghadiri Kursus Fasilitator Bengkel Keselamatan Diri Remaja, yang dikendalikan oleh Kak Sham dan Auntie Am dari Sarawak. Melihat wajah mereka Alhamdulillah memberi semangat baru padaku.Mentor atas anginku, Kak Sham mana mungkin dilupakan. Banyak input yang diterima, cuma ‘output’nya nanti yang ditakuti untuk diimplementasikan. Sedikit terkilan kerana terpaksa meminta izin ke Muktamar kampus tanpa meninggalkan pesan kerana khabarnya Kak Sham dan Auntie Am pulang esoknya. Ketakutan dirasai sepanjang pemanduanku seorangan ke Gombak, ditakdirkan Allah, aku sedikit tersesat (kesesatan paling singkat pernah ku tempuhi) tetapi hakikatnya aku sudah terlambat daripada masa yang ditetapkan. Tawakaltuhialallah.

Setibanya di destinasi tujuan, sah aku terlewat. Walaubagaimanapun, terpaksa menggagahkan diri menerima permintaan teman-teman muslimat untuk aku meneruskan tanggungjawab yang tergendala sebelumnya. Uh, ucapan di khalayak ramai yang dihadiri mereka yang ku kira hebat dan berpengalaman daripadaku merupakan sesuatu yang paling tidak kusenangi. Entah apa implikasi dan reaksi daripada ucapanku itu, ku serahkan saja padaNya yang memandu butiran kata yang terbit dari bibir ini. Pertemuan dengan Kak Shida juga menggembirakan, mungkin akibat kepenatan, masing-masing tidak berkesempatan untuk berbual lama.

Hujung bulan ini, ada beberapa orang seniorku yang akan melangsungkan perkahwinan. Tarikh sama cuma tempat sahaja berbeza. Jika melebihi satu majlis, pasti payah untuk membahagi badan menghadirinya. Alhamdulillah dan tahniah di atas pernikahan masing-masing.

Bulan ini, kehidupan ku rasakan agak bercelaru, tetapi harus bersedia kerana hari-hari yang mendatang menjanjikan kepenatan yang amat untuk melangsaikan amanahku. Aku harus lebih fokus dan tidak dipengaruhi emosi dan masalah-masalah yang mengelilingi kehidupanku. Terima kasih pada Allah kerana menghadiahkan teman-teman di sisiku

Wednesday, May 7, 2008

PERKONGSIAN

Bab Ketiga : Pada menyatakan menjauh segala maksiat yang zahir
Hidayatus Salikin (Petunjuk jalan bagi orang yang takut kepada Allah Taala)

Terkadang mengumpat itu diharuskan oleh syara’ jika membawa maslahat pada syara’, iaitu pada enam tempat :

1. Mengata akan kejahatan orang yang menzalimakan dia kepada kadhi, atau kadhi menzalim akan dia maka diadukannya kejahatan itu kepada sultan supaya dihukumkan oleh sultan akan kadhi itu.
2. Mengata orang yang berbuat kejahatan sebab mungkir akan dia supaya meninggalkan ia akan berbuat maksiat.
3. Sebab ia meminta fatwa kepada mufti seperti katanya kepada mufti; bahawasanya si fulan menzalim akan daku, apa hukumnya dan apa jalannya yang melepaskan daripada zalimnya itu.
4. Sebab ia menakut akan orang yang hendak bersahabat dengan orang fasiq, atau orang zalim. Maka dikatanya, Jangan engkau bersubahat dengan si fulan itu kerana is fasiq atau kerana ia zalim atau perbuatannya itu sangat jahat.
5. Hendak memberi tahu akan nama orang yang tiada diketahui melainkan dengan disebut akan aibnya itu, seperti dikatanya; si fulan itu buta atau capik (tempang) atau dungu atau barang sebagainya.
6. Menyebut akan kejahatan orang yang masyhur dengan fasiq atau masyhur dengan zalim atau masyhur dengan berbuat zina atau minum arak atau mencuri atau barang sebagainya.

Perkongsian usrah Exco PKPIM, 6 Mei 2008




ALTRUISME

Altruism is selfless concern for the welfare of others. It is a traditional virtue in many cultures, and central to many religious traditions. This idea was often described as the Golden rule of ethics. Some philosophies such as Objectivism argue that altruism is a moral vice. Altruism is the opposite of selfishness. (Wikipedia)

Saat membaca entri di www.kang-fikri.blogspot.com, terpanggil untuk saya respon terhadap tajuk altruisme atau itsar; yakni sifat mengutamakan kepentingan orang lain. Memberikan keperluan sendiri kepada orang lain yang juga memerlukan. Ditakdirkan untuk saya berkongsi bersama teman-teman seusrah semalam. Di dalam blog beliau, begitu menceritakan sifat Rasulullah s.a.w yang sentiasa mengutamakan kepentingan orang lain dalam setiap perkara dan tindakan, respon teman-teman malam itu, ada antaranya menyatakan bahawa sifat itsar berbalik semula kepada ilmu individu kepada kefahaman asas terhadap ilmu Islam itu sendiri, sesuai dengan tahap ilmu seseorang., maka sesuai dengan tahap itsarnya terhadap sesuatu perkara. Contohnya, ada yang mengutamakan kepentingan orang lain dengan material,seperti misalnya apabila seseorang mendapat cabutan bertuah berupa RM 10 000, maka seseorang akan memberikan RM 5000 kepada saudaranya itu. Jika mahu iman yang tinggi lagi, jika memperoleh RM 10 000, maka diberikannya semua kepada saudaranya itu..

Saya berkesempatan mempersoalkan tentang kewajipan kita terhadap kebajikan yang paling utama ialah kepada ahli keluarga dan kemudian saudara mara sebelum membantu orang lain. Seperti banyak kes pemberian sumbangan kepada artis atau selebriti dianggap ‘bernilai’ tetapi apabila perlu menghulurkan bantuan kepada saudara mara, terasa tiada nilai pula. Wah, jika perasaan ini memang lahir dalam naluri masyarakat, maka kita harus mengembalikan sifat suka bersedekah kepada konsep dan nilai yang sepatutnya kepada ilmu Islam. Wallahualam, sekadar perkongsian biasa.

KELUHAN

Bosan mendengar suara-suara sumbang,
Yang hanya tahu mengata orang
Dengan bukti terawang-awang
Menilai orang sebarang

Saat bertanggungjawab dikatakan
Langsung tidak bertanggungjawab
Siapa yang bertanggungjawab memahami apa itu tanggungjawab
Dan siapa bertanggungjawab terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab!

Monday, May 5, 2008

MENARIK HARI INI

Kanak-kanak tak sesuai aktif dunia hiburan


KINI kita dapat melihat bukan saja orang dewasa, malah kanak-kanak turut terbabit secara langsung dalam industri hiburan di negara ini. Situasi ini membuatkan beberapa pihak sibuk menerbitkan rancangan realiti, drama, filem dan album lagu membabitkan kanak-kanak. Fenomena ini membuatkan saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan. Bagi saya pembabitan mereka perlu ada batasannya kerana pada zahirnya, kanak-kanak yang menjadikan dunia hiburan sebagai kerjaya tetap mereka kebanyakannya berakhir dengan kegagalan akademik selain mengundang masalah moral. Tambahan pula didapati selepas berjaya memiliki hasil pendapatan berkat usaha sendiri pada usia muda, mungkin akan menyebabkan mereka 'besar kepala', sekali gus terjerumus dengan gejala sosial.

Pernah, seorang pengarah muda menampilkan sekumpulan kanak-kanak sebagai watak utama dalam filem arahannya, walaupun cubaan berani itu mendapat kritikan tetapi tidak kurang juga yang menyokong. Pada pendapat saya, ia serba sedikit dapat menimbulkan minat dalam diri kanak-kanak itu sendiri terhadap dunia hiburan. Sememangnya hiburan itu tidak salah, tetapi kanak-kanak tidak memerlukan pendedahan yang sebegitu rupa. Apa akan terjadi sekiranya kanak-kanak terbabit menjadikan dunia hiburan sebagai kerjaya, sekali gus mengabaikan akademik? Mana mungkin kerjaya dalam dunia hiburan dapat diseiringkan dengan kejayaan akademik? Sedangkan artis dewasa pun turut kecundang dalam pengurusan masa dan jadual harian inikan pula mereka yang masih kecil.

Contoh situasi lain, seorang kanak-kanak bertuah menjadi calon dalam sebuah rancangan realiti nyanyian yang majoritinya disertai orang dewasa. Mana mungkin vokal suara kanak-kanak hendak dibandingkan dengan suara orang dewasa?

Tambahan lagi, sejauh mana artis kanak-kanak ini mampu bertahan di dalam industri? Apabila mereka menjadi artis pada usia begitu muda, walau prestasi mereka sebagus mana sekalipun, masyarakat akan sentiasa memandang mereka sebagai artis kanak-kanak sampai bila-bila meskipun usia mereka sudah meningkat dewasa.

Sememangnya ada banyak contoh artis kanak-kanak yang berjaya di luar negara tetapi jika difikirkan dalam erti kata lain, berjayakah mereka? Jika ibu bapa begitu menginginkan anak mereka menjadi artis, sekurang-kurangnya tunggulah sehingga mereka tamat pembelajaran dulu. Cukup juga sekadar menjadikan kerjaya ini sebagai suatu hobi mengisi masa cuti sekolah mereka.

Ibu bapa sering mengatakan mereka ingin melihat anak mereka berjaya dalam bidang yang mereka minati, selain itu mereka menggunakan alasan untuk mencungkil lagi bakat sedia ada pada anak mereka. Namun bagi saya, alasan mereka itu amatlah tidak relevan dan rasional. Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan anak-anak sebagai 'sumber pendapatan' dalam keluarga. Mereka begitu kecil untuk 'bekerja'. Kita tidak harus 'meragut' zaman kanak-kanak mereka. Biarkan mereka berseronok seperti kanak-kanak yang lain, menjadi terkenal tidak semestinya terbaik.
NURUL JANNAH ABDUL KADIR,
Universiti Teknologi Mara,
Shah Alam, Selangor.
Berita Harian, 5 Mei 2008

Ramai remaja perokok tegar
Oleh Fadzlena Jafar

Ingin mencuba dan mahu berada dalam kelompok hebat faktor generasi terpengaruh tabiat bahayakan kesihatan

NALURI semula jadi untuk menghisap rokok dikenal pasti punca utama yang menjadi tarikan bagi remaja hari ini mencuba sebelum ketagih dan akhirnya menjadi perokok tegar. Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 40.6 peratus responden di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku mereka merokok kerana keinginan sendiri, berbanding pengaruh rakan sebaya sebanyak 37.6 peratus.

Kajian itu secara tidak langsung membuktikan bermula dengan sekadar rasa ingin tahu yang mendalam terhadap tabiat yang dikaitkan dengan gaya hidup moden itu menyebabkan ramai remaja terus menjadi hamba kepada rokok yang dianggap oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu-satunya produk pengguna yang dihasilkan untuk ‘membunuh’.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata sifat semula jadi remaja yang suka mencuba menyebabkan mereka tertarik untuk mengetahui apa sebenarnya yang membuatkan orang dewasa merokok.

“Tabiat merokok sebenarnya sudah sebati dalam masyarakat kita. Perokok ada di mana-mana menyebabkan kanak-kanak menganggap ia perkara biasa, malah bukan sukar untuk mendapatkan rokok kerana ada dijual di tempat terbuka. Kajian sama yang dijalankan di kalangan murid sekolah rendah Tahun 4 hingga Tahun 6 mendapati kira-kira 39.8 peratus mengaku merokok kerana keinginan sendiri.

“Jadi, naluri itu semakin meningkat apabila mereka melangkah ke alam remaja berikutan sifat remaja itu sendiri yang suka mencuba, selain ditambah pengaruh rakan sebaya. Antara faktor yang menguatkan keinginan itu ialah tanggapan bahawa merokok adalah gaya hidup masa kini dan juga keinginan untuk dilihat sebagai matang kerana mereka yang merokok adalah orang dewasa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


TIDAK PATUH: Ramai perokok yang mengabaikan tanda amaran larangan merokok.
Kajian yang dijalankan itu membabitkan 9,332 responden di kalangan murid sekolah rendah Tahun 4 hingga Tahun 6, manakala kajian bagi sekolah menengah hanya dilakukan di Pulau Pinang membabitkan 197 pelajar.

Beberapa kajian lain yang dijalankan juga menunjukkan peningkatan tren merokok di kalangan remaja Malaysia dengan 25 peratus pada 2003 berbanding 18 peratus pada 2000. Apa yang membimbangkan, kajian itu turut menunjukkan peningkatan perokok di kalangan remaja perempuan dengan 12 peratus pada 2003 berbanding lapan peratus pada 2000.

Dr Sallehudin berkata, antara faktor yang mempengaruhi peningkatan itu ialah kecenderungan gadis remaja hari ini terhadap perubahan tren dan gaya hidup selain dipengaruhi imej yang dipaparkan dalam filem dan televisyen.

“Berbanding lelaki, wanita lebih peka terhadap tren dan perubahan gaya hidup. Apatah pula, sejak kebelakangan ini imej wanita moden yang dipaparkan kebanyakan filem dan drama dari luar menunjukkan gadis remaja dan wanita dewasa dengan penampilan menarik sambil merokok. Jadi, secara tidak langsung mereka mendapat gambaran salah bahawa merokok itu adalah tren semasa.
“Pengaruh rakan juga memainkan peranan penting. Ada yang tidak pernah merokok, tetapi apabila bergaul dengan perokok mereka akan terikut-ikut hanya semata-mata untuk menjadi sebahagian daripada kelompok yang dikatakan hebat itu,” katanya.

Kajian berkenaan perlu diberi perhatian supaya pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya termasuk memastikan televisyen tidak memaparkan adegan merokok yang menjadi tarikan kepada remaja. Pengaruh iklan didapati hanya memberi kesan yang kecil seperti dipaparkan dalam kajian berkenaan, namun hakikatnya pengaruh yang tidak secara langsung seperti gambaran pelakon jelita merokok, lebih merbahaya.

Merokok di kalangan remaja juga dikatakan menjadi punca kepada pelbagai masalah termasuk ponteng sekolah, mencuri, mengganggu pelajaran dan lepak.

Kempen Tak Nak yang dijalankan mulai 2004 bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan rokok terhadap kesihatan didapati berjaya mengurangkan perokok baru, namun pengaruh gaya hidup dikatakan memberi impak besar kepada kecenderungan remaja hari ini untuk merokok.

Ini jelas dilihat kepada persekitaran hari ini apabila semakin ramai remaja termasuk mereka yang berpakaian sekolah merokok tanpa segan silu. Jika dulu, remaja terutama perempuan merokok secara sembunyi seperti di dalam tandas, kini mereka melakukannya secara terbuka tanpa rasa bersalah.

Mungkinkah keterbukaan masyarakat atau sikap enggan mengambil tahu menjadi punca kepada permasalahan ini? Jika dilihat sikap kebanyakan perokok yang melakukannya tanpa rasa bersalah di depan anak yang masih kecil juga dilihat menjadi faktor penarik kepada kanak-kanak.

Malah, ada perokok yang menyuruh anak mereka untuk membelikan rokok di kedai turut dilihat antara faktor yang menyebabkan kanak-kanak hari ini ingin mencuba tabiat berkenaan kerana ingin tahu apa yang menarik bapa mereka untuk merokok.

Selain itu, sikap penjual yang sanggup menutup sebelah mata apabila menjual rokok kepada kanak-kanak dan remaja kerana ingin mengaut untung perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa kerana meskipun ada undang-undang yang menghalang penjualan rokok kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun, ia tidak dilaksanakan.

Dr Sallehudin berkata, meskipun kajian terbaru mendapati kempen kesedaran yang dijalankan berjaya, kebanyakan penyelidik berpendapat kes sebenar mungkin tidak dilaporkan.

“Kempen Tak Nak berkesan di kalangan dewasa, tetapi tidak bagi remaja. Kita boleh lihat di sekeliling kita apabila semakin ramai generasi muda yang merokok di tempat awam. Malah, bagi mereka kesan merokok seperti barah paru-paru, penyakit jantung dan sebagainya tidak membimbangkan kerana penyakit berkenaan hanya berlaku kepada mereka yang berusia.

“Tetapi, ramai yang tidak tahu asap rokok yang disedut mempunyai bahan yang boleh merangsang pelbagai penyakit khususnya barah. Pembentukan barah mengambil masa yang lama kerana perubahan sel tidak berlaku semalam, tetapi bahan yang terkandung dalam asap rokok itu boleh mempercepatkan perubahan sel barah itu,” katanya.

Kaitan rokok dengan barah

PADA dasarnya ramai yang menganggap merokok hanya mengakibatkan barah paru-paru dan penyakit jantung. Hakikatnya, rokok adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik.

Dr Sallehudin berkata, penyelidikan perubatan membuktikan merokok menggandakan risiko mendapat barah khususnya barah paru-paru lima hingga 10 kali ganda lebih tinggi.

“Kebanyakan perokok cuba menafikan kaitan antara rokok dengan barah kerana barah seperti payu dara, pangkal rahim dan organ lain lazimnya dikaitkan dengan punca lain termasuk pemakanan dan virus tertentu. Namun, bahan kimia seperti karsinogen yang terkandung dalam asap rokok itu merangsang perubahan sel DNA yang menjadi barah.

“Ini meningkatkan risiko seseorang itu sama ada perokok aktif mahupun pasif mendapat barah. Risiko mendapat barah khususnya barah paru-paru berkait rapat dengan tempoh dan bilangan rokok yang dihisap. Lagi awal merokok, lagi tinggi risiko untuk mendapat barah paru-paru,” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan anak dengan mengambil berat kegiatan dan siapa rakan mereka. Pada masa sama beliau berharap ibu bapa juga tidak menjadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan, sebaliknya cuba meninggalkan tabiat itu jika mereka juga merokok.

Katanya, sekiranya mengesyaki anak berkenaan merokok, ibu bapa perlu mengambil langkah segera termasuk memeriksa beg dan bilik si kecil.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika mendapati anak sudah merokok atau ditangkap merokok, hukuman keras seperti merotan yang lazim digunakan bukanlah kaedah terbaik bagi menangani masalah berkenaan, sebaliknya kaunseling mungkin boleh membantu.

“Kanak-kanak hari ini tidak sama dengan generasi dulu. Kalau dulu merotan boleh membuatkan mereka mendengar kata, hari ini kanak-kanak yang dihukum sebegitu mungkin boleh memberontak secara diam. Mereka kini lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan, dan apa yang kita bimbang mereka mungkin akan menjauhkan diri jika kekerasan digunakan.

“Cara terbaik untuk mengendalikan masalah ini ialah dengan memujuk mereka dulu dan jika boleh, bawa kaunseling. Anda juga boleh membawa mereka ke Klinik Berhenti Merokok untuk menjalani sesi rawatan, tetapi jika tidak berkesan barulah boleh menggunakan hukuman yang agak keras,” katanya.

Ketika ini ada kira-kira 300 Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan dan kebanyakannya di Klinik Kesihatan. Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai klinik berkenaan, hubungi talian 03-88834400.

FAKTA: Kesan merokok
• Bukan saja merosakkan hampir semua organ dalam tubuh manusia, tetapi ia juga adalah punca kepada 15 hingga 25 peratus kematian.
• WHO menganggarkan merokok menyumbang kepada lima juta kematian setiap tahun bersamaan 13,600 kematian setiap hari atau satu kematian bagi setiap enam saat. Ini diumpamakan sama seperti 35 jet jumbo terhempas setiap hari.
• Berdasarkan tren ketika ini, WHO menganggarkan kematian kerana merokok mencapai 10 juta setahun pada 2030. Bilangan itu masih lagi tinggi berbanding kematian jumlah keseluruhan akibat HIV, Tibi, maternal, perinatal, bunuh diri dan pembunuhan.
• Kira-kira 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.
• Perokok pasif (bukan perokok tetapi terdedah kepada asap rokok) lebih berisiko kerana mereka menyedut asap rokok yang tidak mengalami pembakaran sempurna dan ini menyebabkan lebih banyak bahan kimia merbahaya disedut.


Bagaimana asap rokok membunuh:
• Barah adalah penyakit genetik dan prosesnya bermula apabila berlaku perubahan pada genome (DNA) yang membawa kepada pertumbuhan sel tidak normal yang menyerang pula tisu normal lain.
• Ia berlaku secara semula jadi ketika DNA dalam sel itu dihasilkan semula. Pada proses itu, mungkin berlaku beberapa kesilapan dan sel baru yang dihasilkan daripada kesilapan itu berpotensi menjadi barah.
• Bagaimanapun, sejenis pengawal tumor yang dinamakan p53 memperbaiki perubahan yang berlaku atau kesilapan itu, sekali gus bermakna p53 menghentikan perubahan sel itu daripada menjadi barah.
• Begitu pun, bagi perokok sama ada aktif mahupun pasif, bahan karsinogen seperti benzo(a)pyrene yang terkandung dalam asap rokok memusnahkan baka p53, sekali gus menyebabkan pembentukan barah berlaku.
• Walaupun proses pembentukan sel barah itu mengambil masa lama, ia sesuatu yang pasti bagi perokok tegar.
• Asap rokok mengandungi lebih 4,800 bahan kimia, 69 bahan karsinogen, 200 bahan toksik, bahan iritan dan dadah nikotin.

Berita Harian, 5 Mei 2008

Jenayah: Miri jadi 'bandar hantu'


MIRI 4 Mei - Miri akan menjadi "bandar raya hantu" jika kes jenayah tidak ditangani dengan efektif, kata saintis forensik dan pakar kriminologi (pengkaji jenayah) terkemuka dunia Dr. Henry Lee hari ini.
Lee berkata berdasarkan pengalaman beliau hampir 50 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang dan menyelesaikan kes jenayah, beliau telah menyaksikan ada bandaraya dan malahan negara runtuh ekoran kegagalan pihak berkuasa memerangi jenayah.
Menegaskan setiap kes jenayah perlu ditangani daripada peringkat awal, beliau berkata pihak berkuasa perlu proaktif dalam mengendalikan keadaan itu, tidak mengira betapa remehnya jenayah itu.
Untuk menjadi proaktif, polis dan pihak berkuasa tempatan perlu berupaya mengkaji corak dan trend jenayah untuk membantu mereka menggariskan strategi yang efektif bagi membendung berulangnya jenayah yang sama, katanya semasa menyampaikan ceramah mengenai "Jenayah dan Vandalisme" anjuran bersama Majlis Bandaraya Miri, Kelab Rotary Miri dan Jawatankuasa Anti-Vandalisme Miri.
Lee berkata: "Jenayah, ekonomi dan masyarakat saling berkaitan. Dengan satu bilion jenayah berlaku di seluruh dunia setiap tahun, ia telah mengakibatkan kehilangan pendapatan, kerugian ekonomi dan kehilangan nyawa manusia. Ini adalah tragedi besar."
Mengenai vandalisme, Lee berkata disebalik dikategorikan sebagai jenayah kecil, kesannya ke atas sesebuah bandaraya boleh menyebabkan kejatuhan nilai hartanah, kadar insurans lebih tinggi, kehilangan keyakinan terhadap perniagaan dan akhirnya membawa kepada kegiatan jenayah yang lebih berat.
Memuji usaha penganjur dalam memfokuskan vandalisme sebagai satu daripada jenayah yang perlu ditangani di bandar raya ini, beliau juga mengingatkan mengenai kemunculan vandalisme komputer yang kini menjadi kebimbangan besar di Amerika Syarikat.
Dilahirkan di China dan dibesarkan di Taiwan, Lee mulanya berkhidmat dengan Jabatan Polis Taipei, sehingga memperoleh pangkat Kapten.
Bersama-sama isterinya, Margaret, yang berasal dari Miri, mereka berpindah ke Amerika Syarikat pada 1965, dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains pengkhususan Sains Forensik dari Kolej John Jay pada 1972.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan biokimia di Universiti New York dan memperoleh ijazah Sarjana pada 1974 dan PhD setahun kemudiannya. Beliau juga menjalani latihan khas di Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan beberapa organisasi penguatkuasaan undang- undang di Amerika Syarikat.
Pada 1975, Lee menyertai University of New Haven di mana beliau menubuhkan Kajian Sains Forensik yang kini telah menjadi pusat latihan terkemuka dunia yang menyediakan latihan bagi pegawai penguatkuasa undang-undang dari seluruh dunia.
- Bernama-utusan, 5 MEI 2008