Thursday, July 22, 2010

MENDEKATI WANITA PENAN

SEJAK Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak dikeluarkan pada September 2009, ia mengesahkan bahawa gangguan seksual dan eksploitasi kaum wanita Penan sememangnya berlaku.

Lanjutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti kewujudan keganasan seksual dan eksploitasi seks yang tersebar luas dan faktor-faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku.

Hasil laporan jawatankuasa itu juga segera mendorong KPWKM menggerakkan misi untuk menangani isu ini. Melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), kerjasama dijalinkan dengan Sarawak Women for Women Society (SWWS) untuk melaksanakan tiga program iaitu program Gangguan Seksual, Pembangunan Minda dan ‘Wanita Bijaksana Keluarga Sejahtera’.

Program tersebut dilaksanakan di Long Lama, Long San dan Batu Niah, Miri, Sarawak. Fasa I program iaitu familiarisation trip telah diadakan pada 21 Jun hingga 3 Julai 2009 di ketiga-tiga kawasan tersebut. Program dalam Fasa I bertujuan mengenal pasti sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat Penan yang akan menyertai Fasa II program iaitu training of trainers (TOT). Seramai 1,300 peserta terlibat dalam Fasa I ini.

Sehingga kini, program TOT telah memasuki Fasa II iaitu di Long Lama telah diadakan pada 12 hingga 14 Oktober 2009. Program TOT dalam fasa ini telah dimanfaatkan kepada 382 sukarelawan yang telah dikenal pasti dan akan memberi kesedaran kepada kaum Penan termasuk wanita dan pelajar sekolah mengenai gangguan seksual, pembangunan minda dan sebagainya.

Fasa II program TOT bagi Long San dan Long Sait telah diadakan pada 23 hingga 26 Mac 2010. Objektif program adalah bagi membolehkan sukarelawan Penan yang terdiri daripada guru-guru, pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat Penan berbincang serta bertukar-tukar pandangan dengan remaja dan gadis Penan mengenai cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa atau apabila mendapat ancaman orang luar, selain dari komuniti mereka. Salah satu sesi yang diadakan dengan pelajar-pelajar Penan di sekolah Long San dan Long Sait juga memuatkan topik keselamatan diri.

Selain itu, Fasa II program ini juga bertujuan membincangkan cara-cara untuk membantu gadis Penan yang telah menjadi mangsa eksploitasi seks, termasuk tip-tip untuk mengelak daripada menjadi mangsa keganasan seksual. Ini juga bertujuan memastikan supaya masyarakat Penan sentiasa peka dan prihatin dengan keadaan persekitaran, seterusnya dapat menjadi sebuah masyarakat yang sama-sama dapat memberi sokongan kepada agensi kerajaan dan NGO dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

No comments: