Tuesday, February 12, 2008

PERJUANGAN BELUM BERAKHIR

Mengenali Turki sebagai sebuah Negara Islam namun sepenuhnya mencipta dan mengamalkan undang-undang sekular amat mendukacitakan umat. Perkembangan terkini (BH, 28 Januari 2008) mengenai isu penghapusan undang-undang pengharaman pemakaian tudung di Turki sedikit sebanyak memberi harapan baru di bawah kepimpinan Perdana Menterinya Reccep Tayyip Erdogan terhadap masa depan umat Islam di sana.

Rentetan situasi yang berlaku di Turki berkait juga dengan kemelut pemakaian tudung atau hijab untuk muslimah yang berlaku di dalam dan luar Negara. Di Morocco misalnya yang juga sebuah Negara Islam, meminda secara radikal silibus pelajarannya sehingga mengeluarkan gambar seorang ibu berhijab dari sebuah buku pendidikan. Di Tunisia pula, undang-undang menyifatkan tindakan menutup kepala sebagai ‘pakaian persengketaan’. Pelajar tidak dibenarkan memasuki sekolah dan insititut pengajian tinggi. Belum lagi sehingga sesiapa yang ingin mengenakan tudung perlu menandatangani surat akuan. Keadaan di Tunisia sama sahaja dengan negara lain seperti Perancis dan Singapura.

Realiti di Malaysia memperlihatkan kita beberapa kes yang membuka minda kita tentang ancaman terhadap wanita bertudung. Contohnya, sebuah syarikat tambang murah mengenakan syarat berpakaian sopan terhadap pekerja lelaki tetapi kakitangan wanita pula perlu memakai pakaian yang bertentangan dengan norma ketimuran apatah lagi untuk memenuhi sepenuhnya tuntutan menutup aurat dalam Islam. Kes seperti Habshah Jaafar sebelum ini yang tidak diberi peluang menjawat jawatan tinggi di salah sebuah hotel terkemuka hanya kerana dia bertudung selain pasaraya dan beberapa syarikat korporat juga mementingkan soal penampilan pekerja tanpa mengambil kira hak pekerja sebagai penganut agama Islam dan kebebasan hak sebagai individu untuk mengekspreskan nilai keagamaan dalam kehidupan harian. Jika sesiapa mengikuti Forum Berhijab Gaya Hidupku pada 26 Januari yang lepas di KGPA, Bukit Kiara memperlihatkan perkongsian masalah nyata realiti wanita berkerjaya yang memilih untuk bertudung di mana kebebasan mereka disekat malah sehingga ada yang dibuang kerja.

Menurut Nurhidayah Muhd. Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (BH 13 Februari 2008), perkara di atas berlaku kerana sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka selain berpaksikan ketidakfahaman mengenai ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika ditinjau dari sudut memberi kefahaman, banyak NGO Islam yang boleh memainkan peranan memberi kesedaran dan kefahaman terhadap isu bertudung atau hijab ini. Usaha oleh Pertubuhan Wanita Islam Antarabangsa (IMWU) mengadakan kempen hari Solidariti Hijab sedunia bermula 4 September setiap tahun merupakan satu contoh usaha memberi pendidikan kepada masyarakat bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam.
Dengan usaha sebegini, apabila kefahaman mengakar dalam masyarakat, maka tiada lagi tekanan sosial akan berlaku terhadap wanita Islam selain hak mereka untuk berpakaian dipelihara oleh majikan dan masyarakat sekeliling. Justeru, bukan NGO sahaja perlu memainkan peranan, individu-individu yang mengaku sebagai Islam sendiri harus menyedari hakikat kewajipan menutup aurat seperti yang dijelaskan oleh Islam. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dari alam kanak-kanak lagi tentang kepentingan dan syariat menutup aurat agar dewasa nanti mereka tidak terpengaruh dengan fahaman anti-Islam yang mahu menghapuskan budaya dan kefahaman Islam.
Umat Islam harus bertindak mengamalkan budaya dan syariat Islam secara total, resistan dan independen bagi menangkis budaya luar yang cuba merosakkan pegangan umat Islam. Malaysia masih mempunyai kebebasan dalam memelihara hak individu dalam beragama tetapi jika kita melihat nasib wanita Islam di Turki, Tunisia dan Morocco misalnya, mereka terpaksa berjuang bermati-matian untuk mengekalkan pegangan agama mereka yang melibatkan perlembagaan Negara.

Kita yang mengaku sebagai muslim harus memainkan peranan memberi kefahaman kepada sahabat handai terdekat biar apa pun latar belakang mereka, muslim mahupun bukan muslim. Semoga dengan peranan yang dimainkan oleh semua pihak akan mewujudkan masyarakat yang harmoni, teguh jati diri agamanya walaupun memahami pegangan agama lain agar sikap saling menghormati menjadi modal insan umat Islam di Malaysia.

No comments: