Sunday, January 15, 2012

HAK-HAK WANITA PADA ZAMAN RASULULLAH SAW: MENYINGKAP SEJARAH SERIKANDI ISLAM

Wanita merupakan setengah daripada bangsa ini. Mereka adalah elemen terpenting dalam hidup sesebuah bangsa kerana mereka merupakan institusi pertama yang melahirkan generasi muda. Nasib sesebuah bangsa dan hala tuju ummah bergantung kepada sejauhmana didikan yang diterima oleh seorang anak daripada ibunya. Wanita juga merupakan faktor utama yang mempengaruhi kehidupan pemuda dan kaum lelaki (Hasan al-Banna 2003). Agama Islam tidak pernah mengabaikan peranan dan kedudukan wanita yang begitu murni dan mulia. Islam adalah agama yang membawa petunjuk dan cahaya kepada manusia. Islam telah mengatur seluruh aspek kehidupan manusia dengan meletakkan dasar dan sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Islam tidak pernah mengabaikan kaum wanita dan membiarkan mereka terumbang-ambing mencari nilai dan harga diri.
Islam telah mengangkat darjat wanita dan menjadikannya setaraf dengan kaum lelaki dari segi hak dan tanggungjawab. Mereka adalah rakan kongsi dan saudara kepada kaum lelaki. Malah al-Quran menegaskan bahawa lelaki-lelaki beriman dan wanita-wanita beriman adalah saling bergantung dan tolong menolong antara satu sama lain dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar (al-Taubah 9:71). Islam mengiktiraf sepenuhnya hak-hak asasi wanita, hak-hak mereka dalam aspek kemasyarakatan dan politik. Islam melayan wanita sebagai manusia yang sempurna, manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab. Sekiranya mereka menunaikan hak dan tanggungjawab tersebut mereka akan diberi ganjaran dan balasan yang sama dengan kaum lelaki (al-Nahl 16: 97).
Walau bagaimanapun, wanita dan lelaki diciptakan Allah swt dengan fungsi dan tanggungjawab yang berbeza. Perbezaan fungsi dan tanggungjawab ini dapat dilihat dari sudut kejadian fizikal dan psikologi antara mereka. Perbezaan ini membawa kepada perbezaan dalam menentukan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Setiap mereka hendaklah melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab yang telah difitrahkan ke atas mereka. Perbezaan hak dan tanggunjawab bukan bererti berlakukannya ketidakadilan dan diskriminasi antara wanita dan lelaki malah menunjukkan kepada keindahan ciptaan Allah swt yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Peranan Wanita Zaman Rasulullah

Wanita Islam pada zaman Rasulullah saw mempunyai peranan istimewa dalam melaksanakan amal bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan peranan mereka mengatasi peranan lelaki dalam sesetengah bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Ini kerana kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki (Muhamad Uthman al-Khatht 1984). Walaupun ciri-ciri ini turut dimiliki oleh kaum lelaki tetapi ia menjadi kelebihan kepada kaum perempuan. Ia disebabkan oleh pengaruh dalaman yang menjadikan kaum wanita mudah menerimanya berbanding dengan kaum lelaki. Kajian yang dilakukan oleh Sally Chautz dan Beat (al-Wasat 1995) mendapati kaum wanita mudah terdedah dengan pengaruh perasaan apabila membuat keputusan berbanding dengan kaum lelaki yang mengenepikan perasaan apabila membuat sesuatu keputusan atau hukuman. Ini menepati firman Allah swt yang bermaksud;
“.... dan tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan...” (Ali Imran 3:36)
Sebab itulah kita mendapati kaum wanita lebih ramai memberi sambutan kepada kerja-kerja amal dan kebajikan kemasyarakatan jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Bahkan kaum wanita lebih mampu berinterasi dengan institusi kebajikan terutama dari sudut mempengaruhi dan membangkitkan perasaan untuk menyumbang. Ini kerana perasaan kasihan belas dan rahmat merupakan fitrah yang wujud dalam diri kaum wanita (Layth Su'ud Jasim T.t). Rasulullah saw meninggalkan kepada kita suatu manhaj dan sumber yang terpelihara yang sentiasa menyumbang dan memenuhi keperluan manusia sehingga hari kiamat. Ia menjadi asas pembinaan tamadun Islam yang sentiasa berkembang dan membangun.
Menerusi hakikat inilah kaum wanita pada zaman Rasulullah saw menjalankan aktiviti dan kehidupan harian mereka. Di mana mereka turut menyertai anggota masyarakat lain dalam memperkayakan sudut-sudut amali bagi tamadun yang hebat ini. Penyertaan kaum wanita pada zaman Rasulullah saw berlaku dalam bidang institusi khidmat masyarakat, perniagaan, rekacipta, hiburan, pendidikan dan lain-lain. Prinsip-prinsip dan nilai-nilai kemasyarakatan yang dibawa oleh Islam bagi membina individu dan masyarakat telah tertanam dan wujud semenjak tahun 622M lagi, iaitu tahun pertama hijrah ke Madinah, setelah berlakunya penubuhan negara Islam serta pembinaan institusi-institusinya. Ini berbeza dengan Barat yang hanya mula berfikir tentang hak individu ke atas masyarakat sekitar tahun 1917, iaitu selepas sepuluh kurun penurunan al-Quran (Layth Su'ud Jasim T.t).

Institusi-institusi wanita pada zaman Rasulullah saw

a- Penubuhan badan kebajikan (Suffah wanita)
Ia adalah satu bumbung yang dikhususkan untuk kaum wanita di Masjid Nabawi (al-Umariyy (1991). Ia menjadi tempat perhimpunan sekumpulan wanita yang berkasih sayang, bersaudara dan bertekad sesame mereka untuk melakukan beberapa amal kebajikan yang bermanfaat. Antaranya dalam bidang pendidikan, mereka meminta Rasulullah saw agar menentukan satu hari yang khusus untuk mengajar mereka agama setelah merasai kaum lelaki telah mengatasi mereka dalam perkara tersebut. Oleh sebab itu Rasulullah telah memenuhi permintaan mereka dan menetapkan satu hari yang khusus untuk mereka belajar agama[1].
Wanita pertama yang mencadangkan penubuhan badan kebajikan bagi kaum wanita yang dinamakan Suffah wanita ini ialah Asma’ bt Yazid al-Ansariyah. Beliau juga merupakan antara wanita yang melakukan baiah dengan Rasulullah di Aqabah. Mempunyai akal yang pintar dan pendirian agama yang teguh menyebabkan wanita Madinah melantiknya sebagai wakil mereka untuk meyampaikan pandangan dan pendapat wanita kepada Rasulullah saw. Ini terbukti melalui kata-kata Asma' bt Yazid “ Sesungguhnya aku adalah utusan kepada kumpulan wanita di belakangku. Mereka semua sependapat denganku” (Layth al-Su'ud Jasim). Peranan Asma’ ini telah diikuti pula oleh Kaulah bt Qays yang turut serta dalam pembukaan kota Kabul bersama suaminya Hisyam bin Amir.
Situasi ini menunjukkan kaum wanita pada zaman Rasulullah saw dibenarkan berpersatuan dan mengeluarkan pendapat dan pandangan yang berkaitan dengan permasalahan penting terutamanya tentang wanita, kepentingan agama dan dakwah. Ini juga menunjukkan bahawa aktiviti wanita yang dijalankan secara berkumpulan atau individu bagi mencapai objektif dan kepentingan yang selari dengan tuntutan syara' adalah dibenarkan dalam Islam.. Badan Kebajikan Wanita ini pada mulanya menjalankan aktiviti di satu bahagian khusus di masjid Nabawi. Pada zaman Saidina Omar as aktiviti tersebut telah dipindah ke sebuah rumah berikutan kerja-kerja pembesaran masjid.
b- Penjara Wanita
Penjara wanita terletak berdekatan dengan masjid. Ia adalah sebuah bilik yang diperbuat daripada kayu pokok dibahagian tempat masuk masjid. Kurungan ini digunakan bagi mengurung para tawanan wanita selepas berlaku peperangan antara umat Islam dengan kaum musyrikin sehingga keputusan dibuat untuk menentukan kedudukan mereka seterusnya. Antara wanita yang dikurung dalam penjara tersebut Saffanah bt Hatim al-Ta'iyy yang menjadi tawanan sewaktu peperangan Tabuk. Sewaktu Rasulullah melalui kawasan penjara tersebut, beliau telah meminta Rasulullah membebaskan beliau kerana kedudukan beliau sebagai seorang puteri kepada ketua Kabilah. Permintaan Saffanah telah diterima oleh Rasulullah saw di mana baginda telah meminta wanita itu dibebaskan kerana bapanya seorang yang baik dan berakhlak mulia. Kisah ini menunjukkan keprihatinan umat Islam terhadap mereka yang dipenjarakan, terutamanya golongan wanita. Kurungan itu dipilih untuk didirikan berhampiran dengan masjid kerana ia merupakan tempat yang paling selamat. Di samping itu, mereka dilayan dengan penuh kemuliaan oleh Rasulullah saw menyebabkan Saffanah dan abangnya akhirnya memeluk agama Islam (Ibn Hajar).
c- Institut Kesihatan dan khidmat masyarakat
Khemah Rufaydah al-Aslamiyah merupakan hospital pertama yang dibina pada zaman Rasulullah saw. Khemah ini dibina oleh seorang serikandi terbilang yang bernama Rufaydah binti Ka’ab al-Aslamiyah. Beliau mempunyai ilmu perubatan dan telah mewakafkan dirinya untuk membantu umat Islam yang memerlukan terutama para tentera yang mengalami kecederaan sewaktu perang. kemunculan Rufaydah dalam dunia perubatan pada zaman Rasulullah saw telah membuka peluang kepada kaum wanita selepas itu untuk mempelajari ilmu perubatan dan terlibat dalam dunia perubatan. Rasulullah saw telah menganugerahkan kepada Rufaydah sejumlah harta rampasan perang Khaibar sebagai mengiktiraf sumbangan Rufaydah dan saudara beliau yang bernama Ku’aibah dalam merawat tentera Islam yang cedera. Kebanyakan hospital yang dibina pada zaman sahabat dan kerajaan Bani Abasiyah dibina berhampiran dengan masjid (Layth Su’ud Jasim).
d- Aktiviti Permainan dan Hiburan
Ia adalah satu bidang kemanusiaan yang telah wujud semenjak dahulu seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Ia adalah aktiviti yang boleh membina individu dari sudut kejiwaan dan kemasyarakatan. Manhaj Islam yang syumul telah menangani masalah ini dengan menyediakan satu model yang indah melalui tingkah laku dan kata-kata Rasulullah saw; ساعة وساعة maksudnya satu saat (untuk ibadat) satu saat lagi (untuk perkara lain)(al-Siddiqiyy 1985). Rasulullah saw juga pernah bersabda; إلهوا والعبوا فإنني أكره أن أرى في دينكم غلظة maksudnya; Bermain dan berhiburlah. Aku tidak suka melihat agama kamu kasar dan keras (Riwayat al-Bayhaqiyy). Ini bermakna kita boleh merehatkan jiwa jika telah jemu, boleh menggilapkannya jika telah berkarat melalui permainan dan hiburan yang dibenarkan. Saidina Ali ra pernah berkata; Rehatkanlah hati seketika lepas seketika kerana hati jika dipaksa (melakukan sesuatu tanpa rehat) ia kan buta. Aisyah ra pernah bercerita bagaimana Rasulullah saw membenarkan beliau melihat permainan kaum lelaki dan mengajak Aisyah menonton permainan kaum Habsyah pada hari perayaan di masjid. Pada zaman pemerintahan Saidina Omar, beliau telah membina satu sudut di tepi masjid yang dinamakan Butaiha’. Tempat itu dibina bertujuan member peluang kepada sahabat-sahabat yang suka bersyair dan melakukan aktiviti-aktiviti lain.

Hak-hak wanita pada zaman Rasulullah saw

Menurut prinsip asasi Islam, wanita adalah makhluk manusia yang mempunyai roh dan perasaan yang sama dengan kaum lelaki. Mereka berasal daripada keturunan yang sama (al-Nisa 4:1). Persamaan ini melahirkan persamaan hak-hak seperti hak nyawa, kehormatan dan harta benda. Kaum wanita diberi penghormatan yang sewajarnya dalam Islam. Mereka tidak boleh disinggung dan diumpat. Mereka juga tidak boleh diintip (al-Hujurat 49:12) atau digeledah rumahnya (al-Nur 24:27), malah darah, kehormatan dan harta benda mereka tidak boleh diceroboh oleh sesiapa pun (Hadis Bukhari dan Muslim). Sehinggakan balasan di akhirat juga sama antara lelaki dan wanita di sisi Allah (al-Imran 3:195). Berikut adalah beberapa hak yang telah berlaku terhadap kaum wanita pada zaman Rasulullah saw;
a- Hak ekonomi
Kaum lelaki dan wanita diberi hak-hak yang sama untuk merealisasikan keperluan material mereka di mana mereka bebas menguruskan harta benda dan memilikinya. Mereka sama-sama berhak untuk menggadai, menyewa dan memberi sewa, mewakaf, menjual, membeli dan mendapat faedah daripada harta mereka, mendapat pusaka dan sebagainya (al-Nisa’ 4:7; 4:32). Dalam hal ini, Islam dapat bermegah kerana telah memberi hak kebebasan ekonomi kepada kaum wanita berbanding dengan wanita Barat yang hanya memperoleh hak tersebut setelah satu tempoh perjuangan yang panjang sehingga terpaksa mengorbankan akhlak dan kehormatan mereka. Wanita Islam dengan bebas dapat memilik, mengurus harta milik dan menggunakan harta miliknya secara langsung dan personal tanpa sebarang campurtangan dari orang tengah, malah mereka berhak untuk memberi dan menyumbang harta mereka kepada sesiapa sahaja tanpa sebarang campur tangan (Muhammad Qutb 1987).
b- Hak perkahwinan
Islam bukan sahaja memperlihatkan kewujudan kaum wanita dalam persoalan hak milik, malah dalam urusan perkahwinan, keizinan dan persetujuan dari wanita adalah dituntut walaupun seorang ayah itu mempunyai hak dan kuasa ke atas anak perempuannya. Sabda Rasulullah saw; tidak boleh dikahwini wanita janda melainkan dengan persetujuannya dan tidak boleh dikahwinkan anak gadis melainkan mendapat keizinannya dan diam itu tanda keizinannya (Riwayat Bukhari dan Muslim). Akad nikah itu akan terbatal apabila gadis itu mengumunkan bahawa dia tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut (Muhamad Qutb 1987). Kaum wanita sebelum Islam memerlukan jalan-jalan bengkok dan tidak jujur untuk menghindarkan diri daripada perkahwinan yang tidak dipersetujuinya kerana mereka tidak mempunyai sebarang hak di sisi undang-undang dan adat untuk menolak perkahwinan tersebut. Tetapi Islam dengan tegas memberi hak memilih calon suami, malah mereka boleh melamar lelaki yang disukainya untuk menjadi suaminya. Sedangkan wanita Barat hanya memperoleh hak ini pada kurun ke-18 selepas satu perjuangan yang panjang.
c- Hak menuntut ilmu
Satu lagi bukti yang menunjukkan bagaimana tingginya penghargaan Islam terhadap rukun-rukun kewujudan manusia ialah sewaktu manusia sedang berada pada zaman kegelapan dan kejahilan, Islam telah muncul dan menetapkan kewajiban menuntut ilmu kepada kaum lelaki dan wanita yang beriman. Di sini juga Islam mempunyai hak untuk bermegah sebagai satu sistem hidup manusia yang pertama yang mengakui wanita sebagai makhluk manusia dan mewajibkan mereka mencari ilmu sebagaimana kewajiban itu kepada kaum lelaki. Ini bertujuan agar mereka dapat meningkatkan taraf pemikiran dan kefahaman mereka terhadap nilai-nilai kehidupan serta meletakkan mereka setaraf dengan kaum lelaki. Dalam waktu wanita Islam menikmati kebebasan mencari ilmu, kaum wanita di Barat masih lagi belum mendapat hak-hak tersebut dengan sewajarnya. Islam amat menghormati dan menghargai kaum wanita dengan memberikan mereka hak-hak kemanusiaan yang sama dengan kaum lelaki. Walau bagaimanapun kita tidak dapat menafikan kejadian lelaki dan wanita adalah berbeza dari sudut fungsi dan fizikalnya. Perbezaan fungsi dan fizikal antara dua jenis makhluk ini memberikan kesan kepada tindakbalas mereka terhadap kehidupan dalam bentuk yang berbeza.
d- Hak harta pusaka
Menurut Islam kaum lelaki diberi hak menerima pusaka sekali ganda daripada kaum wanita. Pembahagian sedemikian sememangnya wajar kerana Islam mewajibkan lelaki yang menanggung semua perbelanjaan keluarga sedangkan kaum wanita tidak diwajibkan mengeluarkan perbelanjaan tersebut melainkan untuk kepentingan diri sendiri dan perhiasan dirinya. Berdasarkan kenyataan ini, kaum wanita sebenarnya mendapat bahagian yang lebih banyak daripada kaum lelaki kerana dua bahagian yang diperoleh oleh kaum lelaki tersebut perlu dibelanjakan kepada ahli keluarganya.
e- Hak untuk bekerja dan mencari nafkah
Kaum wanita mempunyai hak untuk bekerja. Pada zaman Rasululah saw kaum wanita keluar bekerja sekiranya keadaan memerlukan mereka untuk bekerja seperti untuk menyara kehidupan, pendapatan keluarga yang tidak mencukupi atau keperluan masyarakat. Asma’ bt Abu Bakar sanggup berjalan dua batu perjalanan semata-mata mendapatkan air untuk keperluan keluarga kerana suaminya sibuk di medan perang. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullah saw ialah memintal benang atau bulu bagi menghasilkan pakaian atau tali. Ummu Salamah dan Ummu Ammarah merupakan antara wanita Islam yang terlibat dalam pekerjaan memintal benang. Selain daripada memintal benang, mereka juga terlibat dalam usaha mengayam tikar daripada daun pokok tamar bagi tujuan menyediakan hamparan di rumah, khemah dan masjid. Dalam peperangan Uhud, Saidatina Fatimah ra telah mengambil secebis tikar lalu membakarnya untuk tujuan merawat luka yang dialami oleh Rasulullah saw.
Perusahaan menyertu kulit bangkai merupakan antara perusahaan yang mendapat sambutan dalam kalangan wanita Islam pada zaman Rasulullah saw. Mereka menyertu kulit bangkai bagi tujuan menjadikannya hamparan rumah atau pakaian musim sejuk. Mereka juga membuat kasut, bekas meletak makanan dan minuman dan sebagainya. Saidatina Zainab binti Jahsyi ra, Saidatina Sawdah binti Zam’ah ra dan Asma’ bt Umais antara wanita yang mahir membuat kraftangan daripada kulit binatang. Hasil daripada jualan kraftangan tersebut, mereka memberi sumbangan dan sedekah kepada golongan fakir miskin (Ibn Hajar 1995). Kegiatan menjahit juga menjadi kegemaran kaum wanita pada zaman Rasulullah saw. Zainab binti Jahsyi merupakan antara wanita yang mahir menjahit kulit menjadi bantal, hamparan dan kusyen. Asma’ binti Umais telah membawa masuk ke Madinah teknologi membuat keranda di mana Saidatina Fatimah ra merupakan wanita pertama yang dibuat keranda semasa beliau meninggal dunia.
f- Hak untuk keluar berperang bersama Rasulullah saw
Apabila Rasulullah saw dan para sahabat berhijrah ke Madinah al-Munawarah, berlakulah beberapa sesi peperangan antara tentera muslimin dengan tentera kafir Quraisy. Selain daripada para sahabat ansar dan muhajirin yang menyahut seruan jihad di jalan Allah swt, kaum wanita tidak ketinggalan mengejar pahala syahid dan berjuang bermatian-matian mempertahankan Rasulullah saw dan memastikan benteng pertahanan tentera Islam sentiasa kukuh. Antara wanita yang hebat beraksi di medan perang ialah Nusaibah binti Kaab. Sewaktu peperangan Uhud, Rasulullah saw melihat seorang wanita mengayun-ayunkan pedangnya dengan gagah perkasa melindungi baginda saw. Baginda memandang ke kiri dan sekali lagi melihat wanita tersebut melakukan hal yang sama menghadang bahaya demi melindungi seorang pemimpin orang-orang beriman. Kehebatan Nusaibah di medan perang melayakkan beliau menerima anugerah Ummu Umarah iaitu pahlawan wanita yang mempertaruhkan jiwa dan raga demi Islam.
Seorang lagi tokoh wanita yang berani menggadaikan nyawanya demi agama dan Rasulullah saw tercinta ialah Khaulah binti Azwar. Beliau dikenali sebagai pahlawan Berkuda Hitam (The Black Rider). Beliau seorang muslimah yang kuat jiwa dan raga. Sosok tubuhnya tinggi langsing dan tegap. Sejak kecil Khaulah suka dan pandai bermain pedang dan tombak, dan terus berlatih sampai tiba waktunya menggunakan keterampilannya itu untuk membela Islam bersama para mujahidah lainnya. Keberanian Khaulah teruji ketika dia dan beberapa mujahidah tertawan musuh dalam peperangan Sahura. Mereka dikurung dan dikawal ketat selama beberapa hari. Walaupun agak mustahil untuk melepaskan diri, namun Khaulah tidak mahu menyerah dan terus membakar semangat sahabat-sahabatnya. Katanya, “Kalian yang berjuang di jalan Allah, apakah kalian mahu menjadi tukang urut orang-orang Rom? Mahu menjadi hamba orang-orang kafir? Di mana harga diri kalian sebagai pejuang yang ingin mendapatkan surga Allah? Di mana kehormatan kalian sebagai Muslimah? Lebih baik kita mati daripada menjadi hamba orang-orang Rom!”.

Majlis-majlis yang disertai oleh kaum wanita pada zaman Rasulullah saw ialah;

a- Majlis-majlis perkahwinan dan yang berkaitan dengannya
Golongan wanita dan kanak-kanak akan menghadiri majlis perkahwinan secara berkumpulan bagi menghantar pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki. Mereka akan memperlihatkan kegembiraan ketika mengiringi pengantin perempuan. Mereka juga akan berkumpul di rumah pengantin perempuan sambil menyanyi. Pada suatu hari Rasulullah saw menghadiri majlis perkahwinan al-Rubayyi’ binti Muawwiz bin Afra’. Ketika itu terdapat beberapa orang kanak-kanak perempuan memukul gendang dan menyanyikan kelebihan Ansar ketika peperangan Badar (Ibn Hajar 1995)
b- Para sahabiah mengalunkan nasyid dalam majlis perkahwinan
Antara wanita yang terkenal dalam bidang nasyid dan memukul gendang dalam majlis perkahwinan ialah Arnab al-Madaniyah (wanita yang diminta oleh Rasulullah saw agar membawa Aisyah bersamanya ke majlis perkahwinan golongan Ansar), Nailah binti Hashas, Hamamah (hamba yang menyanyi di sisi Aisyah pada hari raya), Jamilah al-Mughaniyah, Zainab al-Ansariah, Sirin dan Fari’ah binti Muawwiz (Ibn Hajar 1995).
c- Menjadikan tugas sebagai mak andam pengantin perempuan sebagai profesyen
Terdapat dalam kalangan sahabiah zaman Rasulullah saw mempunyai kemahiran dalam bidang kecantikan dan hiasan pengantin. Setengah mereka menjadikan kemahiran ini sebagai profesyen. Antara juru rias pengantin pada zaman itu ialah Ummu Ra’lah al-Qusyariyyah (pernah bertanya Rasulullah saw tentang pekerjaan beliau sebagai juru rias wanita, malah Rasulullah saw menggalakkan beliau menghias wanita sehingga mereka tua), Ummu Zufar Hasanah al-Madaniyah (jururias Siti Khadijah ra), Asma’ binti Yazid al-Ansariyah (juru rias Aisyah ra), Aminah binti Affan, Barakah bt Tha’labah al-Habshiyyah atau Ummu Aiman, Bushrah bt Safwan bin Naufal al-Qurashiyah dan Ummu Sulaim atau Rumaysa’ binti Malhan (penghias Safiyyah bt Huyayy).
d- Menyambut Rasulullah saw ketika hijrah ke Madinah dan pulang dari medan perang
Kaum wanita tidak ketinggalan dalam menyertai kaum lelaki dalam majlis-majlis umum seperti sambutan ketibaan Rasulullah saw ketika hijrah ke Madinah dan ketika pulang dari medan perang. Mereka akan keluar beramai-ramai bersama dengan kanak-kanak meraikan kepulangan Rasulullah dan para sahabat dari medan perang. Mereka akan menyanyi dan mendendangkan alunan lagu yang melahirkan rasa syukur kepada Allah saw.
e- Menghadiri perhimpunan tergempar dan penting
Setiapkali Rasulullah saw ingin menyampaikan sesuatu kepada umat Islam, baginda akan memerintahkan agar laungan azan dilaungkan bagi memanggil umat Islam berkumpul di masjid. Apabila mendengar panggilan tersebut, semua umat Islam yang terdiri daripada lelaki dan wanita akan datang berhimpun di masjid bagi mendengar amanat daripada Rasulullah saw. Kaum wanita juga turut mempunyai tanggungjawab syara’ kerana mereka juga seorang yang mukallaf dan salah seorang daripada anggota masyarakat. Ummu Salamah ra isteri Rasulullah saw telah menggambarkan pengertian ini ketika berdialog dengan seorang hamba yang sedang menghias dirinya. Ketika beliau mendengar Rasulullah saw berkata; “ Wahai manusia…. “. Ummu Salamah terus meminta hambanya itu meninggalkannya kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap ucapan Rasulullah saw. Hamba itu berkata; tidakkah Rasulullah saw hanya memanggil golongan lelaki sahaja, tidak kaum wanita? Lantas Ummu Salamah menjawab bahawa beliau adalah salah seorang daripada manusia.
Ummu Salamah merasakan turut bertanggungjawab mendengar seruan daripada Rasulullah saw kerana seruan itu berbentuk umum bukan khusus kepada mana-mana golongan. Sebab itulah apabila mendengar seruan tersebut beliau sanggup meninggalkan perkara yang paling penting di sisi kebanyakan kaum wanita iaitu perhiasan diri. Dengan segera beliau menyahut seruan tersebut bagi mendengar perkara-perkara baru yang melibatkan umat Islam. Mungkin beliau boleh mendengar, memberi pandangan atau menyumbangkan tenaga dan melaksanakan perkara-perkara yang dituntut. Sebab itulah juga Ummu Salamah ra menjadi contoh kepada kaum wanita pada zamannya, bahkan pada setiap zaman tentang bagaimana seorang wanita sepatutnya memberi respon kepada taklif rabbani yang diturunkan (al-Qattan 1992). Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab (33: 36) cukup jelas menggambarkan situasi yang menyokong tindakan yang dilakukan oleh Ummu Salamah ra.
وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا
Maksudnya; Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, tidaklah harus mereka mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata (al-ahzab 33:36).

Tiga persoalan wanita Madinah yang dijawab oleh Allah swt

a- Soalan pertama
Ummu Salamah telah bertanya kepada Rasulullah saw tentang kaum wanita yang tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana kaum lelaki. Sehingga suatu hari beliau terkejut apabila Rasulullah saw membacakan kepada beliau ayat al-Quran yang menyebut secara jelas tentang kaum wanita (al-Ahzab 33:35);
إن المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات والقانتين والقانتات والصادقين والصادقات والصابرين والصابرات والخاشعين والخاشعات والمتصدقين والمتصدقات والصائمين والصائمات والحافظين فروجهم والحافظات والذاكرين الله كثيرا والذاكرات أعد الله لهم مغفرة وأجرا عظيما
b- Soalan kedua
Ummu Salamah mengadu kepada Rasulullah saw tentang hijrah kaum wanita yang tidak disebut oleh Allah swt dalam al-Quran. Kemudian Allah swt telah menurunkan ayat dalam surah Ali Imran (3:195).
فاستجاب لهم ربهم أني لا أضيع عمل عامل منكم من ذكر أو أنثى بعضكم من بعض فالذين هاجروا من ديارهم وأوذوا في سبيلي وقاتلوا وقتلوا لاكفرن عنهم سيئاتهم ولأدخلنهم جنات تجرى من تحتها الأنهار ثوابا من عند الله والله عنده حسن الثواب
Maksudnya; Maka Tuhan mereka memperkenankan permintaan mereka. Bahawa sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal dalam kalangan kamu sama ada lelaki mahu pun perempuan kerana kamu adalah sebahagian dari yang lain. Orang-orang yang berhijrah, yang diusir daripada kampong halaman mereka, yang disakiti pada jalanKu, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapuskan kesalahan mereka, dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai sebagai pahala daripada Allah. Dan di sisi Allah ada pahala yang baik.
c- Soalan ketiga
Ummu Salamah bertanya Rasulullah saw ; “Kenapa hanya orang lelaki sahaja yang keluar berperang, tidak kaum wanita? Kenapa kaum wanita hanya mendapat separuh sahaja daripada harta pusaka? Firman Alah swt dalam surah al-Nisa’ (4:32).
ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن وسئلوا الله من فضله إن الله كان بكل شئ عليما
Maksudnya; Dann janganlah kamu irihati terhadap kelebihan yang telah Allah berikan kepada sebahagian darpada kamu. Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan. Bagi wanita ada bahagian dariapada apa yang mereka usahakan. Mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kelebihan itu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu.

Penutup

Sebenarnya sumbangan kaum wanita ada zaman Rasulullah saw terhadap perkembangan Islam dan kemajuan ummah adalah amat besar. Mereka berganding bahu dengan kaum lelaki bagi memastikan kelangsungan dakwah terus berkembang hingga serata dunia. Walau bagaimanapun, pemikiran dan kefahaman wanita Islam terhadap kehidupan sekarang berada pada tahap yang agak membimbangkan dan mengelirukan. Jalan untuk membetulkan kekeliruan ini bukannya dengan meniru cara hidup wanita Barat yang mempunyai latar belakang dan penyelewengan yang tersendiri. Satu-satunya jalan untuk mereformasikan kehidupan wanita dan lelaki ialah kembali kepada system hidup Islam. Perubahan yang kita harapkan ialah seluruh umat Islam, lelaki dan wanita, belia dan beliawanis kembali berpegang kukuh dengan ajaran Allah dan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ini adalah satu perjuangan yang perlu menjadi topik perbincangan dan kepercayaan. Kita harus mencurahkan segala daya dan usaha, tenaga, fikiran, perasaan dan seluruh jentera organisasi kita untuk membaiki kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini terutama yang melibatkan kaum wanita kita.
Sumber :
http://ustazahnorsaleha.blogspot.com/2010/12/hak-hak-wanita-pada-zaman-rasulullah.html

No comments: