Jam 9.00 malam, selesai mengajar kelas malam Jumaat, aku bergegas menuju ke rumah saudaraku yang tinggal berhampiran. Aku perlu menanti adik ku untuk mengambil ku pulang. Biasalah jika kereta cuma satu berbagi dua orang ‘driver’. Tiba saja di rumah kakak, “ Baru balik dari mengajar? Taufik dah dua hari demam dan sakit perut,jadi tak pergi sekolah”. Baru saja hendak menjamah makanan yang dirancang untuk dimakan bersama mereka sekeluarga kerana aku jarang berkesempatan menziarahi mereka; niat terhenti dan terus meluru ke arah Taufik yang lemah longlai terbaring. Ku sentuh dahinya, panas. Ku periksa bahagian perutnya, tekan di kiri tiada rasa sakit responnya. Tekan lagi di bahagian kanan perut, sakit responnya. Dah dua hari dia tidak makan, hanya minum dan tidak dapat bangun langsung. “Suspek apendiks ni kak, kena bawa hospital segera” ujarku. Aku terus meminta tolong jiran sebelah untuk membawa Taufik ke hospital. Walaupun ku tau peluang agak tipis. Alhamdulillah, mungkin sebab jirannya memang kenal benar denganku, maka dia membenarkan aku memandu sendiri keretanya. Segera ku bawa Taufik ke hospital berdua kerana kakak harus menjaga anak-anak yang masih kecil kebetulan suaminya sudah tiada.
Setibanya di hospital, aku ke kaunter B mendaftar nama. Selepas lebih kurang 40 minit barulah nama Taufik dipanggil. Jururawat bertugas memeriksa Taufik sebelum diarahkan ke yellow zone. Rupa-rupanya yellow zone ialah bahagian kecemasan. Ramai pesakit kecemasan di wad tersebut. Aku menunggu giliran Taufik, selepas 15 minit barulah doktor yang bertugas memeriksa Taufik. Sah 99 peratus apendiks katanya, harus dibedah. Selepas mendaftar semula di kaunter B untuk mendapatkan katil kosong, aku pergi ke wad sementara di mana darah dan air kencing Taufik diperiksa. Jam sudah menunjukkan jam 12 malam. Disahkan bahawa Taufik ditahan di hospital untuk dibedah dan pembedahan mungkin segera atau awal pagi esoknya. Kebetulan Sabtu ialah cuti hari pekerja, aku cuti mengajar. Allah mempermudahkan urusanku.
Adikku baru pulang dari keluar berjalan dengan kawannya, aku minta dia temankan aku menghantar kereta jiran kakak dan maklumkan keadaan taufik dan aku nekad akan tidur di hospital menemaninya malam itu juga kerana kakak perlu bekerja esoknya dan menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Dalam keadaan menggigil akibat kelaparan ku pulang ke rumah selepas menghantar kereta untuk mengambil barang keperluan. Jam 2.00 pagi aku kembali semula ke hospital. Bermalam lah aku di hospital.
Ku kira hampir lapan kali Taufik di periksa dan di tanya doktor dan jururawat yang berlainan dan pastinya jawapan Taufik adalah sama. Selepas pemeriksaan oleh doktor yang kelapan barulah taufik terus dipersiapkan untuk pembedahan, ketika itu jam 11.00 pagi. Lega kerana selepas doktor kelapan memeriksa Taufik dan setelah beberapa hari menahan sakit, Taufik ku lihat mengalirkan air mata kerana sakitnya sudah tidak tertahan lagi. Aku menandatangani surat persetujuan ibu bapa dan aku menandatanganinya sebagai penjaga walaupun pada mulanya doktor yang bertugas kurang yakin, selepas aku maklumkan aku berusia 25 tahun dan menunjukkan kad pengenalan barulah aku dibenarkan menandatangani surat tersebut. Budak lelaki berusia 15 tahun dan tiba-tiba harus dibedah seperti Taufik, dengan BMI yang tidak normal..pasti gelisah dan ketakutan dibuatnya. Aku temani dia ke bilik OT dan menandatangani dua surat persetujuan risiko pembedahan dan surat persetujuan pemindahan darah jika berlaku apa-apa kemungkinan. Dengan pengetahuan perubatan yang ada sedikit padaku, aku menandatangani dua surat tersebut. Lega rasa hatiku dan aku keluar menaiki van sapu mengambil kereta daripada adikku di tempat kerjanya untuk mengambil kakak. Kakak menjaga Taufik sehingga petang tadi jam 3 petang. Esok, Taufik dibenarkan keluar dari hospital walaupun pada mulanya doktor sukar memastikan kerana demamnya masih teruk dan belum kebah-kebah lagi selepas pembedahan.
Ini salah satu cerita hospitalku. Suatu ketika dahulu akibat tiada sikap kepedulian dan kejiranan yang longgar, aku tidak sempat menyelamatkan seorang ahli jiranku walaupun aku tau kematian itu ketentuanNya. Pengajaran seperti ini mempersiapkan diriku agar jangan memandang rendah sakit-sakit ringan apatah lagi jika kita tiada pengerahuan tentang penyakit-penyakirt tertentu yang boleh membawa kepada kematian. Dan tidak akan ku lupakan, di hospital lah tempat dan pertemuan terakhirku dengan Allahyarham Ustaz Awang Pon. Al-Fatihah..
Sentiasalah berwaspada dan mengambil berat..
2 comments:
Assalamualaikum..
K.Mar, lama xjumpa akak..
Bagus akak punya diagnosis..
Boleh ganti doktor nie..
Tahniah..
pandei ktk diagnose adik ya mar.tahniah...bagus3x...:)
Post a Comment