Semasa aku masih di bangku sekolah menengah, aku pernah memaksa diri untuk membaca novel cinta. Sedangkan semenjak kecil aku hanya meminati genre novel penyiasatan seperti siri Salma, Hardy Boys dan karya penyiasatan Enid Blyton. Apabila karya Ahadiat Akasyah (AK) mahu disenaraikan dalam KOMSAS, terkenang kembali beberapa novel beliau yang pernah ku baca. Pilot Café yang ketika aku di sekolah menengah menjadi bualan hangat teman-teman memaksa aku untuk cuba membacanya, namun tiada yang menarik bagiku. Begitu teman-teman memuja-muja Pilot Café ketika itu, hanya satu perkara yang aku kagumi pada AK ialah penerangan keadaan dan infrastruktur sesuatu tempat, seolah-olah kita berada di tempat yang dialami watak dalam cerita. Novel terakhir yang seingat aku pernah dibaca ialah hikayat Cinderella. Membaca kerana tajuknya dan bukan kerana jalan ceritanya. Semakin dewasa, aku memberanikan diri membaca karya Faisal Tehrani setelah teman-teman sudah dipadatkan dengan novel-novel cinta (bukan salah tindakan mereka, lebih baik daripada tidak membaca langsung tetapi haruslah mempelbagaikan genre bacaan). Dalam karya beliau aku temui sesuatu yang betul-betul kena dengan jiwaku, terutama novel beliau Tuhan Manusia dan Bila Tuhan Berbicara (hanya beberapa sahaja novel beliau yang ku baca, kerana aku sangat cerewet dalam memilih dan membaca novel). Teringat dengan salah seorang guru Bahasa Melayu di SMKL dulu, Cikgu Ahmad yang mengajarku di Tingkatan 2 dan Tingkatan 3. semua seni syair, pantun, pidato, perbahasan, sajak, teater dan drama diajarkan kepada kami, semuanya praktikal bukan hanya teori, namun apa yang beliau lakukan membuatkan aku dan teman-teman bumiputera Sarawak ketika itu, sehingga kini menghargai kedaulatan Bahasa Melayu dalam kehidupan. Terima kasih cikgu.
No comments:
Post a Comment