Monday, January 21, 2008

Tamu Selasa: Sepakat elak budak mangsa jenayah

(BHarian-22 Januari 2008)

Oleh Jami'ah Shukri

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Meme Zainal Rashid JKM komited bendung penularan kes dengan sistem pengembangan sosial SEJAK kebelakangan ini isu kehilangan kanak-kanak serta jenayah seksual membabitkan golongan berkenaan semakin meningkat. Bagaimana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melihat senario itu?

JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan fokus yang amat serius terhadap kes membabitkan kanak-kanak untuk memastikan kebajikan, penjagaan dan keselamatan mereka terjamin. Bagi kes kehilangan kanak-kanak serta jenayah seksual yang berlaku sejak kebelakangan ini, ia menimbulkan kebimbangan kerana seolah-olah memberi gambaran bahawa Malaysia sebagai negara yang tidak selamat bagi kanak-kanak. Mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak, hak perlindungan dan keselamatan terhadap golongan itu diberi keutamaan dan perlu dijamin. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil berat isu ini dan berusaha menanganinya. Saya ingin tegaskan di sini, usaha menangani isu itu bukan saja terletak pada bahu kementerian atau JKM, malah memerlukan kerjasama bersepadu semua pihak, termasuk agensi kerajaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelajaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Daripada aspek komuniti masyarakat, isu ini seharusnya membuka mata mereka terhadap keperluan untuk sama-sama membantu menjaga keselamatan kanak-kanak dan tidak perlu dipandang sebagai isu remeh. Berdasarkan laporan dan pemerhatian JKM, apakah kesilapan sehingga kejadian ini seakan tidak dapat dibendung, sekali gus menimbulkan kerisauan pelbagai lapisan masyarakat? Isu ini sebenarnya berkaitan dengan suasana persekitaran sosial yang sudah berubah secara keseluruhan di negara ini. Perkembangan sosioekonomi yang pesat, proses globalisasi, teknologi maklumat, internet dan pengaruh negatif lain memberikan kesan serta mempengaruhi kejadian berkenaan hingga boleh mencapai tahap membimbangkan. Keadaan itu pula ditambah dengan tekanan dalam institusi kekeluargaan yang semakin sibuk dengan tugas seharian untuk mencari nafkah. Masyarakat juga berasa diri lebih sofiskated dan bersikap individualistik. Jika kita lihat fenomena kehilangan kanak-kanak, ia berlaku di kawasan bandar, bukan di luar bandar. Ia sedikit sebanyak mempamerkan persekitaran sosial yang sudah semakin berubah. Masyarakat bandar lebih menghadapi pelbagai masalah. Tekanan hidup di bandar menyumbang perkara itu berlaku serta suasana tempat tinggal sendiri.
Bagi kes kehilangan atau penculikan kanak-kanak, perkara paling ketara adalah keadaan masyarakat sekarang sudah jauh berubah jika dibanding dengan zaman dulu. Dulu, masyarakat lebih mengambil berat terhadap suasana persekitaran dan mempunyai semangat kejiranan yang menebal pada diri masing-masing. Sesama jiran saling tegur menegur, lihat anak jiran mereka tegur. Berlainan sekarang, suasana itu semakin kurang. Sikap ingin mengambil tahu mengenai jiran tidak diterapkan. Mereka mengambil tahu hal sendiri, malah jika ada yang ingin mengambil tahu hal jiran akan dimarahi atau akan dituduh sebagai menjaga tepi kain orang. Kemasukan pekerja asing serta pengaruh internet serta bahan lucah turut memberi sumbangan dan kesan kepada fenomena ini. Malah institusi keluarga kini semakin longgar, dulu ada nenek boleh menjaga anak.
Justeru, apakah program dilaksanakan JKM untuk menangani isu ini supaya tidak menjadi barah dalam masyarakat?
JKM memang sentiasa memikirkan program bersesuaian berkaitan isu ini. Apa yang kami pentingkan ialah pembangunan sosial dan ekonomi perlu seimbang dan seiring. Kami menyediakan sistem pengembangan sosial kepada masyarakat untuk menangani isu seperti ini. Dengan pembangunan institusi keluarga yang semakin berkembang di bandar, JKM ada pusat penjagaan kanak-kanak atau Taska bagi menempatkan kanak-kanak terbiar atau ibu bapa menempatkan anak di tempat lebih selesa dan selamat. JKM juga mempergiatkan program membabitkan komuniti setempat. Pembabitan pelbagai peringkat usia masyarakat setempat, termasuk golongan muda menerusi persatuan penduduk, Rukun Tetangga, Rakan Muda, Rakan Jiran dan NGO supaya dapat memainkan peranan masing-masing mengenai pentingnya menjaga keselamatan kanak-kanak, selain memperhebatkan kesedaran kepada ibu bapa menerusi ceramah. Kita mahu semua penduduk mengamalkan konsep 'community watch' (pemerhatian masyarakat) iaitu mengambil sikap ingin tahu terhadap keadaan dan apa yang berlaku di sekeliling bagi mengelak kegiatan tidak diingini berlaku seperti penculikan atau kehilangan kanak-kanak. Selain itu, kita galakkan golongan muda sertai program bagi memberi pendedahan serta kesedaran supaya tidak melakukan kegiatan kurang bermoral seperti menculik kanak-kanak. Golongan muda berpotensi melakukan kegiatan itu jika tidak ditanamkan sifat kesedaran menjaga keselamatan awam.
Berikutan kejadian kehilangan kanak-kanak (atas tujuan tertentu seperti menjadi mangsa rogol, pengemis atau dijual di negara lain) serta jenayah seksual kanak-kanak, apakah strategi JKM menangani isu terbabit?

Kerajaan merancang untuk membina lebih banyak Pusat Aktiviti Kanak-Kanak menjadi tempat transit anak selepas waktu sekolah bagi memberikan kemudahan kepada ibu bapa bekerja. Anak boleh ditempatkan di pusat itu kerana lebih terjamin dari segi keselamatan sementara menunggu ibu bapa mereka pulang bekerja. Ketika ini, sebanyak 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan di kawasan berisiko tinggi seperti anak terjebak dengan perlakuan tidak sihat atau gejala sosial. Oleh itu, kami akan perluaskan pembinaan di kawasan lain. Pusat ini menyediakan pelbagai aktiviti, termasuk kelas tuisyen dan bimbingan lain serta menghabiskan kerja sekolah. Pada asalnya pusat ini ditubuhkan di kawasan berisiko tinggi, selain ibu bapa yang mempunyai ramai anak, miskin dan anak tidak terjaga. Tujuan pusat aktiviti ini juga untuk mengelak anak terbiar tanpa kawalan, terbabit dalam kes penderaan dan pengabaian. Selain itu, JKM turut menyediakan program untuk ibu bapa dengan memberikan kaunseling seperti bagaimana menghadapi tekanan kehidupan di bandar dan apakah bantuan diberikan. Skop operasi dan pendekatan diwujudkan mengikut keadaan persekitaran kawasan penempatan. Sekurang-kurangnya setiap daerah akan ditubuhkan Pusat Aktiviti berdasarkan kepada keperluan di kawasan berkenaan. Kami akan memantapkan serta menambah baik aktiviti sedia ada. Apakah program dirangka untuk memperkasa perkembangan dan pembangunan kanak-kanak bagi mendidik serta memberi pendedahan supaya mengetahui niat seseorang yang ingin melakukan kejahatan bagi membolehkan mereka mampu bertindak? Kami memang ada menyediakan program untuk memperkasakan pembangunan dan perkembangan kanak-kanak menerusi pendedahan dan mengenali situasi yang boleh mengancam keselamatan diri. Kanak-kanak diajar bagaimana untuk bercakap 'tidak' kepada orang asing, tidak mengikut mana-mana orang yang tidak dikenali. Juga didedahkan bentuk sentuhan yang dikira tidak selamat kepada mereka. Banyak juga NGO sudah ada program dengan sekolah untuk menjaga keselamatan diri. Berikutan itu, JKM akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menyediakan modul mengenai keselamatan diri kepada kanak-kanak di pusat jagaan kanak-kanak dan di sekolah rendah. Guru boleh mengajar kanak-kanak di sekolah rendah cara untuk menyelamatkan diri sekiranya diancam keselamatannya. Kita lihat ada kanak-kanak yang mudah mengikut cakap atau mengikut seseorang yang tidak dikenali. Oleh itu, dengan ada program ini, ia dapat mengelak serta menangani isu kehilangan kanak-kanak. Kerajaan menyediakan Talian Nur 15999. Setakat ini sejauh mana maklum balas dan keberkesanan talian itu dalam menangani isu berkaitan? Talian Nur diwujudkan untuk memudah orang ramai membuat sebarang aduan termasuk berkaitan kanak-kanak, selain orang tua dan golongan wanita. Dilancarkan 5 Disember lalu berikutan kes Nurin Jazlin Jazimin. Sejak dilancar hingga 16 Januari lalu, sebanyak 25,102 panggilan diterima, tetapi kebanyakannya (21,040 panggilan) adalah palsu. Secara keseluruhannya, 2,032 panggilan saja yang perlu untuk diambil tindakan oleh JKM. Antaranya kes berkaitan penderaan kanak-kanak sebanyak 198; kaunseling (425); orang kurang upaya (194); mengenai bantuan kebajikan (768); keganasan rumah tangga dan pengemis (434) dan panggilan mengenai pusat jagaan Taska (10) dan mengenai komuniti (3). Mengikut peraturan, setiap aduan, terutama berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak, tindakan akan diambil serta-merta dan jika didapati ada unsur penderaan, kami akan membawa ke hospital. Kesedaran orang ramai terhadap kes penderaan dilihat semakin meningkat. Ada jiran membuat aduan dan dengan wujud Talian Nur, ia menjadi satu saluran terbaik untuk orang ramai membuat aduan. Bagaimanapun, bagi kes kehilangan kanak-kanak, orang ramai atau penjaga biasanya akan membuat aduan terus kepada polis. Kami juga akan menyediakan talian khusus untuk kanak-kanak, iaitu kanak-kanak sendiri yang membuat aduan dan mendapatkan bantuan daripada JKM sekiranya keselamatan diri diancam termasuk didera ibu bapa atau penjaga bagi mendapatkan pertolongan daripada JKM. Talian khas kanak-kanak itu sudah diwujudkan di negara Barat.
Apakah langkah yang dilakukan kepada pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak seperti kes Nurin Jazlin Jazimin dan Sharlinie Mohd Nashar?
Kita tidak menafikan ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan serta menunggu peluang untuk menculik kanak-kanak. Hasil daripada kes Nurin Jazlin itu, sudah ada perbincangan dengan polis dan agensi berkaitan. Kita akan mengadakan sistem pengesanan untuk mengesan penjenayah seksual terhadap kanak-kanak. Jika seseorang itu pernah didakwa terbabit kes jenayah seksual, culik atau sebagainya, mereka tidak dibenarkan bekerja di tempat yang mempunyai ramai kanak-kanak. Kerajaan bercadang mewujudkan Dasar Perlindungan Kanak-kanak. Di bawah dasar itu akan menentukan apakah peraturan dari segi pengambilan kaki tangan supaya ada tapisan. Orang yang diambil bekerja itu tidak terbabit dengan jenayah, selain memberikan penekanan terhadap komunikasi kepada kanak-kanak, terutama di kalangan penjaga dan pekerja di pusat kanak-kanak. Dasar itu kini pada peringkat kajian sebelum diluluskan Kabinet.
Sejauh mana keberkesanan kerajaan menangani isu itu. Berdasarkan pemerhatian tindakan dari segi penyebaran maklumat mengenai kehilangan itu agak lewat. Apa komen JKM?
Kita dapati, ketika kes Nurin Jazlin, didapati tindakan penyebaran maklumat agak lewat, iaitu selepas dua tiga hari baru ia disebarkan secara meluas di akhbar. Dalam kes Sharlinie dikeluarkan serta-merta, malah polis dan kementerian bersama-sama membuat pengumuman, sekali gus semua pihak tampil membantu, termasuk mengedar risalah dan gambar kehilangan Sharlinie. Dalam masa 24 jam selepas kejadian, adalah perkara penting Jika lebih daripada itu, mungkin agak sukar. Selain itu, kesedaran masyarakat untuk membantu mencari kanak-kanak hilang juga semakin meningkat dan ia menandakan wujud sikap masyarakat penyayang. Dalam kes Sharlinie, orang ramai memberi kerjasama baik. Apa yang dilihat juga ada kerjasama erat antara pelbagai agensi, persatuan dan NGO membantu menangani kes kehilangan kanak-kanak. Walaupun isu kehilangan kanak-kanak dikendalikan oleh polis, tetapi jabatan memberikan kerjasama mengikut bidang tugas kita seperti memberikan kes kaunseling kepada ibu bapa yang kehilangan anak serta memantau dari segi keperluan lain serta melihat keadaan mereka. Jika memerlukan bantuan kewangan, kita juga akan beri sumbangan.

No comments: