Sunday, October 10, 2010

Banteras pornografi laman web

Oleh LEE FOOK ON
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Pengaruh pornografi di Internet harus dipandang serius oleh semua pihak di negara ini. Hal ini pernah dibangkitkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di persada antarabangsa baru-baru ini.

Sejak perkhidmatan Internet diperkenalkan di negara ini pada 1987 dan peningkatan pengedaran dan penjualan VCD serta DVD lucah yang berleluasa, didapati kes-kes jenayah seksual turut meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat, berkata, bilangan jenayah seksual termasuk liwat dan sumbang mahram meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2005. Tahun lalu sahaja, terdapat 4,238 kes jenayah seksual berbanding 3,986 kes (2008), 3,689 kes (2007), 2,943 kes (2006) dan 2,427 kes (2005). Daripada perangkaan ini, kes-kes rogol menduduki tempat teratas.

Pada tahun lalu, sejumlah 3,626 kes rogol telah dilaporkan oleh mangsa kepada pihak polis berbanding 3,409 kes (2008), 3,098 kes (2007), 2,431 kes (2006) dan 1,931 kes (2005). Bagi kes-kes sumbang mahram pula, jumlah kes pada tahun lalu meningkat kepada 385 kes daripada 334 kes pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, kes yang dicatatkan ialah 360 kes, 332 kes (2006) dan 294 kes (2005). Perangkaan-perangkaan ini cukup membimbangkan.

Apatah lagi, banyak kes yang tidak dilaporkan. Ini kerana lebih 80 peratus daripada pesalah seksual mempunyai hubungan ataupun mengenali mangsa seperti ahli keluarga, saudara mara dan jiran mereka.

Trend sebegini jelas menunjukkan keruntuhan moral semakin gawat di kalangan anggota masyarakat di negara ini.

Bukan itu sahaja, sekiranya gejala negatif ini tidak dikekang segera, maka ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada 2020. Ini kerana sesetengah kakitangan pejabat terutamanya di sektor swasta menggunakan masa pejabat untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Mereka bukan sahaja menyalahguna kemudahan pejabat dan meningkatkan kos operasi syarikat tempat mereka bekerja, malah daya produktiviti mereka turut terjejas. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas dan pemikiran mereka menjadi celaru kerana imej-imej lucah sentiasa terpampang di dalam minda mereka. Mereka ketagih menonton gambar-gambar lucah.

Gejala yang tidak sihat ini juga merupakan antara punca berlakunya gangguan seksual di tempat kerja. Antara negara yang telah melaksanakan dasar menapis dan menyekat bahan-bahan pornografi di Internet ialah China, negara-negara Kesatuan Eropah (yang melakukan penapisan ke atas pornografi kanak-kanak), Arab Saudi, Korea Selatan, Australia, Kanada dan India.

Bagaimanapun, untuk menyekat dan mengekang pornografi siber bukanlah mudah seperti yang difikirkan. Ini disebabkan aktiviti-aktiviti 'penjualan tubuh' merupakan aktiviti-aktiviti komersial utama di Internet dan paling banyak di laman sesawang tertentu. Adalah dianggarkan terdapat lebih daripada 1.5 juta laman sesawang pornografi di Internet dan 74 peratus daripada laman sesawang pornografi itu memaparkan diri sebagai laman selamat serta mudah dilayari.

Justeru itu, tindakan Malaysia membangkitkan isu keselamatan Internet termasuk keperluan membendung pornografi kanak-kanak, serta kesan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap nilai budaya di persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 di Guadalajara, Mexico pada 8 Oktober lalu, disambut baik oleh pelbagai pihak terutama pemimpin dan badan telekomunikasi dunia.

Menurut Rais, beliau akan mengusulkannya dengan mengutus surat kepada Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure untuk memastikan cadangan yang dikemukakan Malaysia diambil tindakan sewajarnya.

Selain itu, disyorkan supaya semua kerajaan di dunia mengkehendaki dan mensyaratkan semua laman sesawang pornografi wajib dibayar. Mereka boleh mengusul dan membahaskan syor ini di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Penetapan sebegini dapat mengurangkan dengan banyak jumlah penonton laman itu. Selain itu, ditetapkan juga agar laman-laman sesawang pornografi menggunakan kata tambahan seperti .sex atau .xxx dan bukan .com. Cadangan ini harus dipertimbangkan. Syarat ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk menapis bahan-bahan pornografi.

Selain itu, pendidikan seks yang holistik dan dilaksanakan secara berperingkat amat diperlukan di sekolah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Durex, hanya 36 peratus masyarakat negara ini menerima pendidikan seks di sekolah. Majoritinya memperoleh pengetahuan seks daripada Internet iaitu sebanyak 75 peratus dan majalah (76 peratus).

Justeru, kerajaan tempatan melalui majlis-majlis daerah atau perbandaran harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kedai perkhidmatan Internet dan kafe siber.

Antara syaratnya ialah bilik Internet haruslah diterangi dan cermin dinding tidak boleh gelap. Skrin monitor komputer harus dihala ke arah yang dapat dipandang orang. Ini akan menyebabkan pengguna menjadi segan, malu dan takut untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Pihak berkuasa pula hendaklah selalu melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menawarkan perkhidmatan Internet. Masyarakat terutamanya golongan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang dan melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada laman-laman sesawang pornografi.

Oleh kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan bimbingan dan kawalan dalam penggunaan perkhidmatan Internet, maka ibu bapa atau penjaga harus lebih prihatin dan mengambil tahu tentang cara penggunaan perkhidmatan Internet oleh anak-anak mereka. Ibu bapa boleh mengawal selia penggunaan perkhidmatan Internet dengan menggunakan perisian penapisan kandungan yang dapat dimuat turun secara percuma dari Internet.

Mereka juga dapat membelinya di kedai-kedai komputer. Antara perisian penapisan Internet yang terdapat di pasaran ialah Net Nanny Parental Controls, Safe Eyes, CYBERsitter, Puree Sight PC, Cyber Patrol, Mc Afee Parental Controls, Filter Park, Im View dan Parental Controls. Selain itu, hubungan keluarga yang baik dan harmoni juga dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka.

Begitu juga, pembangunan kerohanian, pegangan agama yang kuat dan takut kepada Tuhan dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan aspek pembangunan kerohanian anak masing-masing.

Pengaruh daripada laman-laman sesawang pornografi harus ditangani segera oleh semua pihak. Ia amat perlu dalam usaha kita mewujudkan satu masyarakat terutama generasi muda Malaysia yang mempunyai jati diri dan keperibadian yang baik.

Penulis ialah seorang Pengkaji dan Penganalisis Politik, Ekonomi, Sosial dan Budaya Masyarakat.

Thursday, July 22, 2010

MENDEKATI WANITA PENAN

SEJAK Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak dikeluarkan pada September 2009, ia mengesahkan bahawa gangguan seksual dan eksploitasi kaum wanita Penan sememangnya berlaku.

Lanjutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti kewujudan keganasan seksual dan eksploitasi seks yang tersebar luas dan faktor-faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku.

Hasil laporan jawatankuasa itu juga segera mendorong KPWKM menggerakkan misi untuk menangani isu ini. Melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), kerjasama dijalinkan dengan Sarawak Women for Women Society (SWWS) untuk melaksanakan tiga program iaitu program Gangguan Seksual, Pembangunan Minda dan ‘Wanita Bijaksana Keluarga Sejahtera’.

Program tersebut dilaksanakan di Long Lama, Long San dan Batu Niah, Miri, Sarawak. Fasa I program iaitu familiarisation trip telah diadakan pada 21 Jun hingga 3 Julai 2009 di ketiga-tiga kawasan tersebut. Program dalam Fasa I bertujuan mengenal pasti sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat Penan yang akan menyertai Fasa II program iaitu training of trainers (TOT). Seramai 1,300 peserta terlibat dalam Fasa I ini.

Sehingga kini, program TOT telah memasuki Fasa II iaitu di Long Lama telah diadakan pada 12 hingga 14 Oktober 2009. Program TOT dalam fasa ini telah dimanfaatkan kepada 382 sukarelawan yang telah dikenal pasti dan akan memberi kesedaran kepada kaum Penan termasuk wanita dan pelajar sekolah mengenai gangguan seksual, pembangunan minda dan sebagainya.

Fasa II program TOT bagi Long San dan Long Sait telah diadakan pada 23 hingga 26 Mac 2010. Objektif program adalah bagi membolehkan sukarelawan Penan yang terdiri daripada guru-guru, pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat Penan berbincang serta bertukar-tukar pandangan dengan remaja dan gadis Penan mengenai cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa atau apabila mendapat ancaman orang luar, selain dari komuniti mereka. Salah satu sesi yang diadakan dengan pelajar-pelajar Penan di sekolah Long San dan Long Sait juga memuatkan topik keselamatan diri.

Selain itu, Fasa II program ini juga bertujuan membincangkan cara-cara untuk membantu gadis Penan yang telah menjadi mangsa eksploitasi seks, termasuk tip-tip untuk mengelak daripada menjadi mangsa keganasan seksual. Ini juga bertujuan memastikan supaya masyarakat Penan sentiasa peka dan prihatin dengan keadaan persekitaran, seterusnya dapat menjadi sebuah masyarakat yang sama-sama dapat memberi sokongan kepada agensi kerajaan dan NGO dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Friday, July 2, 2010

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.

Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.

Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).

Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.

“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Saturday, May 15, 2010

ADAB MURID

Apabila kamu seorang murid, maka adab murid kepada guru adalah :

· Mendahului guru dengan penghormatan dan salam

· Menyedikitkan pembicaraan di hadapan guru

· Tidak berbicara selagi tidak ditanya oleh guru

· Tidak bertanya (sebelum izin terlebih dahulu)

· Tidak menentang guru dengan berkata, “ Fulan mengatakan pendapat yang berbeda dengan apa yang kamu katakana”

· Tidak menunjukkan pendapat yang berbed akepada guru sehingga memandang bahawa dia lebih mengetahui yang benar daripada gurunya

· Tidak (bertanya) kepada teman duduk nya di majlis

· Tidak menoleh kepada orang yang ada di samping tetapi duduk menundukkan kepala, tenang dan beradab seolah dalam solat

· Tidak memperbanyakkan (pertanyaan) kepada guru ketika dia sedang berurusan

· Apabila guru berdiri, maka berdiri untuk menghormatinya

· Tidak mengikuti guru dengan perkataan atau pertanyaannya

· Tidak bertanya kepad aguru di jalan hingga dia sampai ke rumah

· Tidak buruk sangka kepada guru dalam perbuatan zahirnya yang aneh kerana guru lebih tau rahsia-rahsianya

Petikan daripada buku Bidayah al-Hidayah (Bimbingan Menggapai Hidayah), Imam Al-Ghazali,ms 89-90.

Maka, sempena hari guru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang secara rasmi mengajar saya di institusi pendidikan, SK Lutong, SMK Lutong, KML dan UKM serta mereka yang mengajar saya erti kehidupan.Saya sentiasa mendoakan agar jasa kalian dibalas dengan sebaiknya olehNya.

Sunday, May 2, 2010

CERITA HOSPITAL

Jam 9.00 malam, selesai mengajar kelas malam Jumaat, aku bergegas menuju ke rumah saudaraku yang tinggal berhampiran. Aku perlu menanti adik ku untuk mengambil ku pulang. Biasalah jika kereta cuma satu berbagi dua orang ‘driver’. Tiba saja di rumah kakak, “ Baru balik dari mengajar? Taufik dah dua hari demam dan sakit perut,jadi tak pergi sekolah”. Baru saja hendak menjamah makanan yang dirancang untuk dimakan bersama mereka sekeluarga kerana aku jarang berkesempatan menziarahi mereka; niat terhenti dan terus meluru ke arah Taufik yang lemah longlai terbaring. Ku sentuh dahinya, panas. Ku periksa bahagian perutnya, tekan di kiri tiada rasa sakit responnya. Tekan lagi di bahagian kanan perut, sakit responnya. Dah dua hari dia tidak makan, hanya minum dan tidak dapat bangun langsung. “Suspek apendiks ni kak, kena bawa hospital segera” ujarku. Aku terus meminta tolong jiran sebelah untuk membawa Taufik ke hospital. Walaupun ku tau peluang agak tipis. Alhamdulillah, mungkin sebab jirannya memang kenal benar denganku, maka dia membenarkan aku memandu sendiri keretanya. Segera ku bawa Taufik ke hospital berdua kerana kakak harus menjaga anak-anak yang masih kecil kebetulan suaminya sudah tiada.

Setibanya di hospital, aku ke kaunter B mendaftar nama. Selepas lebih kurang 40 minit barulah nama Taufik dipanggil. Jururawat bertugas memeriksa Taufik sebelum diarahkan ke yellow zone. Rupa-rupanya yellow zone ialah bahagian kecemasan. Ramai pesakit kecemasan di wad tersebut. Aku menunggu giliran Taufik, selepas 15 minit barulah doktor yang bertugas memeriksa Taufik. Sah 99 peratus apendiks katanya, harus dibedah. Selepas mendaftar semula di kaunter B untuk mendapatkan katil kosong, aku pergi ke wad sementara di mana darah dan air kencing Taufik diperiksa. Jam sudah menunjukkan jam 12 malam. Disahkan bahawa Taufik ditahan di hospital untuk dibedah dan pembedahan mungkin segera atau awal pagi esoknya. Kebetulan Sabtu ialah cuti hari pekerja, aku cuti mengajar. Allah mempermudahkan urusanku.

Adikku baru pulang dari keluar berjalan dengan kawannya, aku minta dia temankan aku menghantar kereta jiran kakak dan maklumkan keadaan taufik dan aku nekad akan tidur di hospital menemaninya malam itu juga kerana kakak perlu bekerja esoknya dan menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Dalam keadaan menggigil akibat kelaparan ku pulang ke rumah selepas menghantar kereta untuk mengambil barang keperluan. Jam 2.00 pagi aku kembali semula ke hospital. Bermalam lah aku di hospital.

Ku kira hampir lapan kali Taufik di periksa dan di tanya doktor dan jururawat yang berlainan dan pastinya jawapan Taufik adalah sama. Selepas pemeriksaan oleh doktor yang kelapan barulah taufik terus dipersiapkan untuk pembedahan, ketika itu jam 11.00 pagi. Lega kerana selepas doktor kelapan memeriksa Taufik dan setelah beberapa hari menahan sakit, Taufik ku lihat mengalirkan air mata kerana sakitnya sudah tidak tertahan lagi. Aku menandatangani surat persetujuan ibu bapa dan aku menandatanganinya sebagai penjaga walaupun pada mulanya doktor yang bertugas kurang yakin, selepas aku maklumkan aku berusia 25 tahun dan menunjukkan kad pengenalan barulah aku dibenarkan menandatangani surat tersebut. Budak lelaki berusia 15 tahun dan tiba-tiba harus dibedah seperti Taufik, dengan BMI yang tidak normal..pasti gelisah dan ketakutan dibuatnya. Aku temani dia ke bilik OT dan menandatangani dua surat persetujuan risiko pembedahan dan surat persetujuan pemindahan darah jika berlaku apa-apa kemungkinan. Dengan pengetahuan perubatan yang ada sedikit padaku, aku menandatangani dua surat tersebut. Lega rasa hatiku dan aku keluar menaiki van sapu mengambil kereta daripada adikku di tempat kerjanya untuk mengambil kakak. Kakak menjaga Taufik sehingga petang tadi jam 3 petang. Esok, Taufik dibenarkan keluar dari hospital walaupun pada mulanya doktor sukar memastikan kerana demamnya masih teruk dan belum kebah-kebah lagi selepas pembedahan.

Ini salah satu cerita hospitalku. Suatu ketika dahulu akibat tiada sikap kepedulian dan kejiranan yang longgar, aku tidak sempat menyelamatkan seorang ahli jiranku walaupun aku tau kematian itu ketentuanNya. Pengajaran seperti ini mempersiapkan diriku agar jangan memandang rendah sakit-sakit ringan apatah lagi jika kita tiada pengerahuan tentang penyakit-penyakirt tertentu yang boleh membawa kepada kematian. Dan tidak akan ku lupakan, di hospital lah tempat dan pertemuan terakhirku dengan Allahyarham Ustaz Awang Pon. Al-Fatihah..

Sentiasalah berwaspada dan mengambil berat..

Friday, April 2, 2010

REMAJA WANITA MASA KINI


Beberapa hari ini kita dipaparkan dengan berita-berita mengenai kes pembuangan bayi dan statistik kes yang cukup menggerunkan. Nampaknya pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh semua pihak untuk mengurangkan masalah ini. Factor-faktor yang mungkin menjadi sebab ialah hilangnya rasa malu dan gagal mengenali diri sendiri sebagai seorang remaja dan sebagai wanita khususnya menjadi punca kepada berlakunya permasalahan ini.

HILANGNYA FUNGSI MALU

Rasa malu sekarang menjadi sesuatu yang sangat mahal. Ramai orang yang sudah tidak punya rasa malu. Kalau dahulu, datang lewat ke pejabat ; malu, berpakaian seksi ; malu, bercumbu-cumbuan di khalayak ramai apatah lagi, malu bukan kepalang. Namun sekarang, perkara-perkara seperti ini dapat dilihat di mana-mana sahaja. Hatta, membuang bayi yang tidak berdosa juga bukan sesuatu perkara yang memalukan bagi mereka. Jika dilihat dalam kamus Inggeris, malu ialah ashame yang bermaksud feeling guilty atau merasa bersalah. Kita miskin tidak kaya seperti orang lain perlu ada rasa bersalah, maka jika sudah kaya tidak lagi perlu mempunyai rasa bersalah? Atau kita merosakkan harta benda awam tetapi kemudian benda awam tersebut di tukar ganti maka kita sudah tidak perlu rasa bersalah lagi? Apakah yang disandarkan kepada wujudnya perasaan ‘bersalah’ itu? Bersalahkah apabila kita berbeza daripada orang lain dari segala segi kebendaan? Secara mudahnya kita boleh fahami bahawa jika tidak punya rasa bersalah maka kita bukan golongan yang bermoral.

Dalam Islam, malu di perjelaskan dengan sangat luas, dari Ibnu Mas’ud Al-badari bahawa sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda :

“Sesungguhnya di antara perkataan yang di dapatkan dari nubuwah yang pertama :

Apabila engkau tidak malu maka lakukanlah apa saja yang engkau kehendaki “

Hadis ini menunjukkan bahawa malu sebagai perisai bagi seseorang dari tindakan yang boleh memudaratkan agamanya atau merosakkan akhlaknya dan maruahnya. Jika terlepas sifat malu ini maka dia tidak akan menghiraukan apapun keburukan yang dilakukannya. Jelas di sini bahawa peningkatan gejala sosial adalah akibat hilangnya rasa malu yang langsung tidak bercambah di dalam hati.

KEREMAJAAN MENGELIRUKAN

Proses keremajaan juga amat mempengaruhi pembentukan sahsiah diri. Berdasarkan graf lengkung pertumbuhan manusia, umur 13-20 tahun merupakan usia yang paling singkat dan cepat untuk tempoh pertumbuhan remaja samada dari segi fizikal atau mental jika dibandingkan dengan fasa pertumbuhan peringkat kanak-kanak yang pada usia ini pertumbuhan mental belum mampu membuat kanak-kanak melakukan penilaian manakala fasa dewasa pula pertumbuhan fizikal orang dewasa adalah malar. Disebabkan singkatnya masa dan berlaku pula pelbagai perubahan yang ketara ini dikatakan menjadi penyebab kepada penglibatan remaja dengan kegiatan sosial. Kecenderungan terhadap perkara-perkara baru, kecenderungan terhadap jantina yang berbeza, ingin dihargai, ingin diiktiraf dan sebagainya adalah jiwa dan kehendak remaja yang perlu dipenuhi.

Selain itu, kes buang bayi sebenarnya merupakan result daripada segala gejala sosial yang sedia ada kini. Ini kerana ramai wanita sebenarnya gagal memahami siapakah diri mereka. Pada usia remaja ini, remaja wanita ada yang cenderung mahu setanding dengan lelaki, mahu dilihat maskulin. Mereka gagal menghargai diri mereka kerana mereka gagal memahami siapakah diri mereka yang sebenarnya. Akhirnya berlakulah gejala lesbian, pengkid, hanya kerana mereka tidak mahu bergantung kepada lelaki atau mahu setara dengan lelaki. Sikap escapism atau tidak berupaya menerima perubahan yang mengakibatkan perbezaan dengan orang sekeliling ini adalah akibat kekeliruan identiti dan jatidiri.

Saya sendiri pernah mengendalikan tiga siri bengkel dengan golongan remaja dan daripada 40 pelajar perempuan yang hadir, majoriti tidak dapat mengenalpasti ciri perbezaan utama antara lelaki dan wanita iaitu kebolehan mengandung dan kehadiran rahim dalam diri wanita itu sendiri. Majoriti daripada mereka hanya melihat perbezaan wanita dan lelaki dari segi fizikal dan perwatakan semata-mata.

DARI WANITA KEPADA WANITA

Pelbagai langkah telah diambil untuk membantu menyelesaikan masalah kes pembuangan bayi ini. Pelbagai usaha telah dilakukan, kelab rakan muda, rakan masjid, rumah perlindungan, kempen , seminar dan sebagainya dan terbaru kempen kami prihatin. Sebenarnya hanya wanita yang memahami wanita. Usaha untuk menyedarkan remaja tentang siapakah diri mereka amat penting agar mereka tidak keliru kerana pada usia inilah mereka mencari identiti dan jati diri. Pendedahan tentang kewanitaan, adab-adab pergaulan yang dapat menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa harus diperkenalkan. Bengkel Kesedaran tentang keselamatan atau kesejahteraan wanita perlu diperkenalkan di peringkat sekolah menengah lagi, metod pelaksanaan lebih bersifat keremajaan dan maklumat benar tentang wanita dikongsikan bersama, barulah remaja wanita akan mendapat ilmu selain kita dapat membuat profil tentang setiap peserta wanita yang hadir. Remaja yang benar-benar bermasalah pula akan mendapat tempat rujukan melalui fasilitator jika betul cara pendekatan. Namun, bukan bermakna pendekatan berkempen tidak membantu, tetapi hakikat remaja mahu dihargai dan diiktiraf harus diambil kira. Apabila kita mengiktiraf mereka sebagai remaja dan mengiktiraf pula kewujudan mereka sebagai wanita maka mudah untuk kita mendekati mereka.

Jika pendekatan berbentuk hiburan amat berjaya untuk menggalakkan pertembungan antara jantina yang amat dicenderungi remaja saat ini maka jika kita gagal memahami kehendak keremajaan ini daripada sisi yang betul akan menyebabkan kita sebagai mana-mana organisasi atau pertubuhan gagal untuk mendekati mereka. Gagalnya kita sebagai salah satu institusi masyarakat untuk memahami keadaan ini menyebabkan kita semakin jauh daripada mereka. Bukan sahaja jauh malah kita akan buntu untuk mencari jalan penyelesaian paling sesuai di kemudian hari. Dekatilah wanita, kerana hanya wanita yang sebenarnya mengenali wanita yang lain.