Wednesday, July 15, 2009

JENAYAH PELAJAR PEREMPUAN NAIK

Pertambahan 673 kes dua tahun lalu berbanding 523 pada 2006: Kajian

KUALA LUMPUR: Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati, kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2005.

Pengarah ISM, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata peningkatan itu membimbangkan kerana jumlah kes bertambah kepada 673 pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes (2005).


Bagaimanapun, katanya pelajar lelaki kekal sebagai golongan paling ramai melakukan kesalahan jenayah iaitu 6,090 pada 2007 berbanding 5,423 kes pada 2006.


Katanya, pada 2001, kes salah laku jenayah membabitkan pelajar perempuan sebanyak 100 dan ia meningkat kepada 600 kes dalam tempoh enam tahun.

"Pembabitan pelajar perempuan dalam salah laku jenayah memberi amaran kepada semua pihak supaya mengambil tindakan wajar kerana dikhuatiri akan terus meningkat.

"Pelajar perempuan sering dikaitkan sebagai golongan mematuhi disiplin serta tekun dalam bilik darjah dan dilihat mula terkeluar daripada norma hidup apabila turut terbabit dengan jenayah yang lazimnya membabitkan pelajar lelaki," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamed Fadzil berkata, pelajar perempuan berdepan krisis identiti apabila mencecah usia remaja dan dalam proses mencari itu ada antara mereka berdepan kekeliruan yang disebabkan pendedahan kepada beberapa unsur.

Katanya, sebagai contoh, aksi lasak dan ganas yang ditonjolkan dalam filem mempengaruhi perlakuan mereka dan pelajar perempuan akan melakukan perbuatan yang dilihat betul seperti bergaduh dan pukul, manakala idola bersifat kasar dan ganas menjadi ikutan.

"Kajian juga mendapati, pelajar perempuan yang terbabit dengan kes jenayah berpunca tekanan dan dorongan serta cabaran rakan sebaya

"Rakan sebaya adalah golongan yang paling rapat dan pengaruh rakan lelaki juga menyumbang kepada salah laku jenayah," katanya.

Sifat pelajar perempuan kata Mohamed Fadzil, cuba menguasai dan mereka lebih berani apabila berkumpulan, termasuk mencari rakan untuk melakukan kesalahan bersama.

Paling jelas, beliau berkata, pelajar perempuan tidak akan melakukan kesalahan antaranya ponteng sekolah, vandalisme dan penyalahgunaan dadah berseorangan kerana perbuatan secara berkumpulan lebih selamat.

Katanya, pelajar perempuan tidak akan terjebak dengan salah laku jenayah jika mereka mendapat perhatian serta didikan yang betul di rumah.

No comments: