Tuesday, April 19, 2011

JOM KE SEMINAR MEMPERINGATI KETOKOHAN SAIDATINA KHADIJAH





SEMINAR MEMPERINGATI KETOKOHAN

SAIDATINA KHADIJAH AL-KUBRO

7 & 8 MEI 2011/ 3 & 4 JAMADILAKHIR 1432 H

(SABTU & AHAD)

AUDITORIUM YAYASAN SARAWAK, KUCHING

PENAMPILAN ISTIMEWA :
USTAZAH ASNI MANSOR AL HAFIZAH
prof. DR. HARLINA HARLIZA HJ. SIRAJ
USTAZAH HALIMAH ALAYDRUS

Anjuran :

Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak

Helwa Harakah Islamiah (HIKMAH)

Wanita Perkim Sarawak (PERKIM)

Helwa Angkatan Belia Islam Sarawak (ABIM)

Perkumpulan Wanita Islam Majlis Islam Sarawak (HUMAIRA’)



TERHAD KEPADA 300 PENYERTAAN SAHAJA

HUBUNGI :

PUAN AMINAH - 0196136759
PUAN AYU - 0198261644
PUAN NIZA - 0138456472

Menariknya; untuk peserta dari luar kawasan kuching, penginapan disediakan dan bayaran hanya RM 20.00 semalam.

Cepat! Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Jom semua remaja dan wanita khususnya ke majlis ilmu penuh berkah ini!




Sunday, April 17, 2011

PENGHORMATAN TERAKHIR BUATNYA


Pada malam menjelang hari mengundi untuk pilihanraya ke-10 negeri Sarawak, Jumaat 15 April; dalam perjalanan ke kelas seperti biasa, tiga kemalangan berlaku di Jalan Pujut-Lutong berhadapan Petronas Pujut, berlaku tiga kemalangan. Satu kemalangan di sebelah kiri jalan, satu kemalangan di kanan jalan dan satu yang paling tragis sebuah kereta waja dengan seorang penumpang mati terbakar di bulatan Pujut. Saya sempat menelefon bomba dan laporan awal sudah pun diterima kata operator. Namun berita paling mengejutkan ialah apabila berita kematian seorang teman lama saya Qistina Reny dikhabarkan oleh seorang teman melalui pesanan ringkas SMS. Pulang dari kelas jam 9.00 malam, kerana kurang sihat saya tidak memandu seperti biasa, teman saya Kasmah mengambil saya dan adiknya. Kami sempat melalui bulatan sebelum pulang, kelihatan wartawan RTM merakamkan kejadian, kereta rentung selain kesesakan jalanraya.

Saya menemani Kasmah ke lapangan terbang kerana dimaklumkan jenazah arwah Qistina Reny tiba dari KL jam 11.00 malam. Malangnya, khabar tersebut tidak tepat dan setepatnya jenazah tiba 11.00 pagi keesokannya. Pengajarannya, maklumkan berita yang tepat sahaja kerana dalam keadaan yang sedih, sesiapa saja akan mahu melakukan apa sahaja untuk bertemu dengan mereka yang sudah tiada buat kali terakhir.

Selepas selesai mengundi pada hari Sabtu, 16 April di sebelah malam tatkala orang lain sibuk menanti keputusan pilihanraya, saya menemani Kasmah ke rumah arwah. Bermacam-macam pertanyaan Kasmah ajukan, antaranya mengapa harus jenazah dibiarkan di rumah keluarganya tanpa dikebumikan terus dan kenapa tiada yang datang membacakan Yassin untuk arwah. Jawapan saya mudah, kita ke rumahnya terus bagi melihat situasi sebenar. Setibanya di rumah arwah lebih kurang jam 8.30 malam, kelihatan sekumpulan lelaki membacakan yassin mengelilingi keranda khas yang menempatkan arwah. Sejujurnya inilah pertama kali pengalaman saya menziarahi arwah teman yang mullaf. Saya menanti dengan sabar sehingga yassin habis dibacakan. Ucapan daripada Ustaz Azhar melegakan saya. Rupa-rupanya selepas arwah meninggal akibat asma pada hari Jumaat, pihak UiTM menghantar beberapa pegawai untuk mengiringi jenazah sehingga ke Miri. Pensyarah arwah sendiri dan beberapa orang temannya turut hadir dari KL. Kerjasama daripada pihak IKBN Miri juga memudahkan pengurusan jenazah. Pelajar IKBN yang sama-sama meluangkan masa membacakan Yassin. Pegawai daripada IKBN, Pn. Sharifah dan Ustaz Zul daripada ILP turut membantu. Pertama kali melihat keranda khas kerana amalan orang Kristian meletakkan arwah di rumah sehingga semua ahli keluarga berkumpul selama lebih kurang tiga hari. Kita harus juga menghormati kehendak keluarga walaupun berlainan agama. Selesai majlis, ahli keluarga mengerumuni kami, terkedu dan terkejut. Rupa-rupanya tiada kawan-kawan lama muslim yang lain yang menziarahinya. Saya dan Kasmah memperkenalkan diri dan mereka lega bahawa kami akan datang menemani jenazah sehingga ke tapak perkuburan esok hari. Mungkin berita kematian yang tiba-tiba menyebabkan teman-teman yang lain tidak mengetahui atau masing-masing ada komitmen lain selain sibuk dengan pilihanraya.

Pada hari Ahad, 17 April, saya dan Kasmah ke Masjid An-Naim Lutong menanti jenazah dimandikan dan disembahyangkan kemudian beramai-ramai mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Kampung Lambir. Dua orang saudara arwah diberi peluang melihatnya dimandikan, dan mereka berdua mengatakan bahawa cara memandikan arwah sangat sopan berbeza daripada cara agama mereka, namun saya tidak berani bertanya lebih lanjut takut ia isu sensitif. Pertama kali ke tanah perkuburan Lambir, lorong sebelah kanan selepas bangunan LAKU dan kawasan perkuburan Islam ini bersebelahan dengan perkuburan Kristian. Walaupun jalanraya ke tanah perkuburan masih teruk, sekurang-kurangnnya selepas pilihanraya ini, jalan akan dibaiki..

Reny yang saya kenali hanya di bangku sekolah menengah. Perkhabaran tentang keislamannya amat menggembirakan saya kerana dia satu-satunya teman yang memeluk Islam selain teman-teman sekolah yang lain memeluk Islam kerana berkahwin. Namun hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak tercapai. Seorang yang baik hati dan tidak pernah kata-katanya menyakiti saya. Kami berbeza kelas tetapi kerana sama di dalam lembaga pengawas, rapatnya di situ apabila ada tugas bersama. Saya hanya berhubung dengannya melalui FB dan SMS selepas mendapat tahu dia memeluk Islam. Beberapa kali saya bertemu janji dengannya namun tiada satu pun berjaya, begitu juga kisah teman-teman lain yang juga sudah bertemu janji untuk berjumpa terutama cuti Gawai Jun nanti kerana arwah menyambung pelajaran dan bekerja di KL, namun semuanya tidak berjaya. Akhirnya, Allah mempertemukan kami dalam keadaan begini. Jika dia tahu, inilah pertemuan pertama dan terakhir kami selepas dia memeluk Islam..Akan saya ingati..

Temanku Qistina Reny, inilah penghormatan terakhirku buatmu,

hanya ke tempat persemadian terakhirmu mampu ku iringi..Al-Fatihah.