Thursday, February 26, 2009

MENYAYANGI RASULULLAH SAW


Saya terpanggil untuk menulis di blog kali ini selepas membaca majalah Anis di bawah tajuk 10 tip didik anak cintai Rasulullah s.a.w. Teringat ketika zaman persekolahan, saya yang masih kecil tidak mengenali peribadi Rasulullah s.a.w, sehinggalah di tingkatan 2 saya begitu menyayangi baginda apabila ustazah menceritakan tentang keperibadian salah seorang khalifah iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saya sendiri bila teringat kembali kisah lama ini mula-mula hairan bagaimana saya boleh mencintai seseorang daripada keperibadian orang lain. Ajaibnya pengorbanan Saidina Abu Bakar ketika kisah penghijrahan ke kota Madinah, kisah ketika Saidina Abu Bakar rela menutup lubang haiwan berbisa yang akhirnya menyebabkan Saidina Abu Bakar menitiskan air mata menahan keperitan. Bayangkan sikap pengorbanan Saidina Abu Bakar, pastinya pengorbanan beliau adalah untuk sahabat sejatinya dan manusia agung pilihan Allah s.w.t. Pastinya manusia yang diselamatkan oleh Saidina Abu Bakar merupakan manusia yang cukup indah akhlaknya. Kisah ini telah menjadikan saya mempunyai prinsip dan budaya sentiasa menghormati kawan, sehingga pernah sikap kasar saya di buang semata-mata cuba untuk tidak mengeluarkan kata-kata kesat barang sedikitpun kepada sesiapa saja yang bergelar manusia. Kisah ini juga menyedarkan saya supaya sentiasa berkorban untuk kawan yang juga sama-sama berkorban antara satu sama lain dalam susah dan senang. Saya sehingga kini sentiasa mencari metod terbaik bagaimana menjadi kawan yang terbaik untuk kawan-kawan saya yang terbaik. Maka saya tidak pernah berpuas hati terhadap sikap dan layanan saya kepada kawan-kawan saya. Namun, kesilapan tetap ada dan perkara ini lah yang cuba di minimumkan. Kerana saya mahu suatu tahap mencapai kecintaan kepada saudara sepertimana yang di tunjukkan oleh Saidina Abu Bakar kepada baginda s.a.w, sehingga sanggup menggadaikan nyawanya. Perkongsian cerita yang tidak seberapa ini membuatkan saya untuk mengajak ibu bapa mahupun guru supaya mengasuh anak-anak mencintai Rasulullah s.a.w. antara perkara yang boleh dilakukan ialah menghadiri majlis sambutan maulidurasul, mengadakan pengkisahan sirah Nabi atau menonton cerita-cerita dan lagu-lagu tentang Nabi s.a.w, sentiasa berselawat kepada baginda, dan menjadikan Rasulullah s.a.w contoh ikutan akhlak terpuji sepanjang masa. Semoga kita sama-sama membina anak-anak yang mencintai dan menyayangi baginda s.a.w.

No comments: