Tuesday, February 23, 2010

LELAKI TUA ITU

“ Along, hantarkan raket badminton ke tempat Angah sekarang,”


Jam sudah menunjukkan jam 6.00 petang; jam 7.00 pula aku perlu mengajar kelas Tusyen seperti selalunya. Apa lagi, mahu tidak mahu aku penuhi juga permintaan Angah. Dalam keadaan tergesa-gesa perlu pula mengisi minyak kereta di samping perlu sampai di tempat Angah dalam tempoh 15 minit. Selepas lampu isyarat terdapat sebuah stesen minyak. Sudahpun memberi signal ke kiri, tiba-tiba BANG…


Uncle ok?” Tanyaku separuh panik.


“Ok, ok” jawabnya. Pada masa yang sama dua orang lelaki membantuku mengalihkan motosikal lelaki tua itu ke tepi jalan.


Uncle ada rasa sakit di bahagian dalam tak?” takut-takut abdomen badannya cedera teruk.


“Sakit dada sikit.” sambil ku lihat pergelangan kaki kirinya luka.


“Takpe,saya hantar uncle ke klinik dulu” dia pun setuju.


Setibanya di klinik, kami berbual-bual sambil menunggu ketibaan doktor. Uncle nampak sangat mesra.


“Jangan risau dik, adik sembahyang lima kali sehari, uncle sembahyang dua kali sehari. Kita dalam lindungan Tuhan. Kawan saya kata kalau perempuan yang pakai tudung mesti sembahyang punya. Kawan muslim uncle yang cakap macam itu.” aku tersenyum walaupun kerisauan kerana takut dia cedera teruk. Belum lagi hal kerosakan motosikal tua miliknya yang sudah bersamanya dari tahun 1963 lagi.


“Ini baru kali kedua motosikal uncle itu terlibat dengan kemalangan selama ini” alahai mengapalah kali ini perlu melibatkan aku.


“Maaf uncle” itu saja dapat ku luahkan.


“Tak mengapa, silap uncle juga tidak toleh ke kanan, bagi laluan kepada adik. Harap Allah adik dan Tuhan uncle dapat memastikan enjin motosikal dapat hidup seperti biasa, mudahlah uncle nak pulang ke rumah” rendah dirinya melebihi kebimbanganku.


“Nanti uncle cakap saja dengan orang rumah, uncle dikejar anjing dan terjatuh. Benda kecil saja, takpe. Tuhan bersama kita” kata penganut agama Buddha ini, rasa bersalahnya aku.


Selepas diperiksa oleh doktor dan membayar semua bil, aku membawa lelaki tua itu ke tempat kemalangan untuk mengambil kembali motosikalnya. Sepanjang perjalanan, dia berborak lagi.


Uncle dulu kerja storekeeper saja, nasib baik ada EPF. Dapat EPF, uncle terus beli rumah. Uncle sempat jumpa Tun Abdul Rahman Yaakob, dia selalu jumpa tauke uncle sebab tauke uncle orang kaya ketika itu. Mereka bincang tentang pilihanraya. Pilihanraya kan banyak perlukan duit. Dulu uncle tinggal di Kuching, tapi sudah hampir 40 tahun tinggal di Miri” aku cuma mengangguk tanda mengiakan.


Setibanya di tempat kemalangan, uncle terus meluru kea rah motosikalnya dan cuba menghidupkannya.


“Ah, nasib baik masih hidup lagi. Lampu depan pun masih hidup. Terima kasih dan minta maaf ya dik” walaupun kerangka depan motosikalnya pecah dan papan nombor plat pun tanggal.


“Betul ke uncle nak bawa motosikal sebegini balik rumah. Dah malam ni. Minta nombor telefon uncle, bil kerosakan motosikal ni nanti macammana?”


“Takpe dik. Uncle tak suka mendapat belas kasihan. Kita sama-sama nanti kalau mati jumpa Tuhan kita juga dan kita akan berada di tempat yang kekal abadi di sana.” Kelu lidah ku mendengarnya dan ku hulurkan juga ringgit terakhir yang ada di dalam kocekku kepadanya walaupun dia menolak.


Selama pemanduanku bertahun-tahun, kemalangan sendiri begini adalah yang kedua sebelum yang pertama di Kuala Lumpur. Indahnya apabila bertemu ahli masyarakat yang hidup bertuhan di samping menghormati dan memahami agama orang lain. Semoga lelaki tua yang tidak sempat ku tahu pun namanya hidup bahagia bersama Tuhannya.


Wednesday, February 10, 2010

Wednesday, January 27, 2010

CINTA

Dalam demam KCB (Ketika Cinta Bertasbih) kini, mungkin ada yang tidak tahu menahu fenomena ini. Namun, perkara ini mengingatkan saya tentang fenomena yang dibawa oleh AAC suatu ketika dahulu. Novel Ayat-ayat Cinta (AAC) ketika itu diperkenalkan dalam aktiviti kupasan buku kemudian kerana majoriti rakan sekuliah membicarakannya membuatkan saya turut membacanya. Keengganan saya membacanya hanya kerana saya sudah muak dengan begitu banyak novel-novel cinta biasa di pasaran. Malangnya, penghasilan filem AAC mengecewakan kerana tidak sehebat novelnya. Saya mengetahui AAC bakal difilemkan ketika kebetulan menghadiri program di Jogjakarta sekitar tahun 2007, bertemu dengan salah seorang karyawan seni. Akhirnya, kerana beliau begitu gembira dengan penerimaan rakyat Malaysia terhadap AAC, maka beliau meminta jasa baik saya untuk mengirimkan buku AAC versi Malaysia kepadanya. Setahun kemudian, barulah filem AAC ditayangkan di Malaysia.

Apa kesannya filem-filem Islami begini kepada anda??

Saya percaya bahawa pilihan yang banyak akan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk diterima masyarakat. Sekurang-kurangnya memudahkan mad’u kita yang non-muslim untuk memahami Islam walaupun sedikit. Saya sendiri pernah ke Kinokuniya menemani teman-teman mencari buku, kebetulan ada dua orang lelaki berbangsa Cina mencari buku AAC. Novel AAC hanya tinggal satu di rak buku dan seorang teman saya sudah pun menjinjing buku itu. Akibat rasa bersalah, teman saya menawarkan novel AAC kepadanya. Mudah-mudahan bermanfaat, pesannya. Kami tidak berbicara panjang kerana mereka tampak malu-malu. Apapun tanggapan anda tentang filem-filem sebegini, banyakkan lah pilihan yang ada agar kumpulan sasar menjadi lebih luas dan tidak tertumpu kepada satu kumpulan sahaja. Tetapi, perlu berhati-hati dalam memilih novel mahupun filem-filem berunsur cinta bagi peminat genre sebegini, pilihan memang banyak namun kebarangkalian mesej yang hakiki benar tidak sampai kepada sasaran juga tinggi.

Cintanya Pencipta ialah kewujudan kita sebagai hamba dan khalifah hanya untuk mengabdikan diri kepadaNya semata, adalah sebenar-benar cinta. Mari sama-sama kita berusaha mencapai cinta sejati, cinta kepada Illahi.

Friday, January 15, 2010

BERAKHIRNYA DIARI KEHIDUPAN

Berakhirlah diari kehidupan seorang teman saya, Saudara Nelazahar Bin Junaidi semalam akibat sakit jantung. Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat petang tadi di kampung halamannya di Sarikei. Pasti saya, Siti Nurbaya, Dayangku Dianasari, Masnizan Hamdan dan Sdr. Anas Jaafar tidak akan melupakan kenangan bersama allahyarham ketika sama-sama mengasaskan jemaah di UKM suatu ketika dahulu. Walaupun sebentar cuma tetapi personaliti allahyarham sentiasa kami kagumi, keramahan dan kejujurannya sukar dicari ganti. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh. Ameen. Al-Fatihah.


Wednesday, January 6, 2010

ALLAH

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH:
SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusek atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon. wordpress. com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.


Monday, December 28, 2009

BERBAHAGIALAH

Semalam merupakan hari terakhir hujung minggu bagi tahun 2009. Beberapa hari saja lagi, mengikut kalendar masihi, 2009 akan melabuhkan tirai. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pasangan yang telah menglangsungkan hari perkahwinan masing-masing. Tahun ini merupakan paling ramai senior-senior yang banyak membimbing ku menemui jodoh masing-masing. Terima kasih untuk segala tunjuk ajar yang diberikan. Terutama sekali kepada Kak Lid, Kak Shida, Abg Anas, Abg Helmy, ABg Naim, Abg Krol, Abg Afif, Kak Aisyah, Kak Jie. Kepada rakan sebaya ku, Aini, Asma, SAifullah, Linda, Ani dan semua yang tersenarai dalam 'wedding of the year'. Dukacitanya, tidak semua gambar perkahwinan kalian ku perolehi. Doaku moga kalian bahagia dunia akhirat; manakala bagi yang belum berumah tangga, teruskan usaha. Jodoh di mana-mana.=p




Sunday, December 27, 2009

BERAKHIRNYA KEMBARA

Saya amat menyukai kata-kata John Dewey seorang ahli falsafah Amerika tentang perbezaan manusia dan haiwan iaitu ; The desire to be important. Setiap orang mahukan pengiktirafan walaupun pengiktirafan itu kecil dan tidak membawa apa-apa makna pada diri orang lain. Pengiktirafan juga boleh berupa TANGUNGGJAWAB. Tanggungjawab mungkin sekadar meminta menyusun kerusi, membalut hadiah, menjadi pengacara majlis dan lain-lain seumpamanya malah mungkin pengiktirafan yang lebih hebat dari sekadar itu terutama untuk golongan belia. Persoalannya, siapakah yang sudi memberi pengiktirafan dan siapakah yang seharusnya menerima pengiktirafan..

Pengiktirafan mengendalikan aktiviti dewasa merupakan cabaran bagi diri saya semasa program Kembara HIjrah yang lalu (17-24 Disember 2009). Saya sendiri memikirkan penerimaan golongan dewasa dalam aktiviti yang akan saya dan urusetia kendalikan. ALhamdulillah, para ibu yang menyertai amat 'sporting' walaupun ada tempatnya saya menjadi buntu untuk bertindak.

Penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan harus diberikan peluang yang seluas-luasnya agar dapat membentuk keyakinan dan memberi pengalaman baru kepada mereka. Pengalaman-pengalaman ini nanti dapat menjadikan mereka tahu menilai dan memahami sekaligus bijak membuat keputusan. Inilah objektif kembara hijrah yang telah dicapai setakat ini.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Auntie Am, Kak Sham, Abg Naim, Abg Khairul Anwar, Siti Nurbaya, Nazirah , semua koordinator, urusetia, pembantu setia saya, Daydeq, Wan, Ashaari, Asyraf, Amira dan Matun dan semua penduduk Sri Aman, Sarikei, balai Ringin dan Bintulu. Moga bertemu lagi tahun hadapan. Saya paparkan gambar aktiviti sepanjang kembara untuk tatapan semua.

Kontijen Miri-Bintulu