Sunday, November 30, 2008

PKR: Bubar dasar Inggeris bagi ajar Matematik dan Sains

Abdul Rahim Sabri

Nov 30, 08

www.malaysiakini.com

PKR berjanji akan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, termasuk mengubah kembali dasar pengajaran bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Mohd Noor Manuty.

Berucap membentang usul pendidikan di kongres nasional PKR hari ini, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu memberi contoh tokoh akademik seperti Profesor Dr Mohamad Shahrir Md Zin yang menguasai Sains dan Matematik melalui pendidikan Melayu tetapi masih mampu menguasai bahasa Inggeris.

Oleh yang demikian, tambahnya, jika PKR dan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan persekutuan, parti akan melakukan reformasi pendidikan bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mohd Noor, bekas ahli akademik kanan di Universiti Islam Antarabangsa, juga mengupas kelemahan pemimpin institusi pengajian tinggi yang menyebabkan kualiti pendidikan tinggi negara terus merosot.

Beliau kemudian menggesa universiti membuka ruang kebebasan akademik, termasuk kepada pelajar-pelajar agar tidak lagi dibelenggu oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tegasnya, PKR dan Pakatan akan menghapuskan akta tersebut jika berjaya mentadbir negara ini.

Beliau turut memberikan komitmen untuk menaikkan mutu pendidikan Islam dengan menitikberatkan pendekatan berfikir di kalangan daripada menghafal seperti amalan sekarang.

"Akibatnya dalam masa panjang, pelajar-pelajar tidak dapat meletakkan diri mereka dalam masyarakat. Gugup berbicara tentang perkara-perkara penting seperti bidang ekonomi," kata Mohd Noor.

PKR juga beriltizam untuk melaksanakan dasar pendemokrasian pendidikan bagi membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan terbaik dari peringkat rendah sehingga peringkat universiti.

Membahaskan isu yang sama, seorang perwakilan Perak menyifatkan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2004 sebagai "satu pengkhianatan terhadap bahasa Melayu" sebagai bahasa ibunda dan bahasa pengantar.

Sementara perwakilan dari Sarawak, Baru Bian menuntut peruntukan biasiswa yang lebih besar kepada penduduk Sarawak sekiranya PKR dan Pakatan Rakyat menguasai Malaysia.

Baru, keturunan Orang Ulu, berkata ramai penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah mengalami keciciran dan memerlukan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Perwakilan Sabah, Datuk Dr Hamzah Amir pula menyatakan kekesalannya berhubung sejumlah kecil sahaja pelajar-pelajar dari negeri itu berjaya masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, 70 hingga 80 peratus pelajar-pelajar yang menuntut di univerisiti tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar luar Sabah.

Kata Hamzah, pelajar Sabah yang berjaya ke UMS pula tidak ramai menguasai bidang sains dan kejuruteraan.

Beliau menjelaskan, kelemehan itu berpunca akibat kemiskinan, infrastruktur pendidikan yang usang terutama di pedalaman dan kekurangan guru di Sabah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PKR memberikan tumpuan khusus terhadap para pelajar di Sabah agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan negara.



No comments: