Tuesday, March 29, 2011

PROGRAM CERAMAH BERSIRI


Alhamdulillah pada 24 hingga 27 Mac yang lalu, saya berkesempatan menyertai program siri ceramah yang dianjurkan oleh KADZ Development Centre Sdn. Bhd. YBhg. Ustad Hj. Mohammad Hasnil Bin Abu Bakar, graduan Ijazah sarjana muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan sarjana usul fiqh daripada Universiit Malaya dan kini merupakan penceramah dan pembimbing jemaah haji Malaysia telah dijemput untuk mengisi program tersebut.

Beliau menyampaikan ceramah dan sesi motivasi rohani di PUSPEN Kuching pada 24 dan 25 Mac ditemani Pengurus bersama Hjh. Bebiyana Tambi Khan dan Encik Kipli Joni. Pada malam hari Jumaat, 25 Mac 2011, YBhg. Ustad menyampaikan ceramah bertajuk “100 manusia paling berpengaruh” di Surau Sinar Islam Pulau Melayu Miri.

Pada hari Sabtu, 26 Mac 2011, beliau dijemput menyampaikan dua ceramah pada Simposium Persatuan Pelajar Islam (SPPI) di SMK Pujut. Seramai 125 orang pimpinan dan ahli Persatuan Pelajar Islam (PPI) tingkatan 1 hingga 5 daripada enam buah sekolah melibatkan diri. Simposium diisi dengan dua ceramah bertajuk “Tuntutan Kepimpinan Pelajar Islam di Sekolah” dan “Cabaran Minda di Era Globalisasi” , diikuti dengan satu Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan tajuk perbincangan iaitu Cara Menambahkan Ahli Persatuan dan Cara Menambah Dana Persatuan. Hasil perbincangan dalam kumpulan dibentangkan pada sebelah petang diakhiri dengan majlis penutupan yang dihadiri oleh Puan Pengetua, Puan Sumarni.

Daripada pemerhatian dan penglibatan saya sebagai fasilitator LDK, ramai pelajar yang berpotensi menjadi pemimpin sesuai dengan kapasiti masing-masing yang terpilih sebagai pemimpin dan ahli PPI. SImposium ini gagal menghimpunkan wakil pimpinan PPI setiap sekolah di Miri walaupun usaha pertama kalinya ini merupakan Simposium Peringkat Daerah Miri. Mungkin kerana masalah teknikal menyebabkan beberapa buah sekolah tidak dapat menghadirkan diri. Hanya wakil PPI daripada SMK Pujut, SMB Chung Hua, SMK Merbau, SMK Luak, SMK Lopeng Tengah dan SM Sains menghantar wakil. Daripada hasil pembentangan dan perkongsian bersama pelajar; SM Sains mempunyai organisasi PPI yang teratur dan program yang terancang, antara aktiviti keilmuan yang diadakan seperti usrah dan ziarah dilakukan sesuai dengan para pelajar yang sepenuh masa tinggal di asrama penuh. SMB Chung Hua yang hanya mempunyai lebih kurang 50 orang pelajar Islam belum mempunyai organisasi. Walaubagaimapun, keterbukaan pihak sekolah untuk menggalakkan pelajar Islam menyertai aktiviti keagamaan di luar sekolah boleh di berikan pujian. SMK Lopeng Tengah pula mempunyai aktiviti Hari Rahoni yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Pada satu hari ini, semua pelajar berkumpul mengikut agama dan membuat aktiviti keagamaan masing-masing. Usaha kecil ini sekurang-kurangnya memberi kebebasan kepada pelajar untuk memberi pengisian yang terbaik untuk kefahaman agama mereka. SMK Merbau dan SMK Luak juga mempunyai PPI yang berfungsi dibantu oleh ustazah dan ustaz masing-masing. Pada sesi perbincangan dalam kumpulan, pelajar gagal melontarkan idea yang terbaik kerana beberapa faktor; tidak jelas dengan konsep kepimpinan dan organisasi, tidak memahami kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam persatuan dan tidak mempunyai kemahiran dan kurang pengalaman untuk membuat aktiviti. Justeru, perlunya ahli dan pimpinan PPI ini dikumpulkan sekali lagi dengan memberi input berguna, mungkin boleh dilakukan program bermalam di suatu tempat, kursus kepimpinan dan pengendalian organisasi selain benar-benar mencungkil bakat kepimpinan mereka. Jika kefahaman-kefahaman yang sesuai dapat di berikan maka Simposium akan menghasilkan idea dan cadangan bernas daripada pelajar selain dapat melihat kredibiliti kepimpinan mereka. Usaha ini bukan sekadar di dalam dewan selesa tetapi harus dengan istiqamah mengadakan pertemuan dan perbicangan bersama. Kursus mungkin boleh dibuat di peringkat sekolah masing-masing atau di peringkat daerah atau kebangsaan, agar nanti nampaklah bahawa minoriti muslim ini merupakan minoriti yang berkualiti dan menjadi ejen perubah masyarakat. Tonjolkan juga role model di kalangan pelajar sendiri kerana pengaruh rakan sebaya memainkan peranan penting. Pendekatan ceramah sesuai tetapi lebih berkesan jika disertai LDK yang mempunyai matlamat di iringi kefahaman kepimpinan dan pengurusan yang jelas. Tahniah kepada Pengetua Puan Sumarni yang memulakan inisiatif mengadakan simposium ini. Semoga diteruskan pada masa akan datang.

Pada hari Ahad, 27 Mac 2011, YBhg. Ustad menyampaikan ceramah Aqidah: Peribadi Anak Soleh di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup PERYATIM Miri. DImaklumkan seramai lebih kurang 80 orang pelajar dari umur 8 hingga 17 tahun menetap di sini. Kompleks Hamidah Yakup baru saja dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 22 Mac yang lalu. Dapat dilihat blok asrama baru. InsyaAllah pengambilan ahli PERYATIM yang baru akan diteruskan bagi memuatkan lebih kurang 200 orang lagi merangkumi kawasan Bintulu, Limbang dan Lawas. Pengurus Besar, Puan Hjh. Juliyanah merupakan Pengurus Besar PERYATIM Peringkat Sarawak dan kini sepenuh masa mengendalikan PERYATIM MIri. MUdah-mudahan usaha meningkatkan pendidikan setiap ahli PERYATIM menjadi agenda utama.

1 comment:

Anonymous said...

Wow.. Mantop.. =)