Bosan..mungkin ini kata-kata yang akan keluar daripada seseorang yang benci menunggu. Pernah anda menunggu barisan panjang untuk nombor giliran di mana-mana pejabat kerajaan? Semasa hujung atau awal bulan untuk mendapatkan gaji atau urusan membayar bil? Bosan kan? Kalau ada pun yang mematikan bosan itu ialah surat khabar- surat khabar yang ada dua tiga jenis akhbar, dua tiga jenis majalah; itupun kalau kebetulan ada yang terkini, aktiviti lain ialah membaca dan membalas pesanan ringkas (sms atau saja-saja menelefon ; jika ada urusan yang belum selesai). Tapi selama mana?? Nasib baik bagi mereka yang selalu menjadi orang terawal dalam semua urusan. Saya terfikir jika semua agensi kerajaan terutama bank, pejabat pos, pejabat TM dan lain-lain pejabat yang perlu mengambil nombor giliran dibekalkan dengan sekurang-kurangnya sebuah rak kecil untuk diletakkan buku-buku yang sesuai untuk dibaca; mungkin sekadar bacaan ringan. Saya tidak risau bagi mereka yang biasa membawa dan membaca buku di mana-mana, tetapi bagi mereka yang biasa berdiri membatu semasa menunggu giliran, kadang-kadang terfikir, banyak benar masa yang mereka ada. Sekurang-kurangnya bahan bacaan yang tersedia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang terdetik hatinya untuk membelek atau kemudian membaca buku-buku tersebut. Majalah hiburan cukuplah sekadar 2 jenis sahaja, yang lain silakan seluas-luasnya majalah ilmiah selain buku-buku seperti buku motivasi, novel pelbagai genre atau buku ringkasan sejarah, tokoh-tokoh dunia, budaya dan lain-lain. Ringkas-ringkas saja. Jika benar mahu membudayakan tabiat membaca, nah ini cadangan saya :
1. Sediakan bahan bacaan ringan yang boleh dicapai di mana-mana saja ruang tertutup. Paling sesuai di pejabat yang memerlukan pelanggan mengambil nombor giliran. Dibaca atau tidak bukan ukuran, sekurang-kurangnya ada daripada tiada langsung kan.
2. Di dalam atau di stesen pengangkutan awam, sekurang-kurangnya ada suratkhabar atau majalah. Letakkan di satu tempat khas, hilang kerana diambil orang tidak kisah, rasa-rasanya syarikat penerbitan majalah punya banyak baki majalah yang sesuai untuk dibaca walaupun bukan yang terkini, mengikut isu juga sudah cukup bagus.
Ini saja cadangan yang terlintas, mungkin akibat geram dengan kebosanan menunggu dan melihat orang menunggu membatu. Pasti ada cadangan lain yang lebih bernas, wawasan besar memta’dibkan masyarakat dan melahirkan masyarakat berilmu. Mungkin bukan ini caranya untuk melahirkan tokoh ilmuwan, tetapi kadangkala usaha kecil yang kerap dan istiqamah dilakukan lebih membawa kesan kepada individu dalam masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin bandingan cadangan ini tidak standing cadangan penulis buku Penjelasan Budaya Ilmu. Apa-apa pun kalau bosan menunggu, amalkan membawa bahan bacaan ke mana-mana saja anda pergi. Takut nanti mati rasa akibat menunggu!
(Kesan daripada menunggu nombor giliran di salah satu pejabat kerajaan, 27 Julai 2009)
No comments:
Post a Comment