Sunday, November 30, 2008

BENIH HARAPAN ATAU BENIH KEHANCURAN

PKR, dalam Kongres Nasionalnya semalam membahaskan isu menarik tentang usul pendidikan. Mungkin kah benar benih harapan untuk mengembalikan Bahasa Melayu di tempatnya bakal berjaya namun itupun selepas PKR mentadbir kerajaan nanti. Kadangkala bosan dengan mereka yang hanya tau menanam tebu di bibir. Usaha-usaha berterusan sepatutnya dijalankan oleh semua pihak jika benar-benar ingin meyelamatkan Bahasa Melayu. Semalam juga, forum selamatkan Bahasa Melayu diadakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Kehadiran Prof. Abdullah Hassan, Sdr. Kamal Shukri, Sdr. Wan Ahmad Fayshal, wakil Kesatuan Guru dan kehadiran media menunjukkan kesungguhan untuk menyelamatkan bahasa Melayu. Semoga usaha-usaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menyelamatkan bahasa Melayu harus di lakukan. Jika tidak, benih kehancuran seperti PPSMI akan mengebumikan bahasa Melayu.

PKR: Bubar dasar Inggeris bagi ajar Matematik dan Sains

Abdul Rahim Sabri

Nov 30, 08

www.malaysiakini.com

PKR berjanji akan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, termasuk mengubah kembali dasar pengajaran bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Mohd Noor Manuty.

Berucap membentang usul pendidikan di kongres nasional PKR hari ini, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu memberi contoh tokoh akademik seperti Profesor Dr Mohamad Shahrir Md Zin yang menguasai Sains dan Matematik melalui pendidikan Melayu tetapi masih mampu menguasai bahasa Inggeris.

Oleh yang demikian, tambahnya, jika PKR dan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan persekutuan, parti akan melakukan reformasi pendidikan bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mohd Noor, bekas ahli akademik kanan di Universiti Islam Antarabangsa, juga mengupas kelemahan pemimpin institusi pengajian tinggi yang menyebabkan kualiti pendidikan tinggi negara terus merosot.

Beliau kemudian menggesa universiti membuka ruang kebebasan akademik, termasuk kepada pelajar-pelajar agar tidak lagi dibelenggu oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tegasnya, PKR dan Pakatan akan menghapuskan akta tersebut jika berjaya mentadbir negara ini.

Beliau turut memberikan komitmen untuk menaikkan mutu pendidikan Islam dengan menitikberatkan pendekatan berfikir di kalangan daripada menghafal seperti amalan sekarang.

"Akibatnya dalam masa panjang, pelajar-pelajar tidak dapat meletakkan diri mereka dalam masyarakat. Gugup berbicara tentang perkara-perkara penting seperti bidang ekonomi," kata Mohd Noor.

PKR juga beriltizam untuk melaksanakan dasar pendemokrasian pendidikan bagi membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan terbaik dari peringkat rendah sehingga peringkat universiti.

Membahaskan isu yang sama, seorang perwakilan Perak menyifatkan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2004 sebagai "satu pengkhianatan terhadap bahasa Melayu" sebagai bahasa ibunda dan bahasa pengantar.

Sementara perwakilan dari Sarawak, Baru Bian menuntut peruntukan biasiswa yang lebih besar kepada penduduk Sarawak sekiranya PKR dan Pakatan Rakyat menguasai Malaysia.

Baru, keturunan Orang Ulu, berkata ramai penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah mengalami keciciran dan memerlukan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Perwakilan Sabah, Datuk Dr Hamzah Amir pula menyatakan kekesalannya berhubung sejumlah kecil sahaja pelajar-pelajar dari negeri itu berjaya masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, 70 hingga 80 peratus pelajar-pelajar yang menuntut di univerisiti tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar luar Sabah.

Kata Hamzah, pelajar Sabah yang berjaya ke UMS pula tidak ramai menguasai bidang sains dan kejuruteraan.

Beliau menjelaskan, kelemehan itu berpunca akibat kemiskinan, infrastruktur pendidikan yang usang terutama di pedalaman dan kekurangan guru di Sabah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PKR memberikan tumpuan khusus terhadap para pelajar di Sabah agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan negara.



Tuesday, November 25, 2008

Tiada subjek seks di PLKN tahun depan


Nov 25, 08 8:10pm
www.malaysiakini.com


Pendidikan seks mungkin tidak akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Januari tahun depan seperti disarankan menteri pembangunan wanita, kata pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.

Datuk Dr Tiki Lafe berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara tidak menerima maklum balas daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, badan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan maklumat yang diminta mengenai pendidikan itu.

"Maklum balas itu akan mengambil masa. Pelaksanaan slot mengenai pendidikan seks akan bergantung kepada maklum balas yang kami terima," katanya, lapor Bernama, selepas menutup seminar mengenai pengurusan kesihatan pelatih PLKN di Kuching.

Ogos lepas, menteri pembangunan wanita Datuk Dr Ng Yen Yen berkata slot pendidikan seks akan diperkenalkan dalam PLKN mulai sesi Januari.

Dr Tiki juga berkata, tidak perlu mewajibkan pelatih PLKN menjalani pemeriksaan kesihatan pada permulaan latihan mereka tetapi borang
kesihatan mereka perlu melalui tapisan paramedik ketika pendaftaran di kem latihan masing-masing.

"Mana-mana pelatih yang mempunyai sejarah masalah kesihatan dan memerlukan pemeriksaan kesihatan akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran atau hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Dr Tiki berkata pelatih yang didapati tidak sihat akan dinasihat supaya tidak mengikuti keseluruhan program latihan, manakala mereka yang sihat akan terus diawasi.

Sunday, November 23, 2008

Umat Islam diharam amalkan yoga


Nov 22, 08 3:31pm

Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, menurut laporan Bernama, beliau berkata, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung.

Sunday, November 16, 2008