Thursday, December 25, 2008

TANGGUNGJAWAB


Suatu ketika dulu, pernah saya lakarkan puisi mengenai tanggungjawab. Akhirnya, saya temui pengertian mendalam daripada ayat-ayat ini :

'Seonggok kemanusiaan terkapar, siapa yang mengaku bertanggungjawab? Bila semua menghindar, biarlah saya yang menanggungnya, semua, atau sebahagiannya...'

Ust. Rahmat Abdullah


TAYANGAN PERDANA

FORUM MAAL HIJRAH 1430 H

Tuesday, December 9, 2008

CATATAN AIDILADHA

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

LailahaillahuwAllahuakbar

Allahuakbar walillahilhamd…

Takbir aidiladha tahun ini begitu sayu di hati. Sesayu kesunyian sambutan hari raya diri ini, mahupun masyarakat Malaysia amnya. Beberapa hari lepas, diri ini tidak begitu memikirkan sambutan aidiladha seperti tahun-tahun sebelumnya................................

Isnin petang minggu lepas, dalam perjalanan ke kampus PAUIAM PJ bersama beberapa orang teman, tidak tersangka kami melihat kejadian tanah runtuh di satu tempat di Damansara. Pulangnya melalui tempat yang sama pun hanya dapat melihat beberapa kenderaan berjaya di tarik keluar daripada runtuhan tersebut. Esoknya, berita kejadian terpapar di dada akhbar. Khamis minggu yang sama, Malaysia digemparkan pula dengan kejadian terburuk selepas kejadian Highland Tower. Bukit yang menjadi kawasan tadahan hujan akhirnya memusnahkan mereka yang senang lenang bermaharalela di atasnya. Beribu-ribu penduduk di beberapa taman di Bukit Antarabangsa terpaksa menghadapi dugaan ini dengan tabah. Saya tidak menyangka sehari sebelum aidiladha, saya dan beberapa teman diperlukan untuk membantu pusat bantuan bencana di SK Hulu Klang. Nasib diri yang ditentukan tidak sibuk untuk beraya di mana-mana membolehkan diri menyumbangkan sepenuh tenaga yang tersisa dan masa yang ada untuk berada sehari di sana bersama beberapa orang doktor daripada GPM, teman-teman ABIM dan PKPIM. Keadaan tidak begitu sesak seperti yang digambarkan namun kepenatan dan kebimbangan semua sukarelawan sudah cukup menceritakan segalanya. Petangnya, beberapa sukarelawan muslim terutama ibu-ibu meminta diri untuk pulang memandangkan perlu melakukan sedikit persiapan untuk sambutan Aidiladha. Pastinya perkembangan berita di kaca tv memainkan peranan yang cukup besar ketika ini untuk menyampaikan maklumat situasi sebenar mangsa. Saya percaya seluruh rakyat Malaysia yang berada di sini mahupun yang sedang menunaikan ibadah haji, mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan mereka yang menghulurkan bantuan. Tiada nilai sumbangan yang diberikan oleh kami jika dibandingkan dengan petugas keselamatan dan mereka yang terpaksa bersengkang mata berada di tempat kejadian utama.

......begitulah putaran kehidupan, beberapa pilihan telah dirancang sebelumnya untuk menyambut aidilada bersama beberapa orang teman yang senasib tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. Perancangan Dia lebih baik sebenarnya untuk kita. Akhirnya segala yang di rancang hanya tinggal perancangan kerana Dia pemilik hati-hati hambanya. Wallahualam..

::Begitu merindui ’open house’ PERKEPISMA, dan mungkin juga kali ini yang terakhir; perjuangan menuntut pengorbanan::


SALAM AIDILADHA

MAAF ATAS SEGALA KHILAF


Wednesday, December 3, 2008

SUMBANGAN DAN CABARAN MAHASISWA ISLAM DALAM PERJUANGAN BAHASA

Oleh Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
Sumber : http://www.pkpim.net/modules/news/article.php?storyid=416


Mereka telah bangkit
Dari buku yang dibacanya
Dari tembok yang melindunginya
Dengan bendera dan lilit kepala

Mereka telah bersuara
Demi bumi tanahair yang subur
Demi Islam yang mengajar hidup berani
Demi janji yang kini telah dimungkiri

Mereka sekarang telah bangkit
Di tengah-tengah gelombang zaman
Dari keperibadian yang telah tertindas
Untuk masa depan warisan keturunan

Dari BAHASA lidah zaman hidup kita
Kebangkitan ini pancang detik batu-tanda
Untuk pelaksanaan SATU BAHASA
Yang berdaulat menyinar mutiara

1967, Usman Awang

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha mengasihani, makalah ini dimulakan dengan puisi ‘Mereka telah Bangkit’ karya Usman Awang, yang memberi konotasi besar kepada ledakan kebangkitan mahasiswa Islam pada waktu itu di dalam memperjuangkan isu bahasa.

Penulis sejujurnya menghadapi kesukaran di dalam mencari bahan yang menerangkan penglibatan PMIUM di dalam perjuangan bahasa di dalam tempoh kegemilangan gerakan mahasiswa dalam era 70-an. Yang banyak kehadapan di dalam memperjuangkan isu bahasa ini adalah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Namun demikian, setelah di geledah dokumen-dokumen lama dalam catatan gerakan mahasiswa, penulis dapat membuat bacaan bahawa gerakan di dalam PBMUM dan PMIUM secara dasarnya adalah bergerak secara selari dan seiring. Dapat dilihat secara jelas apabila kepemimpinan mahasiswa Sdr Anwar Ibrahim yang pada awalnya memimpin PMI dan kemudian menerajui PBMUM sebagai Presiden pada sesi 1969/70. Pada masa yang sama juga Sdr Anwar Ibrahim telah diangkat untuk menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun yang sama.

Dikukuhkan lagi apabila telah termaktub di dalam perlembagaan PKPIM sebelum penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, meletakkan PMIUM sebagai salah satu badan gabungan PKPIM.

Daripada ini, penulis dapat beranggapan bahawa segala gerakan perjuangan bahasa yang dilakukan oleh mahasiswa era 60an dan 70an adalah secara kolektif dan tidak tepat jika hanya banyak mengenengahkan satu-satu pihak sahaja.

Di dalam makalah ini, penulis akan menyentuh tentang aspek sejarah perjuangan bahasa di kalangan mahasiswa Islam, kepentingan bahasa melayu dan beberapa permasalahan semasa serta saranan-sanaran yang dapat diberikan demi perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu.

Sejarah Perjuangan Bahasa di kalangan Mahasiswa era 70an

Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996.

Perjuangan bahasa dikalangan mahasiswa pada era akhir 60-an dan awal 70-an adalah menuntut pelaksanaan yang sepenuhnya daripada pihak kerajaan untuk dilaksanakan dasar pelajaran. Dalam pada masa yang sama mereka menuntut agar pelaksanaan sepenuhnya bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti dan martabat bahasa melayu diangkat dengann lebih serius di dalam dasar negara sejajar dengan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Di awal perjuangan tersebut PBMUM banyak mengetuai gerakan pemerkasaan bahasa yang menuntut agar bahasa Melayu diaplikasikan secara total di setiap institusi. Antara agenda besar yang telah diadakan oleh mahasiswa pada ketika itu adalah dengan menganjurkan Seminar Bahasa Kebangsaan pada tahun 20 Julai 1966 dengan bertemakan “Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Pengantar di Universiti Malaya”. Malah ketika itu mahasiswa terutamanya di dalam PBMUM, berasa sangsi terhadap cita-cita pemerintah di dalam soal pelaksanaan bahasa kebangsaan. Lebih daripada itu, mahasiswa Islam juga membidas pihak universiti mengenai usahanya kearah pelaksanaan Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan universiti.

Dalam satu sumpah keramat mahasiswa sewaktu Seminar Bahasa Kebangsaan diadakan, dalam pidato YDP PBMUM 1966, Ismail Daud mengungkapkan;

“Kepada pemimpin yang sedang mengutarakan teori penggunaan bahasa lain secara super natural, kami meminta, kami menuntut dan akan kami desak supaya mereka memberi satu definisi yang tegas tentang teori super liberalnya. Kerana bagi kami daripada generasi baru yang tulen, intrepetasi super liberal itu adalah seolah-olah tidak ada sekatan atau tidak ada dasar langsung dan kami mengintrepetasikan super liberal itu sebagai satu teori yang bertentangan sekali dengan kehendak Perlembagaan dan Dasar Pelajaran Malaysia sebagaimana yang tercatat dalam Penyata Razak dan Rahman Talib.

Kami juga amat menyesali sikap Tunku Perdana Menteri dalam ucapan baru-baru ini, yang menunjukkan beliau masih lagi mendewa-dewakan bahasa Inggeris, seolah-olah bahasa kebangsaan itu masih belum sanggup memainkan peranannya dalam pentadbiran dan pusat pengajian tinggi. Sedangkan kita semua sedar bahawa bahasa melayu digunakan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perniagaan pada zaman kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15.

Saya menegaskan, bahawa Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya tidak bisa berganjak dari tanggal 1 septemeber 1967 sebagai tanggal pelaksanaan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Malaysia Barat, dan bagi mereka yang masih belum insaf, sedarilah bahawa teori super liberal dan sikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris akan kami tentang habis-habisan.”

Renteran daripada ini, penumpuan yang lebih besar telah diberikan kepada isu bahasa dalam tahun 1969 dan 1970. Lebih-lebih lagi ketika itu mahasiswa kebanyakkan dipimpin oleh Sdr Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai pemimpin yang dinamik dan radikal.

Pada tahun 1970, mahasiswa telah mendapat semangat baru apabila Dato’ Abd Rahman Yaakob dilantik sebagai Menteri Pelajaran menggantikan En Khir Johari. Mahasiswa menaruh harapan besar kepada tokoh politik daripada Serawak itu, apatah lagi apabila kesungguhan yang ditonjolkan beliau dalam menubuhkan Universiti Kebangsaan dan pendirian tegas terhadap perlaksanaan dasar pelajaran kebangsaan.

Namun demikian Dato’ Abd Rahman Yaakob tidak lama dalam pejabat Menteri Pelajaran, hanya selama beberapa bulan beliau diistiharkan meletakkan jawatan dan akan menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak. Berita ini di terima dengan keadaan yang amat mengejutkan mahasiswa.

Pada 7 Julai, beberapa pimpinan PBMUM dan PMIUM telah bersama-sama pergi ke kediaman Tun Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Mahasiswa pada ketika itu, beranggapan bahawa Dato’ Abd Rahman Yaakob telah didesak untuk meletakkan jawatan. Walaupun pertemuan itu gagal, tetapi ianya hanya membuatkan mahasiswa bertambah berang.



Pada 9 julai, lebih daripada 2 ribu mahasiswa telah berarak membantah perletakkan jawatan tersebut dan akhirnya pada keesokkan hari mahasiswa disejukkan dengan berita bahawa Dato’ Abd Rahman akan datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan mahasiswa.

Dalam pertemuan antara Dato’ Rahman Yaakob dan mahasiswa, ianya telah mengubat kekecewaan dan kehampaan mahasiswa. Dalam ungkapan ucapan yang mengangkat kembali semangat mahasiswa adalah “Dasar itu telah disusun dan dikunci dengan rapi dan tidak seorang pun boleh merombaknya. Barang siapa yang cuba untuk merombaknya maka mereka akan terpaksa melangkah bukan sahaja mayat saya tetapi mayat Tun Abdul Razak”.

Demonstrasi Abdul Rahman Yaakob ini adalah aspek penting dalam perjuangan mahasiswa kearah pelaksanaan dasar pelajaran kebangsaan. Tetapi pergolakkan berlaku lebih hebat kemudiaannya, yakni apabila mahasiswa berhadapan dengan pihak universiti di atas soal Bahasa Malaysia. Ini berlaku pada tanggal 5 Oktober 1970, apabila PBMUM mengadakan ‘Operasi Ganyang’, iaitu mengecat merah dan menghitankan papan tanda-papan tanda di kampus, sebagai reaksi kepada tindak-tanduk uniersiti yang dianggap tidak patuh kepada kehendak-kehendak nasional dalam soal pelaksanaan Bahasa Melayu. Gerakan ini juga dinamakan sebagai ‘demonstrasi papan tanda’

Hasil daripada tindakan-tindakan ini, maka Prof Ungku Aziz yang menjadi naib Cancelor ketika itu membuat pengumuman penting berikutan dengan demonstrasi itu. Dasar bahasa Malaysia telah diistiharkan beliau kedudukan bahasa Malaysia di Universiti Malaya dengan penyataan bahawa majlis dan senat telah mengambil keputusan sebulat suara mengakui bahasa melayu sebagai bahasa rasmi di Universiti Malaya. Maka penuntut dan kakitangan-kakitangan yang fasih dalam bahasa Melayu akan diberi keutamaan.

Melihat kepada kronologi sejarah perjuangan mahasiswa terhadap isu bahasa Melayu ini, dapat memberikan satu kesedaran bahawa betapa besarnya sumbangan mahasiswa terhadap memertabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Mereka sanggup bekorban dan meletakkan komitmen yang besar serta iltizam yang tinggi di dalam perjuangan bahasa. Namun demikian, ini hanya ungkapan sejarah yang kita tidak wajur terlampau nostalgik, tetapi perlu mengenengah soalan apakah perjuangan bahasa dikalangan mahasiswa masih relevan dan perlu diteruskan pada dewasa ini?

Sudah pasti jawapannya adalah perjuangan bahasa adalah relevan sehingga ke hari ini, malah, perjuangan ini perlu lebih kedepan kerana cabaran yang dihadapi jauh lebih rumit dan kompleks berbanding 35 tahun yang lalu.

Permasalahan dan Cabaran semasa?

Senario kini berhubung kedudukan bahasa melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks fungsional yang menzahirkan kepentingan bahasa Melayu kepada rakyat Malaysia. Senario permasalahan tergambar pada beberapa perkara yang berikut:

1. Pengurangan peranan bahasa melayu dalam sisitem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan Peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus di IPTA dan juga pengecualian pengajaran bahasa melayu sebagai subjek wajib. Kebanyakan IPTA di negara kita menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang sains, matematik, dan teknologi yang kini meliputi hampir 70% pengajian di kampus-kampus tersebut. Menurut kajian oleh Kamal Shukri Abdullah Sani(2000), peratus mata pelajaran berbahasa Melayu di peringkat menengah atas (Tingkatan 4-6), Matrikulasi dan IPT jelas mengalami hakisan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantara untuk matapelajaran berasaskan sains dan matematik. Menurut kajian tersebut, terdapat fakulti yang menggunakan sehingga 91% bahasa Inggeris sebagai bahasa pangantar bagi kursus-kursus yang ditawarkan. Ini bermakna hanya 9% kursus yang masih menggunakan bahasa Melayu . Memetik daripada petikan akhbar Berita Harian yang bertarikh 9 Februari 2006, Datuk Seri Shafie Salleh yang ketika itu masih menduduki Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan kenyataan behawa IPTA akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya pada 2007. Ditambahnya lagi, bukan sahaja IPTA malah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sejak tahun lalu dan pelajar tingkatan 6 telah menggunakan bahasa Inggeris sejak dua tahun lalu.

2. Pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah secara menyeluruh dengan penggubalan dasar secara tergesa-gesa dan pelaksanaan selepas tempoh 6 bulan mengeruhkan lagi keadaan.

3. Globalisasi sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadang-kala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengutamakan penguasaaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian dalam bahasa melayu.

4. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan (The Star, 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan adalah tidak diwajibkan.

Kesan daripada cabaran

Pelaksanaan dasar secara mendadak ini dan keghairahan pihak berwajib dalam merombak dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan dilihat mampu memberikan kesan yang besar kepada pelbagai aspek terutama nilai budaya melaysia yang berpegang teguh kepada agama Islam dan ketimuran, kesan jangka masa panjang kepada sistem pendidikan dan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.


Nilai dan Budaya

Bahasa adalah merupakan kesan besar kepada penjajahan yang menduduki sesuatu negara. Penjajahan yang biasa difahami adalah dari sudut dominasi politik dan ekonomi kepada sebuah negara yang dijajah. Namun penjajahan baru atau ‘neo-kolonialisme’ meletakkan budaya dan bahasa sebagai penjajahan bahasa atau lebih khusus lagi adalah imperial linguistik. Malik Bennabi menyatakan bahawa kebanyakkan negara-negara Islam selepas penjajahan barat mereka masih mengekalkan penggunaan bahasa penjajah masing-masing, sehinggakan mewujudkan budaya bilingualisme dikalangan golongan elit, ahli politik dan birokrat. Di dalam bukunya Krisis Intelektual Muslim menyatakan bahawa;

“Bilingualisme akan mencipta kesan-kesan yang bertentangan
dengan kebudayaan kebangsaan.”

Secara ringkas, Malik Bennabi berpandangan bahawa dengan penggunaan bahasa bekas penjajah dikalangan masyarakat Islam telah memberikan kesan besar kepada cara pandang dunia dan sekolah pemikiran di kalangan masyarakat Islam. Malik Bennabi meletakkan Ali Abd Raziq sebagai salah satu contoh kesan daripada penggunaan bahasa penjajah. Beliau yang pada ketika itu mengajar di Al-Azhar, menulis kitab al-Islam wa Usul al-Hukm yang menyatakan bahawa Islam itu terpisah daripada sistem pemerintahan dan politik. Agama Islam adalah bersifat ritual yang menjadikan pegangan agama adalah hak individu. Penulisan beliau yang diterbitkan disaat-saat kejatuhan khilafah dan penyelewengan idea kesan daripada penjajahan bahasa itu, menyebabkan beliau diistiharkan kufur, atau terkeluar daripada Islam pada saat itu.

Penyataan ini diperkukuhkan lagi oleh hipotesis Sapir-Whorf, dua orang ahli sosiologi bahasa yang meletakkan bahasa sebagai aspek yang mewarnai pandang dunia seseorang cara ‘conceptualized’ cara manusia berfikir. Dalam pemahaman mudah adalah bahasa seseorang itulah yang akan menentukan budaya seseorang. Kalau diletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa seseorang, maka amalan budaya mereka pastilah barat yang dibudayakan. mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan lagi dengan acuan budi bahasa dan jati diri melayu lagi.

Ada sebuah kajian mengenai usaha pengekalan penggunaan bahasa melayu di singapura. Kajian ini dilakukan oleh seorang pelajar sarjana. Beliau mengkaji sejauh mana bahasa melayu dipertahankan dan ditinggalkan oleh masyarakat melayu singapura sejak 1965 setelah bahasa Inggeris digunakan dengan meluas. Kajian itu dilakukan terhadap orang melayu daripada lima kelompok umur, iaitu yang berumur 6-12, 13-19, 20-29, 30-39 dan yang lebih daripada 40 tahun.

Dengan mengambil kira betapa dasar kerajaan singapura melaksanakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya, keputusan kajian ini menunjukkan sesuatu yang jelas. Bahasa melayu hanya dipertahankan denan kuatnya oleh mereka yang berumur 40 ke atas. Dalam pada itu pun penggunaan bahasa melayu itu hanya dalam interaksi dengan jiran dan hal-hal agama. Gaya hidup ini berterusan. Bagi yang lebih muda, bahasa melayu semakin kurang digunakan, tidak dengan jiran dan tidak juga dengan aktiviti agama. Fenomena ini akan tetap merubah nilai budaya dan jati diri kita. Ini telah pun berlaku kepada pemuda Cina sebagaimana yang dikatakan oleh bekas perdana menterinya Goh Chok Tong (Addressing The Nation, Julai 1997). Beliau berkata, “Setelah 25 tahun melaksanakan pendidikan dalam bahasa inggeris, maka mereka telah mewujudkan satu generasi muda yang tidak lagi menganut nilai-nilai China Timur”.

Pendidikan
Dasar Pendidikan Negara seperti yang termaktup di dalam perlembagaan Malaysia telah meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan. Namun demikian setelah hampir lima dekat dasar ini dijalankan dengan memperlihatkan pelbagai kejayaan, dasar pendidikan ini berubah dengan penilaian semula selama hanya 6 bulan dijalankan.


Tindakan ini memberikan kesan yang besar kepada pelajar sekolah. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh D. Hall di dalam bukunya The Assessing the Needs of Bilingual Pupils, menyatakan bahawa untuk menguasai keseluruhan kemahiran literasi ataupun kefasihan kognitif dalam bahasa akademik pelajar-pelajar memerlukan masa selama lima hingga tujuh tahun. Tegasnya lagi, kefasihan dalam bahasa kedua tidak dapat dicapai dalam jangka masa yang singkat terutamanya kefasihan bahasa kedua sebagai penghantar ilmu .

Bahasa dan kesatubangsaan
Bahasa adalah alat penting untuk menyatukan bangsa. Tambahan pula negara majmuk seperti di Malaysia. Gerakan menyatupadukan rakyat Malaysia melalui satu bahasa kebangsaan mempunyai sejarah yang amat panjang. Ia bermula dari tahun 1957 lagi dengan Penyata Razak. Pihak berkuasa merasakan satu dasar yang sama sahaja yang akan dapat memastikan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dapat di capai. Penyata Razak antaranya menegaskan:

“It is hoped that this concerted use of the National Language… will
inculcate in all citizen the habit of using it regularly. It is only in this
way that they will feel they belong to this country, and that the
National Language is a real living force that binds them together”

Masalah kesatubangsaan yang cuba ditangani melalui bahasa sendiri turut dialami oleh Amerika Syarikat. Amerika sendiri mempunyai ramai kaum minoriti yang menetap di negaranya, Kaum minoriti ini pula berbagai jenis kaumnya. Maka pihak berkuasa Amerika merasakan peri pentingnya peranan bahasa Inggeris dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa dahulu .
Maka, digubalnya satu dasar bahasa di Amerika Syarikat:

“ Americanism, they argue, loses something in the translation,
while English offers the only key to the nation’s democracy,
histoty and Culture. Language thus becomes a literal shibboleth
of nationality, a badge of true Americanism., and anything
less than fluency in English a foreign accent, let alone the
maintenance of a minority tongue-is perceived to threaten
national security and subvert the national ideal.”
(Dennis Baron, 1990)

Nyatanya bahasa sebenarnya menjadi alat penting kepada kesatubangsaan dan perpaduan antara kaum. Ini secara langsung membina identiti dan jati diri negara dengan kesatuan budaya, budi bahasa melalui bahasa. Namun demikian, kesan yang begitu besar yang pasti berlaku jika elemen bahasa di dalam pembinaan negara bangsa, seperti mana yang berlaku di Sri Langka. Konflik yang berlaku antara kaum minority tamil dengan kaum minoriti Singhalese. Contoh lain adalah ancaman perpisahan antara kaum yang berbahasa Perancis di Quebec, Canada. Begitu jugalah halnya yang berlaku dengan kerajaan Belgium yang silih berganti kerana masalah penggunaan bahasa Walloon atau Flemish.

Apa selepas ini?

Mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan
Penggunaan bahasa yang baik dapat meningkatkan serta memperkasakan jati diri kita. Ini boleh dibudayakan melalui pendidikan. Tetapi rakyat Malaysia kini termasuk mahasiswa seperti dalam keghairahan untuk menguasai bahasa Inggeris yang dianggap besar dan hebat sehingga mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini menjurus kepada sifat lupa asas kekuatan jati diri untuk menjadi rakyat yang cemerlang.



Institusi pendidikan Negara kembali memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sendiri telah meletakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti. Malangnya, yang disibukkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk meminda akta tersebut bukan handak melihak kepada aspek pembangunan dan keterbukaan pendidikan tetapi adalah untuk meminda fasal yang memperuntukkan bahasa Melayu di IPTA, dialihkan kepada pengantar bahasa Inggeris di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Berita Harian, 2 Feb 2006).

Dalam aspek yang sama, Universiti Kebangsaan Malaysia pada awal penubuhannya adalah bermatlamatkan misi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan ketamadunan, tetapi malangnya universiti inilah antara yang awal melaksanakan bahasa Inggeris sebagai pengantar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di universiti tersebut. Ini perlu dikaji semula kerana perlaksanaan dasar tersebut membuatkan UKM sudah lari dari objektif asal dan matlamat universiti .

Dalam aspek yang berkait rapat, semua pihak perlu menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina sahsiah dan jati diri generasi kita, termasuk dalam soal penggunaan bahasa dan kecintaan kepada bahasa warisan bangsa, sekalipun kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa asing. Di sekolah dan di institusi pendidikan yang lain, penekanan perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa rasmi, di samping penguasaan bahasa lain seperti bahasa Cina dan bahasa India untuk keperluan dalam kehidupan. Pelajar mahupun mahasiswa mesti diberi kekuatan menggunakan bahasa yang baik, teratur dan berkesan . Anggapan bahawa bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Guru pula patut menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur. Di matrikulasi, maktab, dan di universiti pun penguasaan bahasa yang baik perlu terus diberi penekanan.

Kita perlu mengambil contoh dari negara seperti Jepun, Korea, German dan Perancis yang telah membuktikan kejayaan mereka dalam pentas dunia melalui bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka tidak pula berasa malu bahkan amat berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Namun, kita tidak seharusnya menafikan kepentingan bahasa Inggeris, bahkan kita perlu menguasainya dengan cemerlang kerana kedudukannya sebagai lingua franca dalam era global ini. Cuma kita menuntut agar jangan sampai bahasa Melayu dianaktirikan seolah-olah melukut di tepi gantang dan sehingga kita hilang identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh
Penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan sebagainya . Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Serentak dengan itu, mutu bahasa yang digunakan dalam semua bidang hendaklah dikawal dengan tegas oleh pihak atau agensi yang bertanggungjawab, contohnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Membina industri buku terjemahan.
Taiwan merupakan satu contoh yang baik bagi menunjukkan bagaimana industri terjemahan dapat berkembang maju, sekali gus membangunkan ilmu dalam bahasa Cina. Dasar bahasa negara tersebut “menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pendidikan” dapat memandaikan rakyatnya, dan betapa rakyat yang berilmu tersebut menuntut supaya ilmu dibawa masuk ke dalam bahasanya. Jepun dan Korea juga tidak ketinggalan dalam menjayakan industri buku terjemahan mereka tetapi tidak sehebat Taiwan.

Taiwan membina sebuah industri ilmu yang bernilai RM 3.8 bilion satu tahun lantas membawa nama yang harum dan maruah yang tinggi bagi negaranya. Di Jepun dan Korea, gerakan penerjemah menjadi tanggungjawab nasional dan dianggarkan di kedua-dua negara itu kira-kira 20 000 hingga 30 000 judul buku diterjemah setiap tahun. Mereka menggegarkan ekonomi tetapi tidak meninggalkan tanggungjawab membina tamadun bangsanya .

Dasar yang tidak memihak kapada bahasa kebangsaan sendiri membunuh industri ilmu dalam bahasa peribumi sendiri. Sebagai contoh, lihatlah negara Filipina yang membuat dasar menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Keadaan ini merupakan bencana besar apabila industri ilmu tidak diwujudkan dalam bahasa peribumi. Bahasa Inggeris gagal mendemokrasikan ilmu, justeru hanya elit berbahasa Inggeris yang mendapat ilmu. Apabila hanya segelintir rakyat mendapat ilmu, negara tidak dapat dimajukan.

Kita boleh meniru strategi ini. Untuk mencapai hasrat ini dasar yang dapat menggalakkan industri ilmu dalam bahasa Melayu perlu digubal. Kita perlu melaksanakan dasar bahasa pendidikan yang mengupayakan atau memberdayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Secara objektif, itulah salah satu cara untuk memperkasakan jati diri kita dan menjaga identiti kita sebagai rakyat Malaysia.


Penutup
Akhir sekali, seperti kata pepatah yang berbunyi 'bahasa jiwa bangsa' jelas sekali bahawa bahasa Melayu itu menjadi nadi penggerak yang amat penting di dalam menzahirkan identiti diri kita sebagai warga jati bangsa Melayu Islam. Jika mahasiswa dulu sanggup bertumpah darah dan keringat bagi memperjuangkan bahasa, tragedi keranda 152, demontrasi papan tanda, mogok utusan, demontrasi Abd Rahman Yaakob, masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Betapa sensitif dan besarnya sumbangan mahasiswa, menuntut agar bahasa melayu menjadi bahasa pengantar universiti dan pendidikan, memertabatkan bahasa melayu di bumi Malaysia. Tapi kini, mahasiwa era globalisasi seakan bersetuju bahawa untuk bersaing di dunia global, maka bahasa harus kita pertaruhkan. Mahasiswa seakan mengiakan apa yang berlaku, 3 tahun lepas sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris dan pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris secara menyeluruh pada tahun hadapan, selepas ini tidak tahu apa pula. Jika sikap dan fenomena ini tidak berubah, tidak menjadi sesuatu yang mustahil bahasa melayu akan pupus dan nilai budaya melayu keislaman hilang dalam diri masyarakat. Izinkan makalah ini di tutup dengan meminjam sajak keranda 152.

Senjata disandang dijulang
Tekad kukuh tujuan murni
Bahasa Usah dijual beli dangan Mutiara
Atau tolak ansur walau segaris kapur
Kerana ia hak mutlak perairan ini

Bahasa Melayu di keranda
Dada mana yang tak sebak
Telinga mana yang rela mendengar
Mata siapa yang bisa kutup rapat
Sedang kita dilahirkan dengan iramanya

Apa guna janji pada gelombang
Kalau sikap kita cuma ulam
Bahasa di keranda bisa diusung ke lahad
Kelaku itu apa bisa kita ratap dan pinta
Darah yang mengalir berubah warnanya

BIBLOGRAFI

1. Mohd Senu Awang, Bahasa Melayu Lanjutan. CELPAD Univeristi Islam Antarabangsa, 2003

2. Abdullah Hassan, Hubungan Kebudayaan dengan Bahasa, Konvensyen Mahasiswa Nasional Anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), K.L. 2004

3. Malik Bennabi, The Problem of Ideas In Muslim World. Petaling Jaya, 1994

4. Hall D, The Assessing the Needs of Bilingual Pupils, London, 1996

5. Kamal Syukri Abdullah Sani, Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur, 2000

6. Dr. Haji Awang Sariyan, Sisi Bicara Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,2004

7. Mohd Raimi Abd Rahim, Mengisi Penghayatan kepada Generasi Muda, Konvensyen Mahasiswa Nasional Anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Kuala Lumpur 2004

8. Abdul Rahim Bakar, Awang Sariyan, Suara Pejuang Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005

9. Keranda 152, Persatuan Linguistik Malaysia, 2002

10. Muhammad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat. Pustaka Antara, 1973

11. Richard T Schaefer, Sociology. Mc Graw Hill, 2003

12. Ali Abd Raziq, Islam dan Dasar Pemerintahan. Institut Kajian Dasar, 2005

13. Empat Dekat Satu Tekad: Koleksi Ucapan Dasar Presiden PKPIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 2002

14. Usman Awang, Puis-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Budaya. 1994

15. Dr Fawzia Bariun, Malik Bennabi: His Life and Theory of Civilization, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 1993

16. Philip G. Altbacth, Student Political Activism: An International Reference Hand Book, Greenwood Press. 1989


SELAMATKAN BAHASA MELAYU DENGAN MENYOKONG PETISYEN INI ;

http://www.pkpim.net/v2/info/petisyen.html