Puasa dan Detoksifikasi
Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.
Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”
Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”
Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)
Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti
Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali
Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di
Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.
Ramadan dan Kesihatan
Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr. Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )
Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, “Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang lain.”
Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.
Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.
Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications,
Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001)>dan lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001)>(Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.
Puasa dan Kesihatan Mental
Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa. Malah puasa juga mendatangkan kesan yang amat positif kepada otak haiwan. National Institute on Aging (Amerika) pernah melakukan kajian ke atas tikus-tikus. Tikus-tikus ini diberikan makanan mengikut jadual kemudian disusuli dengan berpuasa secara berselang-seli. Selepas itu sejenis bahan kimia toksik kepada saraf (neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan) kepada manusia diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa dalam bentuk seperti yang dinyatakan sebelum ini memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem sarafnya. Penemuan ini dilaporkan di dalam Proceedings of the National
Kajian dari Universiti
Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.
Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S., M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)
Bersahur dan Sains
Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” Begitulah status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.
Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.
Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, “Hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.” Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar (Pustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A.
Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.
BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.
Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.
Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, “Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur’.”
Konklusi
Tidak syak lagi puasa adalah kuasa. Hal ini disebabkan Ramadan bermanfaat untuk manusia moden dan kemanfaatannya pula adalah berbentuk menyeluruh lagi holistik Ia merangsang kebaikan dalam pelbagai aspek, antaranya di penjuru:
- Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
- Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
- Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang mendamaikan.
- Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
- Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera serta ketabahan memikul tanggungjawab.
- Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
- Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan Lailatulqadar.
- Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
- Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
- Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa dan bersolat.
- Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
- Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
- Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
- Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.
Memang benar, puasa ialah kuasa. Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Nabi bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)
Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)
Bacan lanjut di www.mindasuper.com