Wednesday, July 29, 2009

BOSAN MENUNGGU


Bosan..mungkin ini kata-kata yang akan keluar daripada seseorang yang benci menunggu. Pernah anda menunggu barisan panjang untuk nombor giliran di mana-mana pejabat kerajaan? Semasa hujung atau awal bulan untuk mendapatkan gaji atau urusan membayar bil? Bosan kan? Kalau ada pun yang mematikan bosan itu ialah surat khabar- surat khabar yang ada dua tiga jenis akhbar, dua tiga jenis majalah; itupun kalau kebetulan ada yang terkini, aktiviti lain ialah membaca dan membalas pesanan ringkas (sms atau saja-saja menelefon ; jika ada urusan yang belum selesai). Tapi selama mana?? Nasib baik bagi mereka yang selalu menjadi orang terawal dalam semua urusan. Saya terfikir jika semua agensi kerajaan terutama bank, pejabat pos, pejabat TM dan lain-lain pejabat yang perlu mengambil nombor giliran dibekalkan dengan sekurang-kurangnya sebuah rak kecil untuk diletakkan buku-buku yang sesuai untuk dibaca; mungkin sekadar bacaan ringan. Saya tidak risau bagi mereka yang biasa membawa dan membaca buku di mana-mana, tetapi bagi mereka yang biasa berdiri membatu semasa menunggu giliran, kadang-kadang terfikir, banyak benar masa yang mereka ada. Sekurang-kurangnya bahan bacaan yang tersedia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang terdetik hatinya untuk membelek atau kemudian membaca buku-buku tersebut. Majalah hiburan cukuplah sekadar 2 jenis sahaja, yang lain silakan seluas-luasnya majalah ilmiah selain buku-buku seperti buku motivasi, novel pelbagai genre atau buku ringkasan sejarah, tokoh-tokoh dunia, budaya dan lain-lain. Ringkas-ringkas saja. Jika benar mahu membudayakan tabiat membaca, nah ini cadangan saya :

1. Sediakan bahan bacaan ringan yang boleh dicapai di mana-mana saja ruang tertutup. Paling sesuai di pejabat yang memerlukan pelanggan mengambil nombor giliran. Dibaca atau tidak bukan ukuran, sekurang-kurangnya ada daripada tiada langsung kan.

2. Di dalam atau di stesen pengangkutan awam, sekurang-kurangnya ada suratkhabar atau majalah. Letakkan di satu tempat khas, hilang kerana diambil orang tidak kisah, rasa-rasanya syarikat penerbitan majalah punya banyak baki majalah yang sesuai untuk dibaca walaupun bukan yang terkini, mengikut isu juga sudah cukup bagus.

Ini saja cadangan yang terlintas, mungkin akibat geram dengan kebosanan menunggu dan melihat orang menunggu membatu. Pasti ada cadangan lain yang lebih bernas, wawasan besar memta’dibkan masyarakat dan melahirkan masyarakat berilmu. Mungkin bukan ini caranya untuk melahirkan tokoh ilmuwan, tetapi kadangkala usaha kecil yang kerap dan istiqamah dilakukan lebih membawa kesan kepada individu dalam masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin bandingan cadangan ini tidak standing cadangan penulis buku Penjelasan Budaya Ilmu. Apa-apa pun kalau bosan menunggu, amalkan membawa bahan bacaan ke mana-mana saja anda pergi. Takut nanti mati rasa akibat menunggu!

(Kesan daripada menunggu nombor giliran di salah satu pejabat kerajaan, 27 Julai 2009)

Wednesday, July 22, 2009

Monday, July 20, 2009

PENGHUJUNG WAKTU

Bulan ini

Sedar rupanya sudah di penghujung

Hujung yang harus diterbit pula azam baru selepasnya

Agar darah perjuangan terus istiqamah mengalir

Tanpa benci dan henti

Bulan ini

Moga bibit kenangan berjuang yang dicipta bersama

Menjadi madu pada perjuangan

Buat insan bergelar pewaris risalah Nabi.

Bulan ini

Sudah sampai ke penghujungnya

Moga ada harapan di hujung waktu bersama

Sebelum meninggalkan pergi

Kekasih hati, para pejuang yang ku sayangi.

Wednesday, July 15, 2009

JENAYAH PELAJAR PEREMPUAN NAIK

Pertambahan 673 kes dua tahun lalu berbanding 523 pada 2006: Kajian

KUALA LUMPUR: Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati, kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2005.

Pengarah ISM, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata peningkatan itu membimbangkan kerana jumlah kes bertambah kepada 673 pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes (2005).


Bagaimanapun, katanya pelajar lelaki kekal sebagai golongan paling ramai melakukan kesalahan jenayah iaitu 6,090 pada 2007 berbanding 5,423 kes pada 2006.


Katanya, pada 2001, kes salah laku jenayah membabitkan pelajar perempuan sebanyak 100 dan ia meningkat kepada 600 kes dalam tempoh enam tahun.

"Pembabitan pelajar perempuan dalam salah laku jenayah memberi amaran kepada semua pihak supaya mengambil tindakan wajar kerana dikhuatiri akan terus meningkat.

"Pelajar perempuan sering dikaitkan sebagai golongan mematuhi disiplin serta tekun dalam bilik darjah dan dilihat mula terkeluar daripada norma hidup apabila turut terbabit dengan jenayah yang lazimnya membabitkan pelajar lelaki," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamed Fadzil berkata, pelajar perempuan berdepan krisis identiti apabila mencecah usia remaja dan dalam proses mencari itu ada antara mereka berdepan kekeliruan yang disebabkan pendedahan kepada beberapa unsur.

Katanya, sebagai contoh, aksi lasak dan ganas yang ditonjolkan dalam filem mempengaruhi perlakuan mereka dan pelajar perempuan akan melakukan perbuatan yang dilihat betul seperti bergaduh dan pukul, manakala idola bersifat kasar dan ganas menjadi ikutan.

"Kajian juga mendapati, pelajar perempuan yang terbabit dengan kes jenayah berpunca tekanan dan dorongan serta cabaran rakan sebaya

"Rakan sebaya adalah golongan yang paling rapat dan pengaruh rakan lelaki juga menyumbang kepada salah laku jenayah," katanya.

Sifat pelajar perempuan kata Mohamed Fadzil, cuba menguasai dan mereka lebih berani apabila berkumpulan, termasuk mencari rakan untuk melakukan kesalahan bersama.

Paling jelas, beliau berkata, pelajar perempuan tidak akan melakukan kesalahan antaranya ponteng sekolah, vandalisme dan penyalahgunaan dadah berseorangan kerana perbuatan secara berkumpulan lebih selamat.

Katanya, pelajar perempuan tidak akan terjebak dengan salah laku jenayah jika mereka mendapat perhatian serta didikan yang betul di rumah.

Monday, July 13, 2009

ATAS NAMA CINTA-ISA KAMARI

NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

"Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam," kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.

Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

'Hebatnya' Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

"Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

"Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

"Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

"Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu," katanya.

Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

"Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

"Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

"Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati," kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

"Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

"Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

"Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya," katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

"Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

"Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan," katanya.

Sumber : Berita harian

Tuesday, May 19, 2009

CIKGU DAN SEKOLAHKU

Ingin ku kongsikan kisah yang tidak mungkin aku lupakan. Kenangan bersama beberapa orang cikgu yang selalu ku ingati.

Seorang cikgu masih aku ingat, kala aku di tingkatan 3 berusia 15 tahun, dia masih mengenali dan mengingati namaku, padahal dia hanya pernah mengajarku semasa aku di darjah 3 (9 tahun). Adakah kerana fizikal ku tidak berubah, tapi tidak. Dia cikgu yang walaupun pada tika itu dia bukan lagi seorang cikgu, sekadar menjadi pengawal keselamatan. Asalnya dari nun pedalaman Sarawak. Tapi usaha beliau mengajarku perbendaharaan kata melayu ketika di darjah 3 itu ;mana mungkin aku yang berdialek Sarawak bisa berbahasa Melayu baku seperti sekarang. Pengajarannya ; walau apa pun latar belakang cikgu kita sebelum, semasa atau selepas pencen menjadi cikgu, jasanya tidak mungkin dijual beli. Aku doakan walau di mana dia berada, dia tetap bahagia dan sentiasa ditemani senyum simpul di wajahnya.

Entah mengapa cikgu ku yang kedua yang ingin benar aku temui juga mengajar ku subjek Bahasa Melayu. Mana mungkin aku lupakan jasanya membantu aku mendapatkan biasiswa semasa aku di tingkatan 2, sedangkan siapalah aku ketika itu jika difikirkan kembali walau hanya pengawas sekolah. Dia antara cikgu bahasa melayu yang mengajar bukan sekadar memgikut silibus tetapi menjadikan kami tau apa itu syair, pantun dan segala bahas-membahas, debat-berdebat sesama kami ketika di tingkatan 3. Cikgu ahmad namanya. Dengar khabar, cikgu sudah berpindah akibat ada pergolakan ‘politik’ selepas pengetua baru diambil bertugas, tapi bukan cikgu ahmad seorang malah ada beberapa orang cikgu-cikgu senior di sekolah bertukar juga atas alasan yang sama. Itu berita terakhir ku dengar tentang mereka. Malah sekarang pun suasana sekolah berbeza sekali.

Ah, rindu benar aku pada zaman persekolahan. Walaupun sekolahku sekitar tahun 1999 hingga 2002 dilabelkan sebagai antara sekolah yang melahirkan samseng @ gangster yang tersohor namun aku ditakdirkan untuk berada di sana sehingga tingkatan 5. Mujur permohonan ku ke MRSM tidak diizinkan Tuhan (walaupun sebenarnya aku layak ke sana), jika tidak mungkin aku entah di mana saja sekarang. Pernah juga pengalaman diancam oleh minah gangster di sekolah tetapi anak-anak buahnya tidak sampai hati melihat perencanaan busuk terhadap ku berjaya, aku terselamat dan di saat-saat akhir aku sempat tersenyum padanya, kerana ketika itu aku tahu dia bukan berniat jahat tetapi akibat dengki yang bermaharajalela mungkin mahu menjadi se’baik’ ku tidak kesampaian. Entah di mana dia sekarang. Pengajarannya; memang sangat sukar mendidik jiwa menjadi murabbi pada diri dan masyarakat sekeliling.

Satu lagi yang sempat ku lakarkan di sini, tentang cerita seorang kawan Cina ku. Entah mengapa budaya mencium tangan cikgu setiap kali berselisih di mana-mana di dalam sekolah, mulanya pun aku tidak pasti, menarik hatinya. Aku masih ingat lagi kata-katanya ‘Bagus lah awak cium tangan cikgu’; dan aku menafsirkan bagaimana dia begitu tertarik dengan cara muslim menghormati gurunya. Memang sukar membawa budaya baru yang islami di sekolah, namun jerih payah itu akan di balas juga insyaAllah. Kalau dulu cikgu-cikgu sukar memberi keizinan kepada pelajar muslim untuk masuk lewat ke kelas akibat waktu rehat yang singkat untuk berhenti solat, sekarang semua di benarkan, itu pun apabila budaya mengatasi segala-galanya.

Takan dilupa kenangan menjual nasi lemak cikgu, menyertai koir Inggeris dengan teman-teman, tradisi sekolah memenangi PRIAS setiap tahun (entah ada lagi atau tidak kejohanan itu). Jika mahu diceritakan semuanya mungkin akan habis dakwat pena. .Segala-gala nya terpahat di ingatan..Terima kasih cikgu.

RUHANIYAH

MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I'TIQAD ASWJ

[Siri 2]

Anjuran
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM),
&
Kolej Dar Hikmah,Jalan Sungai Ramal Dalam, 43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

OBJEKTIF
• Menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan aqidah dan iman di kalangan belia.
• Mendedahkan umat Islam mengenai kewajiban beramal dengan ilmu daripada ahli agama Islam yang faqih.
• Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab.
• Memberi kefahaman tentang konsep dan perlaksanaan nilai-nilai Islam.

TEMA
Menghidupkan Ruhaniah Berlandaskan Pemantapan Akidah.

TARIKH & TEMPAT
23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1430H di Kolej Dar Hikmah,Jalan Sungai Ramal Dalam, 43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

TENAGA PENGAJAR
Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

YURAN
RM 15 [INDIVIDU]

Sebarang Pertanyaan, Sila Hubungi ;
Saudara Ikhram Husin [019-3731744]
Saudari Izzah Khanani [013-2197192]

...MOHON SEBARAN...