Tuesday, December 9, 2008

CATATAN AIDILADHA

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

LailahaillahuwAllahuakbar

Allahuakbar walillahilhamd…

Takbir aidiladha tahun ini begitu sayu di hati. Sesayu kesunyian sambutan hari raya diri ini, mahupun masyarakat Malaysia amnya. Beberapa hari lepas, diri ini tidak begitu memikirkan sambutan aidiladha seperti tahun-tahun sebelumnya................................

Isnin petang minggu lepas, dalam perjalanan ke kampus PAUIAM PJ bersama beberapa orang teman, tidak tersangka kami melihat kejadian tanah runtuh di satu tempat di Damansara. Pulangnya melalui tempat yang sama pun hanya dapat melihat beberapa kenderaan berjaya di tarik keluar daripada runtuhan tersebut. Esoknya, berita kejadian terpapar di dada akhbar. Khamis minggu yang sama, Malaysia digemparkan pula dengan kejadian terburuk selepas kejadian Highland Tower. Bukit yang menjadi kawasan tadahan hujan akhirnya memusnahkan mereka yang senang lenang bermaharalela di atasnya. Beribu-ribu penduduk di beberapa taman di Bukit Antarabangsa terpaksa menghadapi dugaan ini dengan tabah. Saya tidak menyangka sehari sebelum aidiladha, saya dan beberapa teman diperlukan untuk membantu pusat bantuan bencana di SK Hulu Klang. Nasib diri yang ditentukan tidak sibuk untuk beraya di mana-mana membolehkan diri menyumbangkan sepenuh tenaga yang tersisa dan masa yang ada untuk berada sehari di sana bersama beberapa orang doktor daripada GPM, teman-teman ABIM dan PKPIM. Keadaan tidak begitu sesak seperti yang digambarkan namun kepenatan dan kebimbangan semua sukarelawan sudah cukup menceritakan segalanya. Petangnya, beberapa sukarelawan muslim terutama ibu-ibu meminta diri untuk pulang memandangkan perlu melakukan sedikit persiapan untuk sambutan Aidiladha. Pastinya perkembangan berita di kaca tv memainkan peranan yang cukup besar ketika ini untuk menyampaikan maklumat situasi sebenar mangsa. Saya percaya seluruh rakyat Malaysia yang berada di sini mahupun yang sedang menunaikan ibadah haji, mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan mereka yang menghulurkan bantuan. Tiada nilai sumbangan yang diberikan oleh kami jika dibandingkan dengan petugas keselamatan dan mereka yang terpaksa bersengkang mata berada di tempat kejadian utama.

......begitulah putaran kehidupan, beberapa pilihan telah dirancang sebelumnya untuk menyambut aidilada bersama beberapa orang teman yang senasib tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. Perancangan Dia lebih baik sebenarnya untuk kita. Akhirnya segala yang di rancang hanya tinggal perancangan kerana Dia pemilik hati-hati hambanya. Wallahualam..

::Begitu merindui ’open house’ PERKEPISMA, dan mungkin juga kali ini yang terakhir; perjuangan menuntut pengorbanan::


SALAM AIDILADHA

MAAF ATAS SEGALA KHILAF


1 comment:

Anonymous said...

Rindu open house sungei tangkas juak :)