Tuesday, June 10, 2008

PENGEMBARAAN THAILAND

KHAMIS, 29 Mei 2008

“LCCT atau KLIA?”, persoalan yang akhirnya menyesatkan perjalanan saya dan dua orang teman ke misi menjemput seorang teman muslimat dari Indonesia di lapangan terbang. Setelah dua jam menunggu, akhirnya teman saya; Memel bertemu dengan kami di KLIA. Kali pertama seingat saya, kami bertemu setahun lalu di Jakarta semasa pertemuan pelajar Islam Asia Tenggara. Kali ini, dalam rangka ziarah sebagai wakil Pengerusi Hal Ehwal Wanita PEPIAT (HAWA), beliau bersama Setiausaha PEPIAT, Saudara Zaid Makarma bertandang ke Malaysia sebelum merancang ke Thailand dan Singapura. Jumaat itu, kami berkesempatan ke pusat asasi UIAM bersua adik-adik yang mengadakan iftar jamaie. Pertemuan singkat yang menggembirakan mengakhiri hari pertama ketibaan saudari Memel ke Malaysia.





JUMAAT, 30 Mei 2008

Seawal 8 pagi, saudari Memel bergegas ke sekretariat untuk menghadiri Sidang Media Derma Bencana Taufan Nargis. Beberapa wartawan media hadir membuat liputan sebelum petangnya rombongan bertolak ke Kelantan sebelum ke Thailand. Dalam keterlewatan di stesen bas Putra, akhirnya jam 2.30 petang, saya bersama Memel dan tiga orang muslimin bertolak ke Kelantan. Destinasi pertama ialah Kota Bharu Kelantan. Sepanjang perjalanan, saya terlelap kepenatan akibat tidur yang kurang hari sebelumnya. Jam menunjukkan lewat jam 11 malam saat rombongan tiba di Kota Bharu. Terima kasih kepada saudara Afzan dan Ustad Faisal yang menguruskan perjalanan kami sepanjang berada di Kelantan.



Sabtu, 31 Mei 2008

Seawal jam 9 pagi, kami bertolak ke sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang. Perjalanan hampir sejam dari Kota Bharu Kelantan. Setibanya di pejabat imigresen, dengan dukacita pegawai di imigresen Thailand tidak membenarkan Memel dan Saudara Zaid memasuki sempadan Thailand tanpa visa atas alasan kerana mereka warganegara Indonesia. Hancur hati ini tatkala mendengar berita tersebut. Jadi, harus bagaimana ini. Lama juga kami berbincang sebelum membuat keputusan bahawa kami akan cuba mendapatkan visa di konsulat Thailand di Kota Bharu. Alhamdulillah kerana hari ahad adalah hari bekerja di Kelantan. Sepanjang Sabtu, kami hanya meluangkan masa bersiar-siar di Kota Bharu. Malamnya diakhiri dengan hidangan buah durian dan buah mangga yang diidam oleh Saudara Zaid.





Ahad, 1 Jun 2008

Lebih kurang jam 9 pagi, rombongan ditemani Pok Lah dari IOA ABIM Kelantan menuju pejabat konsulat Thailand. Pegawai memaklumkan bahawa pernohonan visa mengambil masa sehari untuk disiapkan. Aduh, satu lagi bencana menimpa, keputusan harus segera dibuat; mahu menunggu esok (Isnin) untuk masuk juga ke Thailand atau mengalah pulang. Tatkala kami buntu sambil berbincang di pejabat tersebut, tiba-tiba pegawai di situ menegur dan menawarkan untuk menyiapkan visa petang itu juga. Entah bagaimana dia tergerak hati untuk membantu kami hanya berserah pada kuasa Allah Taala. Setelah bayaran RM110 seorang dan borang permohonan lengkap di isi, kami membawa diri ke Pasar Siti Khadijah sebelum menghadiri majlis perkahwinan anak kepada salah seorang ahli ABIM. Usai makan, kami bergegas kembali ke pejabat konsulat Thailand untuk mengambil visa. Hati kami risau takut-takut visa tidak disiapkan seperti yang dijanjikan. Kesabaran akhirnya berbaloi apabila visa berjaya diperolehi petang itu juga. Kami kemudiannya ke Rantau Panjang sebelum misi memasuki selatan Thailand dalam jam 5 petang berjaya. Akhirnya, kami memasuki selatan Thailand di Sungai Golok. Bayaran 600 baht membenarkan kami menaiki van menuju Yalla. Selepas lebih kurang empat jam perjalanan, kami selamat sampai di pejabat YMAT (Young Muslem Association of Thailand). Hanya dua orang muslimat menyambut kedatangan kami ketika itu. Selesai azan Isya, kami mengambil peluang mengisi perut yang lapar. Pastinya tom yam menjadi menu utama makan malam pertama di Thailand. Memel beruntung dapat menikmati tom yam kerana makanan tom yam menjadi makanan ekslusif di Indonesia yang hanya diusahakan oleh pengusaha restoran milik bangsa Cina yang bukan Islam. Sukar mendapatkan tom yam halal katanya. Bila mendengar situasi Memel, saya rasa cukup bertuah kerana berpeluang makan tom yam hampir di mana-mana restoran halal di tanahair. Seawal jam 9 malam, kami melihat rata-rata semua kedai sudah tutup dan bilangan manusia yang berkeliaran semakin berkurangan, begitulah situasi di sana apabila keselamatan menjadi harta paling berharga. Akhirnya, kekenyangan menemani tidur kami malam itu.


Isnin, 2 Jun 2008

Selepas solat Subuh, Ahlam dan Nadiah menghidangkan sarapan pagi semacam nasi dagang dan minuman milo. Sambil makan kami bersembang, Ahlam dan Nadiah merupakan mahasiswi Universiti Islam Yalla. Ketika keberadaan kami di YMAT, mereka menjadi pengajar qiraati di bangunan berdekatan. Kebetulan musim cuti institusi pendidikan di Yalla sama dengan cuti mahasiswa di Malaysia. Kami berkenalan dengan Som dan Ni.; juga mahasiswa di universiti yang sama. Kak Som belajar setiap sabtu dan Ahad di universiti dan hari biasa dihabiskan sepenuh masa di sekretariat YMAT. Mudah untuk kami berkomunikasi kerana masing-masing menggunakan bahasa Melayu Kelantan. Selesai sarapan kami bertemu dengan Presiden YMAT, En. Nasir bersama En. Wan dan En. Daud. En. Nasir menceritakan serba sedikit keadaan masyarakat Islam di Thailand. YMAT selalunya akan membuat program belia dan islami di luar kawasan Yalla. Kekangan oleh pihak tentera menyebabkan kesukaran untuk beraktiviti selain keselamatan menjadi keutamaan sepanjang masa. Dana yang diperolehi cukup banyak menurut beliau. Pasti begitulah usaha dakwah, tiada yang senang sebelum sukar. Tumpuan program mereka adalah seperti kempen HIV iaitu memberikan kesedaran tentang bahaya dadah dan HIV. Kes HIV di Thailand merupakan antara kes tertinggi. Kami dimaklumkan juga dari segi keselamatan, purata tiga orang mati sehari di sana. Perlembagaan Thailand yang mewajibkan Raja beragama Buddha selain sistem ketenteraan lebih berkuasa daripada raja dan perdana menteri menyebabkan masyarakat Islam terutamanya ditindas. Perjumpaan singkat bersama beliau sangat bermakna, beliau berbahasa Melayu dengan fasih.





Selepas pertemuan tersebut kami dibawa ke rumah Dr. Arifin, ahli majlis syura YMAT. Walaubagaimanapun, kami hanya sempat bertemu dengan isteri beliau iaitu Puan Aisyah kerana Dr. berada di klinik persendirian beliau. Saya berkesempatan bertanyakan kegiatan muslimah YMAT di sana. Dimaklumkan bahawa program yang dianjurkan berbentuk kelas pengajian setiap hujung minggu selain program seminar sekali setahun diadakan. Tidak lupa juga aktiviti rehlah bersama. Mereka tidak mempunyai stuktur organisasi khusus tetapi sistem mento menti di antara yang tua dan muda terutamanya mahasiswa nampaknya sangat baik. Sasaran ahli adalah pelbagai peringkat umur. Jumlah ahli muslimat tidak begitu ramai tetapi kuantiti yang ada itulah yang komited sepenuhnya. Muslimah di Thailand juga aktif berpartisipasi dalam setiap program yang dianjurkan. Hanya isu keselamatan sahaja menjadi kebimbangan. Selesai minum hidangan susu kambing yang pasti tidak akan saya lupakan (kerana rasanya yang pelik), kami dibawa ke rumah mantan Timbalan Perdana Menteri Thailand zaman Thaksin memerintah iaitu Mohd. Nor. Rumah yang berupa seperti istana itu tidak didiami lagi dan menjadi tempat lawatan umum. Kawasan rumah dan senibina yang cukup cantik dan halus. Lengkap dengan gua buatan dan sarang burung yang luas mencantikkan tema mesra alam rumah tersebut. Kami kemudiannya menikmati makan tengahari (pastinya hidangan tom yam putih) di sebuah kedai makan ditemani En. Daud. Sedang menjamu selera, En. Daud memaklumkan bahawa mahasiswa di Thailand diwajibkan memakai pakaian seragam sama seperti pelajar sekolah. Pelajar sekolah agama pula memakai jubah dan tudung dengan warna seragam. Masyarakat di sana majoriti bertudung. Suasana yang jarang dijumpai di Malaysa kecuali di fakulti pengajian Islam IPT. Kami ke sekretariat YMAT untuk berkemas selesai makan. Akhirnya, kami mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman YMAT. Sedih kerana pertemuan yang begitu singkat sehari semalam sahaja. Namun apakan daya, rancangan untuk masuk pada hari Sabtu dan balik pada hari Ahad tergendala. Kami meneruskan perjalanan ke Pattani untuk mengambil van di sana ke Sungai Golok. Sebelum itu, kami sempat melawat masjid Krue Se yang merupakan masjid terawal di Pattani dan sejarah pembunuhan orang Islam pernah berlaku di situ. Di dinding dapat dilihat bekas tembakan peluru. Lubang sebesar biji guli bisa menembusi dinding batu apakan lagi jika manusia menjadi sasaran. Saat ke Pattani, hujan renyai-renyai menemani perjalanan kami.





Tepat jam 4 petang, rombongan bertolak pulang. Begitulah pengembaran dan percubaan memasuki Thailand. Terdapat juga undang-undang ketat terhadap warganegara Indonesia. Kasihan pada Memel dan Sdr. Zaid. Yang penting rombongan selamat pulang ke tanahair dengan pengalaman pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur menemukan kami dengan masalah bas rosak dan tersekat dalam kesesakan lalu lintas akibat kemalangan teruk di lebuhraya Karak. Alhamdulillah segalanya berakhir dengan selamat. (Kali kedua pengembaraanku bertemu kemalangan, entah bila lagi..ajal dan maut di tangan Tuhan).

2 comments:

Anonymous said...

Tentera lebih berkuasa daripada kerajaan

alifzaimimra said...

slm kak mar...

dugaan ada di mana-mana. xkira ketika kita di tmpt sndiri atau ketika di tempat org lain. it's part of our life. we have to face it. nvr run from it. moga Allah sntiasa memberikan kita kekuatan dan bersama-sama kita dlm menempuh dugaan hidup. =)