Saturday, October 3, 2009

MENJEJAKI KASIH SAYANG



Tahun 1997, itulah kali terakhir aku menjejaki keluarga di Sekuduk, Kalimantan Barat. Cucu sulung Nek Wan ini menjejaki kasih sayangnya semula tahun ini, 2009 setelah dua belas tahun meninggalkan kampung halaman. Hanya cucu sulung Nek Wan ini sentiasa tidak berkesempatan untuk bersama ketika aktiviti pulang ke kampung berlaku. Akhirnya, hajat hati ini termakbul berkat doa Nek Wan juga yang mengimpikan agar tujuh orang anaknya berkumpul di pagi Aidilfitri buat kesekian kalinya selepas kematian Tok Wan beberapa tahun lalu…

PENGEMBARAAN BERMULA

Bas Biaramas Miri-Serian-Pontianak beransur meninggalkan Bandar Miri jam 5 petang, 16 September hari Rabu. Kelebihan memiliki passport individu dan akibat hanya lima orang mampu dimuatkan untuk perjalanan yang memakan masa hampir dua hari; bukan dua jam dalam sebuah kereta kenari menyebabkan aku terpaksa pulang ke kampong halaman bersendirian tanpa keluarga ditemani oleh seorang saudaraku. Jam 8 pagi bas sampai di Serian dan jam 10 pagi barulah bas yang lain mengangkut kami terus ke Pontianak melalui sempadan imigresen Tebedu-Entikong. Setibanya di Pontianak selewat jam 8 malam hari Khamis memaksa kami untuk bermalam sebelum keesokannya perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda selama lebih kurang 5 jam lagi sebelum benar-benar sampai di destinasi tujuan. Dua malam satu hari barulah sampai di kampong halaman, tempoh perjalanan yang memakan masa yang sama jika mahu ke Jakarta menaiki kapal laut. Nasib baik aku bukan seorang yang mudah mabuk angin walau dalam keadaan penat sekalipun. Ini (Video 1) perjalanan ku untuk sampai ke kampong. Jika dilihat keadaan jalan raya di sana, terutama jalan masuk ke kampong, seronok rasanya jika para mat rempit Malaysia merempit di jalan yang sedemikian rupa dan mungkin bisa menginsafkan mereka agar bersyukur dan menggunakan nikmat Tuhan dengan sebaiknya.

Berjujuran airmata pastinya, dipeluk cium diri ini oleh Nek Wan dan tiga orang mak cik ku di rumah. Rumah Nek Wan yang bersebelahan dengan Madrasah Ibtidaiyah Negeri, rumah papan dengan empat bilik tidur, berhalaman dipenuhi bunga dan tanaman selain dilengkapi kebun getah kecil di belakang rumah cukup menggamit nostalgia dulu. Sungguh jauh berubah berbanding 12 tahun lepas, jalan sudah bersimen tetapi aku lebih suka memori berkaki ayam di atas tanah liat kuning kering kontang dan licin apabila dibasahi hujan cukup aku rindukan. Hari Jumaat, 18 September aku berada di kampong secara rasmi. Lewat petang baru dikhabarkan bahawa keluargaku akan tiba dengan kereta Kenari seawal tengahari keesokannya, hari Sabtu akibat ada sedikit masalah di Imegresen; rupa-rupanya akibat pegawai yang kurang bertanggungjawab. Dengan kesibukan untuk menyambut raya Ahad keesokannya, Keluargaku tiba pada tengahari Sabtu di kampong. Petang itu juga rumah Nek Wan mula dipenuhi sanak saudara yang ingin menemui kami sekeluarga. Adik lelaki ku kepenatan, kebetulan itulah pertama kalinya memandu sejauh itu ke kampong. Tayar kereta sempat ditukar sebelum sampai ke Serian, nasib baik dia sudah biasa dengan masalah-masalah berkaitan kereta. Alhamdulilah pengalaman bermakna katanya.

RAHMAT AIDILFITRI

Pagi raya, Ahad, 20 September merupakan hari yang sayu dan menggembirakan. Deraian air mata tumpah di setiap wajah-wajah yang bertandang ke rumah Nek Wan, semua anak Nek Wan seramai tujuh orang kecuali Pak Su (21 tahun) sahaja yang belum berumah tangga. Pak Su yang usianya muda dariku tapi pangkatnya dalam keluarga lebih tinggi harus ku hormati. Ku hitung satu persatu cucu Nek Wan, rupanya sudah ada 14 orang semuanya dan aku cucu sulung pastinya, ini kerana ibuku antara anaknya yang menikah paling awal. Nek wan yang ku kenali sangat tabah orangnya, itulah sikapnya yang ingin aku contohi. Dia tidak pernah mengeluh walau apa pun musibah melanda, teringat ku semasa salah seorang anaknya sakit tenat dan dengan wajah tenang dibiarkan saja tanpa banyak bicara. Dia tau dan pasrah. Kini, luarannya Nek Wan masih sihat, Cuma mungkin jika tertekan, badannya akan cepat masuk angin. Nek Wan mula tinggal seorang di rumah selepas Pak Su meninggalkannya untuk menyambung Pelajaran di Universitas Islam Negeri (UIN Jakarta) dalam bidang Pendidikan. Selepas itu, anaknya yang keempat menjaga makan minumnya. Paling aku sukai ialah melayan gelagat anak-anak saudara yang rata-rata berusia 3 hingga 10 tahun. Rumah itu riuh hanya kerana suara-suara cilik itu. Sepinya rumah itu hanya kerana Tok Wan sahaja yang sudah tiada.

Selama beberapa hari di kampong, perancangan sudah diatur untuk memaksimumkan keberadaan ku di sana. Namun, hampir 80 % masa yang ada dihabiskan di rumah Nek Wan di samping menziarahi rumah sanak-saudara. Ada hampir 100 buah rumah di sekitarnya, yang aku tau ada hulu ada hilir (jumlah itu belum termasuk yang di tepi laut dan lain-lain). Rumah Nek Wan ku di hulu, itu aku pasti. Aku hanya menziarahi keluarga terdekat yang mengenali kami sahaja, yang lainnya tau sendiri untuk bertandang ke rumah Nek Wan bertemu kami. Rasanya, Aidilfitri kali inilah rumah Nek Wan tidak putus-putus dikunjungi tetamu sehinggakan ibuku kepenatan walaupun hanya duduk sahaja melayan tetamu. Ala YB ada juga lagaknya ibu dan Nek Wanku. Akibat masalah pengangkutan, perancangan gempakku untuk menghabiskan masa di Sambas (pekan utama yang terdekat dari kampungku) terpaksa dibatalkan. Pengangkutan utama hanya motosikal dan perahu tambang, tanpa salah satu tidak akan bisa keluar jauh dari kampong. Keadaan jalan yang agak mengerikan dan ku kira sedikit merbahaya di jalan yang bukan jalan berturap mematikan niatku. Aku Cuma berkesempatan ke Sambas kerana niat ku hanya untuk mencari khazanah keluarga yang baru sahaja ku ketahui…

MENYELAM SAMBIL MINUM AIR

Ingin ku ceritakan sedikit pengalaman paling manis apabila anak saudara sulung kepada Pak De; Esy membawaku berjalan-jalan ke tempat-tempat menarik. Seperti biasa, apabila berada di tempat yang baru pertama kali dikunjungi; aku mesti mencari masjid (cuba untuk solat jika berkesempatan), muzium (untuk mengetahui sejarah kawasan tersebut) dan makanan paling istimewa yang tiada di tempat lain. Alhamdulillah aku sempat melaksanakan ketiga-tiga tips mengembaraku ini. Aku sempat ke Kraton (Muzium) Sambas. Hanya terdapat gambar pengasas Sambas Sultan Muhammad Safiudin dan Pangeran Sambas dipamerkan. Dimaklumkan kepadaku bahawa Pangeran Sambas baru sahaja meninggal dunia dan kini tempatnya diwarisi oleh anak lelakinya yang masih muda. Kebanyakan bahan sejarah di situ dipindahkan ke Kraton Pontianak, yang tinggal hanya gambar-gambar dan meriam ajaib. Teks-teks sejarah juga tiada untuk dibaca, maka aku harus mencari sendiri maklumat tentang sejarah Sambas. Keadaan serba kekurangan ini menyebabkan aku ingin benar ke kraton Pontianak, lagi-lagi bila khazanah keluarga tidak juga ku temui. Seterusnya, perjalanan hampir 3 jam ke Pulau Simping memang pengalaman pertamaku menaiki motosikal (walaupun hanya dibonceng) paling lama dalam hidupku. Pergi balik sahaja hampir 6 jam. Sempat istirehat dan solat di Masjid Pemangkat yang masih dalam proses pembinaan sebelum tiba di Pulau jam 4 petang. Panorama yang indah dilengkapi dengan Zinka Zoo ala Safari di atas bukit menghilangkan rasa penat kami. Sebelum pulang ke rumah Pak De aku berkesempatan memakan Pecel Ayam atau Nasi Ayam Penyet di pekan Sambas. Sampai di rumah Pak De, jam menunjukkan 10 malam. Akibat perjalanan yang jauh itu, otot badanku sakit berhari-hari. Namun, ada beberapa perkara yang aku perhatikan di sepanjang perjalanan :

1. Hampir 90 % papan iklan dimonopoli oleh iklan rokok dan rangkaian telefon. (Selain itu, Syarikat rokok merupakan penaja utama iklan televisyen Indonesia selain Mi Sedaap)

2. Hampir semua rumah memiliki parabola.

3. Hampir setiap 3 km, masjid (bukan surau) didirikan. Keadaan yang berbeza (kurang masjid) jika melalui Entikong dan jalan raya sebelum masuk ke Sinkawang.

4. Tiada pusat membeli belah, hanya ada pasar atau pekan sahaja. Jika ada pun di Pontianak.

5. Perniagaan di pekan antaranya ialah warung serbaguna, warung makan, menjual solar (minyak diesel), kedai baju, kedai HP, kedai emas dan bengkel.

6. Jalan raya utama hanya ada satu sahaja. Jadi, sangat mudah untuk mengingat dan mengenal jalan walaupun anda memandu sendirian untuk pulang ke Sarawak.

7. Tiada penguatkuasaan jalan raya. Nasib baik, halem (topi keledar) wajib dipakai. Hon merupakan ‘polis trafik’ yang paling efektif.

PERJALANAN PULANG

Dari pekan Sambas, Ahad jam 2 petang; bas menjemput aku dan seorang teman di rumah kawan ibu. Bas tiba di sempadan tebedu jam 2 pagi. Kami terpaksa menunggu jam 5 pagi waktu pejabat Imigresen dibuka. Aku sempat menunaikan solat Subuh di masjid Entikong. Tidak ku duga ada hampir satu ribu orang beratur untuk memasuki Sarawak yang rata-ratanya pekerja. Kebetulan cuti umum Aidilfitri sudah tamat. Aku bernasib baik menjadi antara orang terawal beratur untuk urusan imigresen. Yang amat ku kesali ialah kepincangan pengurusan bahagian imigresen Tebedu. Dengan promosi ‘sistem lambat dan system laju’ yang ku fahami sama saja dengan rasuah berlaku di depan mata dan didengari telinga ini cukup menyedihkan. Tangisan anak kecil kepenatan beratur menanti ibu bapa mereka paling aku kasihani. Empat kaunter untuk hampir satu ribu, tidak mungkin siap dalam tempoh sejam pastinya. Aku sendiri pernah mengendalikan pendaftaran untuk tiga ribu peserta dengan 15 kaunter dan siap dalam tempoh satu jam, inikan pula empat untuk seribu. Seorang memakan masa satu minit! Di mana keadilan, kebijaksanaan dan kejujuran ketika itu, langsung tiada integriti. Jika dibiarkan sistem seperti itu maka akan rosak teruk dan kemudian langsung tidak bisa dibaiki lagi. Biarlah keadilan itu pahit awalnya tetapi untuk kesenangan masa depan semua nantinya. Pada saat ini aku masih tertanya-tanya siapa yang harus dipersalahkan. Selesai urusan di kaunter imigresen, dalam perasaan yang amat mengecewakan aku pergi mendapatkan bas untuk terus ke Miri. Baram Ekspress sahaja yang terbaik saat itu yang ada, walaupun perlu membayar RM 70. Bas hanya dapat bergerak setelah siap menanti yang lain selesai urusan imigresen pada jam 11 pagi, rasa-rasanya hanya aku seorang pemegang passport Malaysia. Terfikir juga, kalau ada warga Malaysia terlepaslah warga Indonesia di’minta-minta’ oleh polis di pos pemeriksaan tepi jalan. Selewat jam 11.30 malam aku sampai di terminal bas Miri. Kepenatan terus mencengkam jiwa lantaran sehari sebelum kembali ke BUmi Kenyalang aku jatuh sakit namun ku gagahi juga kerana tiket pulang sudah tiada. Sekali lagi aku kecewa kerana misiku untuk menemukan naskhah Al-Quran pertama di Sambas hasil tulisan tangan moyangku Nek Hadran tidak ku temui..kegagalan misi ini mungkin akan menjadi pendorong kuatku untuk menjejakinya di kemudian hari. Menjejaki kasih sayang sangat payah, namun kemanisan pertemuan dan perpisahan hanya Tuhan yang tahu rahmat dan hikmahnya. Ku serahkan kembali kasihku padamu Tuhan untuk kasihku kepada mereka yang ku sayangi..



GAMBAR KENANGAN





Saturday, September 12, 2009

LATAR BELAKANG TRAGEDI NATRAH

Natrah atau Maria Hhuberdina Bertha Hertogh, adalah anal belanda yang mejadi anak angkat Che Aminah di Kemaman Terengganu, pada zaman penjajah Inggeris (1947-1950). Natrah berusia 13 tahun ketika muslihat penjajah meminta Che Aminah ke SIngapura untuk dibicarakan di bawah undang-undang Inggeris.

Dalam keputusan perbicaraan pertama, Che Aminah masih terus dapat mengekalkan hak penjagaan Natrah. Malangnya dalam perbicaraan kedua, eputusa menyebelahi bapa kandungnya Hertogh. Ini kerana pernikahan Natrah dengan Mansor Adabi diangga perkahwinan di bawah umur yang tidak sah mengikut undang-undang sivil Inggeris.

Perbicaraan Natrah menarik perhatian seluruh dunia. Perbicaraan mahkamah tersebut membawa erti pertembungan agama – Islam dan Kristian, pertembungan politik – antara Negara dijajah dnegan penjajah, pertembungan b udaya – timur dan barat,. Orang-orang Melayu boleh bersabar dengan keputusan mahkamah tetapi provokasi akhbar Inggeris berhari-hari sebelum itu yang mengatakan Natrah melutut pada patung virgin Mary menyebabkan orangf Melayu berasa agama mereka dihina lalu bangkit merusuh di Singapura.

Seramai 18 orang meninggal dunia, 173 orang cedera dan berpuluh-puluh lagi dpenjarakan. Singapura mengiyhtiharkan darurat 2 hari 2 malam dan Natrah dilarikan ke Belanda. Penjajah terkejut dan seluruh dunia tergamam. Mereka mula hormat terhadap keberanian dan pengorbanan orang Melayu. Tragedi ini tetap dikenang sebagai sejarah keberanian orang Melayubangkit membela agama dan menentang penjajah.

Baca selanjutnya dalam majalah Al-Islam keluaran September. Menanti filem kisah benarnya dan berhasrat untuk membaca novel Atas Nama Cinta; Isa Kamari bila ada kelapangan nanti. Moga bermanfaat.


DI BAWAH INI DISERTAKAN LAGU YANG MEMPUNYAI NILAI SEJARAHNYA YANG TERSENDIRI. BUKAN SEKADAR LAGU, TAPI SUARA HATI MEREKA YANG MASIH BERKESEDARAN MENGINSAFI DAN MENGERTI PERISTIWA INI.

Komen :

Lagu ni antara lagu best of the best Handy Black sepanjang zaman.......hari hari dengar tak boring jugak....Kumpulan Handy Black pernah bawa lagu ni kat pertandingan Muzik Muzik '90.Lepas tu lagu ni kena 'Banned' dari tersiar melalui corong corng radio seluruh malaysia kerana Lagu ini di katakan menyentuh isu keagamaan(Islam).Natrah ataupun nama belandanya Maria Hertogh telah menjadi teladan buat umat islam bukan sahaja di singapura dan malaysia.Semasa tragedi berlaku,rusuhan dan bantahan juga turut berlaku di pakistan dan Afghanistan.Apa yang kita harapkan... semoga Natrah kembali ke jalan sebenar yang telah beliau pegang dengan erat sekali suatu ketika dulu -Masyono25-

Sunday, September 6, 2009

NUZUL AL-QURAN

Interaksi Terbaik Dengan al-Quran (Sempena Nuzul al-Quran)

Hubungan Manusia dengan al-Quran

Satu peristiwa yang amat penting kepada umat Islam ialah penurunan al-Quran pada malam lailatul Qadar. Pada setiap Ramadan, Rasulullah s.a.w. bertadarrus, belajar dan memahami al-Quran daripada Jibrail. Ia bukan sekadar membaca tetapi yang lebih penting ialah memahami dan memerhati serta melaksanakan tuntuntan al-Quran.Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menyebutkan bahawa Rasulullah telah bersabda : “ Tidak ada satu kaum yang berhimpun pada satu rumah Allah daripada rumah-rumah Allah yang membaca al-Quran dan belajar memahaminya dikalangan mereka melainkan Allah menurunkan rahmat dan ketenangan , dilindungi oleh para malaikat dan diingati oleh Allah disisinya”. Firman Allah yang bermaksud : “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia dan keterangan yang nyata. (al-Baqarah, ayat 185) Al-Quran merupakan cahaya yang menerangi akal, jiwa dan hati manusia serta panduan kepada sistem kehidupan manusia.Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan.
Dengan kitab itulah Allah memimpin orang-orang yang mengikuti keredahaanNya ke jalan keselamatan.” ( al-Ma’idah, ayat 15-16) Ia menjawab persoalan yang sentiasa terpahat dalam pemikiran manusia mengenai dirinya sendiri sejak sekian lama iaitu dari mana ia datang, apakah tujuan hidup dan ke mana ia akan pergi. Kenapa kehidupan ini adanya hidup dan mati. Al-Quran menjawab kesemua persoalan tersebut. Kedatangan manusia di atas muka bumi ini membawa amanah dan kehidupannya bukan untuk sehari atau setahun sepertimana pendapat segolongan yang mengatakan bahawa yang memisahkan hidup dan mati adalah masa sahaja. Al-Quran menegaskan bahawa manusia ini dijadikan untuk mendiami akhirat untuk selama-lamanya dan kematian itu bukan sebagai penghabisan hidup malahan manusia akan berpindah dari satu negeri yang bersifat sementara ke dunia yang kekal abadi. Allah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud : “ Kami jadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya.” Melalui al-Quran manusia mengetahui tujuan dan matlamat hidupnya serta tugasnya sebagai hamba Allah yang memakmurkan bumi ini.

Bacaan lanjut di http://www.mindamadani.my/content/view/148/2/

PERISTIWA DI BULAN RAMADHAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN

SMS diterima daripada Kak Sham “Dengarkan saya di Sarawak.fm petang ini”. Segera saya memenuhi permintaan itu, kerana rindu benar mahu mendengar suaranya yang komersial itu. Saya pun menceritakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan di bulan Ramadhan. Pastinya ialah kembara saya ke Brunei Darusalam selama lebih kurang dua minggu di sana. Tujuan menemani teman-teman dari Semenanjung seramai lebih 10 orang menjadi tujuan sambil menyelam minum air kerana itulah pertama kali juga saya menjejakkan kaki ke Brunei walaupun jaraknya dari rumah saya ke sempadan hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit (tahun 2004 sebelum saya berpindah lebih dekat lagi dengan sempadan Brunei-Miri kini yang hanya mengambil masa 15 minit sahaja!’ jadi bagi sesiapa yang berhajat ke Brunei, singgah dulu di rumah saya ya ;)

Pada mulanya saya begitu gembira kerana berkesempatan meraikan ramadhan di salah sebuah Negara Islam. Berangan-angan bukan kepalang suasananya pasti semeriah di Mekah barangkali. Namun, hakikatnya..pasti bukan pengalaman itu yang ingin diceritakan, payah kerana takut kita mengadili berdasarkan ziarah yang singkat (walaupun saya menetap di rumah-rumah orang Malaysia yang berkahwin dengan orang Brunei selama di sana). Yang saya puji, sistem pendidikan percumanya dan Sultan yang adil. Keindahan masjidnya tidak seramai jemaah solatnya kerana kadangkala masjid yang banyak, besar dan indah memerlukan komitmen ahli jemaahnya yang ramai untuk memenuhi segenap ruang masjid.

Yang paling penting, kembara ini lah pertama kali memperkenalkan diri saya dengan konsep jemaah dan tanzim harakinya tanpa saya sedari. Benar-benar kali pertama sehingga saya menemui PKPIM di kampus ketika itu dan mana mungkin saya lupakan! Cuma mungkin ada sesiapa yang sudi menemani saya ke Brunei sekali lagi untuk mengenali lebih lanjut amalan umat Islam di sana meraikan hari-hari kebesaran Islam yang mungkin nanti boleh dikongsikan bersama di Malaysia dan membetulkan beberapa persepsi saya yang mungkin silap tentang beberapa perkara tentang masyarakat Brunei. Pengalaman melawat Negara-negara luar membuatkan saya memerlukan pembacaan dan pemahaman yang jelas dan benar untuk memahami budaya mereka dan bukan untuk membandingkan tetapi mencari kekuatan bangsa terutama umat Islam di Negara masing-masing khususnya untuk ditelaah dan dihayati. (Terima kasih kepada Kak Sham yang pernah memberi peluang kepada saya untuk ke Jakarta suatu ketika dahulu; membentangkan kertas kerja penubuhan Sekretariat Hal Ehwal Wanita (HAWA) peringkat PEPIAT buat pertama kalinya).

InsyaAllah Aidilfitri tahun ini saya tidak akan berada di Malaysia buat pertama kali dan jika berkesempatan saya akan kongsikan sedikit catatan kembara saya di ruangan ini. (Berangan-angan kalau ada penaja ;p dan tajuk kajian kembara yang sesuai jika diberi peluang menetap lebih seminggu di SANA nanti; jangan risau, takde lah jauh sangat, dekat je,JOM!)


Friday, August 21, 2009

ANTARA KENANGAN DAN MASA DEPAN


Sudah dua minggu Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 (MPAT) berlalu. Esok puasa dan lusa pula saya akan kembali ke tanahair, Miri di Bumi Kenyalang. Segala perasaan bercampur pastinya, jika di adun sukar benar untuk ditafsirkan. Di kesempatan kedatangan ramadhan ini, saya ingin memohon maaf di atas segala khilaf terutamanya teman-teman PKPIM yang mengenali diri ini. Mahu saja saya sebutkan satu persatu nama-nama mereka yang membantu dan menyokong saya selama ini tidak dilupa juga yang sentiasa mengkritik untuk kebaikan jemaah khususnya; namun saya simpan untuk doa kebaikan kalian nantinya. Sudah saya sampaikan ucapan peringatan atau mungkin dianggap ucapan perpisahan yang menjurus kepada harapan saya terhadap teman-teman PKPIM terutama barisan pimpinan yang baru. Tahniah dan teruskan perjuangan. Kepada adinda-adinda PKPIM yang sudah beberapa hari merajuk kerana keputusan saya untuk pulang, maaf dan doakan moga segala urusan saya dipermudahkan di sana. Gambar-gambar di bawah antara gambar yang mempunyai sejuta makna buat diri saya selama saya berada di madrasah ini. Bukan untuk dikenang namun untuk menyedari bahawa diri ini masih belum memaksimumkan potensi diri untuk agama dan ummat. Semoga bulan ramadhan kali ini menjadi medan bermuhasabah dan merencana masa depan yang lebih bermanfaat untuk diri, keluarga, agama dan umat insyaAllah. Maaf dan terima kasih untuk segalanya, untuk memori yang terindah ; segala-galanya dikembalikan kepada Allah jua.

SALAM PERJUANGAN DAN SALAM RAMADHAN.

KAMI BERSAMA
HARUS KU TINGGALKAN

MASA DEPAN MENANTI

HANYA TUHAN YANG TAHU



BARU BELAJAR

Thursday, August 20, 2009

MEMAHAMI KONSEP MURABBIY DALAM DIRI PENDAKWAH


(http://www.mindamadani.my/content/view/1/3/)

Konsep “Murabbiy” dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap “muallim”. Muallim bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar atau guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Tetapi, konsep “Murabbiy” merujuk kepada Pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbiy akan memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbiy berlegar di “hati”. Perumpamaan yang boleh diketengahkan di sini ialah Muallim adalah orang yang bertugas mengumpulkan bahan masakan sepeti tepung, gula, garam dan rempah ratus. Manakala Murabbiy adalah diumpamakan seperti seorang tukang masak yang mahir berkemampuan mengadun dan membancuh tepung hingga berjaya dimasak menjadi kuih/hidangan yang enak.


KONSEP MURABBIY DALAM GERAKAN

Dalam gerakan Islam khususnya gerakan pelajar seperti PKPIM, peranan melahirkan kepimpinan bertaraf Murabbiy mempunyai signifikasi dan kepentingan besar terhadap gerakan dari aspek membangun kepimpinan pelapis dan kaderisasi. Kegagalan melahirkan kepimpinan kampus mahupun Jawatankuasa Pusat serta Badan Gabungan Negeri yang mempunyai ciri-ciri Murabbiy boleh membawa kepada kepincangan Tanzim Haraki dan menyebabkan berlakunya gejala penyakit;

a. kelesuan gerakan.

b. wujud “one man show” atau kepimpinan dikuasai oleh kelompok tertentu.

c. membawa kepada gejala kelesuan dan kegersangan ahli baru seterusnya membatutkan perkembangan kaderisasi.

d. menjadikan sesuatu gerakan lebih bersifat “program oriented” berbanding untuk menjadi gerakan yang “mission oriented”.

e. akan wujud ahli-ahli yang gugur “mutasaqitun fi thoriqud dakwah”

f. menghadapi masalah penerusan kepimpinan. Akan wujudlah “vacuum” dalam proses transisi; dan lain-lain hingga boleh membawa kepada gejala keruntuhan jemaah/gerakan.


Justeru itu, kepimpinan bersifat “Murabbiy” adalah penting dan menjadi teras terutamanya dalam gerakan dakwah pelajar. Suasana pelajar/ mahasiswa yang masih dalam proses “learning and education” atau masih di peringkat Tarbiyah, amat memerlukan kehadiran “Murabbiy” sebagai pembimbing atau pendidik kepada mereka. Oleh yang demikian PKPIM mengambil langkah pro-aktif menginstitusikan “Murabbiy” bagi setiap unit gabungannya bagi memastikan dakwah Islamiyyah mengakar keumbinya.


CIRI-CIRI KEPIMPINAN /PENDAKWAH - Murabbiy

Asas pembinaan seorang “Murabbiy” berkait rapat dengan konsep pembinaan Pendakwah. Berbicara tentang Dakwah dan Pendakwah dalam Islam, semestinya elemen “Murabbiy” / pendidik tidak boleh dipisahkan. Berikut dikemukakan beberapa pandangan tokoh dan ulama’ dalam membinan asas keperibadian unggul Pendakwah.

1. Buku : Gerakan Islam: Kepimpinan – Syura –Tarbiyah, Zawawi Ali dan Mohammad Kamil Abdul Majid, menyatakan antara sifat-sifat Qiyadah dalam membimbing Harakah masakini perlu berteraskan ciri-ciri dan sifat kepimpinan Rasullullah s.a.w iaitu:

a. Keberanian dan keazaman yang kukuh.

b. Sabar dan berpendirian teguh – dalammengharungi segala rintangan, ujian dan siksaan kaum Quraish terhadap dirinya.

c. Keadilan dan Persamaan – Rasulullah s.a.w seorang yang bersifat adil dan mewujudkan persamaan contohnya Baginda turut sama dalam melaksanakan pembinaan Masjid pertama di Madinah. Baginda juga turut menggali Khanda / parit dalam peristiwa Ahzab.

d. Peribadi dan Watak yang Sempurna – keperibadian dan budipekerti Rasulullah s.a.w amat meyakinkan.

Sheikh Fathi Yakan, Musyhkilatu da’wah wad-da’iyah menulis tentang sifat-sifat pendakwah sepertimana berikut:

a. Kebersihan Jiwa dan Rohani
- perlu sentiasa ikhlas
- sentiasa mengingati Allah swt.
- Selalu memperbaiki ibadahnya, membanyakkan amalan sunat dan - tidak meninggalkan tahajjud.

b. Kesihatan Badan dan Kekuatannya

-Menjaga kesihatannya kerana kepimpinan dan pendakwah penuh dengan pemikiran, kerja dan perjuangan yang bersambung-sambung dan tidak henti-henti.

c. Keupayaan Akal dan Fikiran

- Pemimpin, fikiran dan mindanya haruslah terdiri dari pelbagai bahan tidak hanya terhad kepada ilmu Islami sahaja tanpa mendalami ilmu-ilmu lain.

- Berupaya juga menganalisis persekitaran dengan menggarapkan ilmu pengetahuan dan maklumat yang sedia ada dengan menjadikan pengalaman sebagai panduan berteraskan kepada Al-Quran & As-Sunnah.

Seterusnya beliau menambah bahawa ada beberapa sifat-sifat yang perlu bagi Pimpinan:

a. Mengenali Dakwah – mengenali organisasi dan matlamat perjuangan (ada hubungan)

b. Mengenali Jiwa – mengetahu kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya sendiri

c. Perhatian kepada ahli-ahli – mengambil tahu hal-ehwal pengikut.

d. Tauladan yang baik (al-Qudwatul Hasanah)

e. Pandangan yang tajam – tidak mempunyai sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas.

f. Kemahuan yang kuat

g. Daya Tarikan semulajadi

h. Optimisma

Sayyid Sabiq juga menyatakan berkenaan sifat pemimpin seperti berikut:

a. Seorang pemimpin itu mesti selalu membuat musyawarah dan jangan membuat keputusan sendiri.

b.Hendaklah seorang pemimpin itu bersifat lemah-lembut dan pengasih kepada pengikut-pengikutnya.

c. Dalam konteks melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, hendaklah pemimpin itu melarang ahli-ahlinya daripada melakukan maksiat.

d. Hendaklah seseorang pemimpin itu menghubungi pengikut-pengikutnya dan mengetahui keperluan mereka.

e. Hendaklah pemimpin itu menyerahkan tugas-tugasnya bertepatan dengan orang yang selayaknya.

REALITI KAMPUS & GERAKAN

Suasana generasi muda yang dihadapi oleh pendokong-pendokong gerakan dan pendakwah kini amat mencabar kerana pengaruh besar globalisasi, kesan-kesan negatif post-modernism disamping ancaman unsur-unsur percubaan mengurangkan Imej Islam serta imej negatif “dakwah” yang dijuruskan oleh barat sebagai Terrorisme. Generasi muda kini juga lebih bersifat “metrialistik” dan tersadur dengan budaya “simplistic” yang membawa kepada meluasnya budaya “hendonisme” sehinggga menyebabkan hilang jatidiri dan merosakkan – jasmani, rohani, fizikal dan mental. Wujud juga usaha-saha merobotkan Generasi muda dan unsur-unsur tidak langsung yang bersikap melemahkan tahap keintelektualan Mahasiswa. Disamping itu wujud tekanan-tekanan semasa daripada pihak berautoriti.

Justeri itu, suasana kini, menjadikan suatu keperluan bagi mewujudkan pendakwah / kepimpinan yang bersifat “Murabbiy” dengan melaksanakan pendekatan Dakwah Bil-Hal dan bersabar serta berstrategi dalam bergerak.

Rasulullah tetap terus bersabar ketika berdakwah dan berdoa:

Ertinya : “Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak menegerti”.

Dalam pengertian ini al-Iman Asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:

“Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”.

Renungan : Syair gubahan Abi Al-Aswad Addualy:-

“Wahai orang yang memberi pelajaran kepada orang lain, mulailah dari dirimu sendiri hingga kau berilmu,
Engkau memberi ubat kepada orang sakit hingga baik, sedangkan kau sendiri berpenyakit;
Maka mulaikah denganmu, cegahlah dari kelalaian, jika selesai maka kaulah seorang yang arif bijaksana;
Pastilah orang akan mengikuti, jika engkau mengajak dan menjalankan apa yang engkau dakwahkan, dan menerima semua ajaran-ajaranmu;

Janganlah melarang perbuatan sedangkan engkau sendiri mengerjakannya, aib besar bagimu jika kau lakukan itu.”

Tuesday, August 4, 2009

MAHASISWA ISLAM BERDAKWAH ATAU BERPOLITIK?

(Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm)

DALAM tempoh dua minggu ini, terdapat dua program penting melibatkan mahasiswa Islam.Pertama, pelancaran Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai lalu.

Program kedua ialah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 8 Ogos ini. Ia dianjurkan sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM Ke-48 dan pelancaran buku PKPIM, Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011).

Kelab Damai IPTA ialah program terbaru DAMAI yang diperbadankan pada 2006. DAMAI ialah sebuah organisasi masyarakat sivil Islam. Ia bertujuan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama gerakan Islam melalui satu gagasan bagi mencapai matlamat kecemerlangan semua bidang dan aktiviti dalam lingkungan syariah.

Kelab Damai IPTA berfungsi sebagai perantara persatuan Islam di kampus dengan penyaluran bantuan dan sokongan untuk aktivitinya. Ia berperanan merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi membantu memperkasa persatuan-persatuan tersebut.

Penubuhan kelab ini selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 apabila mahasiswa dibenarkan bergabung dengan organisasi luar kampus. Bagi PKPIM – yang hampir terkubur akibat pindaan AUKU (1975) – program MPAT kembali memungkinkan mahasiswa Islam menghadirinya.

Pindaan AUKU (2009) kelihatan menjanjikan gerakan mahasiswa Islam yang makin rancak. Tetapi adakah kerancakan itu akan menyamai atau mengatasi zaman keemasan gerakan mahasiswa era 1960-an hingga 1974? Adakah ia akan menandingi kerancakan ketika melonjaknya era dakwah kampus mulai 1970-an? Atau, adakah ia akan menghasilkan sesuatu yang baru? Hanya gerakan mahasiswa Islam yang ada jawapannya.

Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar Islam di Malaysia bermula pada 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Asia Barat. Mereka dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang memulakan gerakan keilmuan Islam ke arah pembangunan sosioekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.

Tetapi, jika menggunakan istilah “mahasiswa Islam”, tanda permulaan misalnya boleh merujuk kepada peranan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), yang antara sumbangan awalnya ialah mendesak kerajaan membina masjid berhampiran kampus tersebut.

Ini diikuti dengan penubuhan PKPIM di Asrama Kedua UM pada 1961. Tujuan asalnya ialah menggabungkan semua persatuan pelajar Islam selain menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini dengan persatuan pelajar Islam luar negara.

PKPIM ditubuhkan kerana merasakan dua buah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan yang sedia wujud ketika itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan mahasiswa dan pelajar Islam.

Ketiga-tiga persatuan mahasiswa dan pelajar di peringkat kebangsaan ini menjadi sebahagian gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu badan induk bagi gerakan belia.

Sedekad selepas penubuhannya, iaitu pada 1971, PKPIM bersama-sama dengan PMIUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), menjadi pelopor program Gerakan Kempen Kesedaran (GKK). Ia untuk menimbulkan kesedaran mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati pembangunan negara dan menyampaikan dakwah serta menekankan keperluan perubahan sikap sesuai dengan tuntutan masa.

Pada tahun yang sama, PKPIM menganjurkan seminar yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam. Seminar itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya, yang kemudiannya menjadi dewan besar Kampus Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila ditubuhkan kira-kira sedekad kemudian.

Apabila AUKU dipinda pada 1975, PKPIM bingkas menentangnya, dan sehinggalah AUKU dipinda pada 2009, ia merupakan pertubuhan pelajar paling lama dan konsisten perjuangannya berhubung AUKU. Mutakhir, dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai lalu, antara lain, terdapat ‘saham’ PKPIM di dalamnya.

Namun, sumbangan terpenting ialah penyuburan program dakwah dan tarbiah serta tradisi intelektual Islam di kalangan mahasiswa.

Menjelang dekad kelima kewujudannya, Presidennya, Mohd Hilmi Ramli berkata, kongres pada Sabtu ini bertujuan memberi makna dan kefahaman jelas akan teras-teras kenegaraan dalam mendepani isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia. Ia juga untuk merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat.

Kongres ini juga ingin mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan “1Malaysia” dan gagasan “Politik Baru”.

Sejak bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sering diajukan dengan soalan: Apakah sebenarnya teras pendekatan gerakan mahasiswa Islam – berdakwah atau berpolitik?

Saya tidak pasti apakah soalan ini sebagai mengimbau frasa yang dipopularkan bekas Ketua Dewan Dakwah Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir, “berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah”, atau dibuat atas niat lain.

Pada saya, umumnya gerakan mahasiswa Islam kita adalah berteraskan dakwah dan tarbiah. Ada yang turut membicara dan menyuarakan soal-soal politik. Dalam hal ini, kita perlu menganalisisnya dengan kebenaran dan keadilan.

Sebagai contoh, ia tidak bertentangan dengan AUKU (2009). Kita juga tidak mahu jika ia langsung tidak mempedulikan politik. Begitu juga, ada perbezaan antara suara politik kepartian dengan politik non-partisan.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengehakupayakan gerakan mahasiswa Islam dalam memenuhi makna ayat al-Qur‘an: “Sesungguhnya mereka itu orangorang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Al-Kahfi: 13)

DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH ialah

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.