Tuesday, November 25, 2008

Tiada subjek seks di PLKN tahun depan


Nov 25, 08 8:10pm
www.malaysiakini.com


Pendidikan seks mungkin tidak akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Januari tahun depan seperti disarankan menteri pembangunan wanita, kata pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.

Datuk Dr Tiki Lafe berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara tidak menerima maklum balas daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, badan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan maklumat yang diminta mengenai pendidikan itu.

"Maklum balas itu akan mengambil masa. Pelaksanaan slot mengenai pendidikan seks akan bergantung kepada maklum balas yang kami terima," katanya, lapor Bernama, selepas menutup seminar mengenai pengurusan kesihatan pelatih PLKN di Kuching.

Ogos lepas, menteri pembangunan wanita Datuk Dr Ng Yen Yen berkata slot pendidikan seks akan diperkenalkan dalam PLKN mulai sesi Januari.

Dr Tiki juga berkata, tidak perlu mewajibkan pelatih PLKN menjalani pemeriksaan kesihatan pada permulaan latihan mereka tetapi borang
kesihatan mereka perlu melalui tapisan paramedik ketika pendaftaran di kem latihan masing-masing.

"Mana-mana pelatih yang mempunyai sejarah masalah kesihatan dan memerlukan pemeriksaan kesihatan akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran atau hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Dr Tiki berkata pelatih yang didapati tidak sihat akan dinasihat supaya tidak mengikuti keseluruhan program latihan, manakala mereka yang sihat akan terus diawasi.

No comments: