Tuesday, February 23, 2010

LELAKI TUA ITU

“ Along, hantarkan raket badminton ke tempat Angah sekarang,”


Jam sudah menunjukkan jam 6.00 petang; jam 7.00 pula aku perlu mengajar kelas Tusyen seperti selalunya. Apa lagi, mahu tidak mahu aku penuhi juga permintaan Angah. Dalam keadaan tergesa-gesa perlu pula mengisi minyak kereta di samping perlu sampai di tempat Angah dalam tempoh 15 minit. Selepas lampu isyarat terdapat sebuah stesen minyak. Sudahpun memberi signal ke kiri, tiba-tiba BANG…


Uncle ok?” Tanyaku separuh panik.


“Ok, ok” jawabnya. Pada masa yang sama dua orang lelaki membantuku mengalihkan motosikal lelaki tua itu ke tepi jalan.


Uncle ada rasa sakit di bahagian dalam tak?” takut-takut abdomen badannya cedera teruk.


“Sakit dada sikit.” sambil ku lihat pergelangan kaki kirinya luka.


“Takpe,saya hantar uncle ke klinik dulu” dia pun setuju.


Setibanya di klinik, kami berbual-bual sambil menunggu ketibaan doktor. Uncle nampak sangat mesra.


“Jangan risau dik, adik sembahyang lima kali sehari, uncle sembahyang dua kali sehari. Kita dalam lindungan Tuhan. Kawan saya kata kalau perempuan yang pakai tudung mesti sembahyang punya. Kawan muslim uncle yang cakap macam itu.” aku tersenyum walaupun kerisauan kerana takut dia cedera teruk. Belum lagi hal kerosakan motosikal tua miliknya yang sudah bersamanya dari tahun 1963 lagi.


“Ini baru kali kedua motosikal uncle itu terlibat dengan kemalangan selama ini” alahai mengapalah kali ini perlu melibatkan aku.


“Maaf uncle” itu saja dapat ku luahkan.


“Tak mengapa, silap uncle juga tidak toleh ke kanan, bagi laluan kepada adik. Harap Allah adik dan Tuhan uncle dapat memastikan enjin motosikal dapat hidup seperti biasa, mudahlah uncle nak pulang ke rumah” rendah dirinya melebihi kebimbanganku.


“Nanti uncle cakap saja dengan orang rumah, uncle dikejar anjing dan terjatuh. Benda kecil saja, takpe. Tuhan bersama kita” kata penganut agama Buddha ini, rasa bersalahnya aku.


Selepas diperiksa oleh doktor dan membayar semua bil, aku membawa lelaki tua itu ke tempat kemalangan untuk mengambil kembali motosikalnya. Sepanjang perjalanan, dia berborak lagi.


Uncle dulu kerja storekeeper saja, nasib baik ada EPF. Dapat EPF, uncle terus beli rumah. Uncle sempat jumpa Tun Abdul Rahman Yaakob, dia selalu jumpa tauke uncle sebab tauke uncle orang kaya ketika itu. Mereka bincang tentang pilihanraya. Pilihanraya kan banyak perlukan duit. Dulu uncle tinggal di Kuching, tapi sudah hampir 40 tahun tinggal di Miri” aku cuma mengangguk tanda mengiakan.


Setibanya di tempat kemalangan, uncle terus meluru kea rah motosikalnya dan cuba menghidupkannya.


“Ah, nasib baik masih hidup lagi. Lampu depan pun masih hidup. Terima kasih dan minta maaf ya dik” walaupun kerangka depan motosikalnya pecah dan papan nombor plat pun tanggal.


“Betul ke uncle nak bawa motosikal sebegini balik rumah. Dah malam ni. Minta nombor telefon uncle, bil kerosakan motosikal ni nanti macammana?”


“Takpe dik. Uncle tak suka mendapat belas kasihan. Kita sama-sama nanti kalau mati jumpa Tuhan kita juga dan kita akan berada di tempat yang kekal abadi di sana.” Kelu lidah ku mendengarnya dan ku hulurkan juga ringgit terakhir yang ada di dalam kocekku kepadanya walaupun dia menolak.


Selama pemanduanku bertahun-tahun, kemalangan sendiri begini adalah yang kedua sebelum yang pertama di Kuala Lumpur. Indahnya apabila bertemu ahli masyarakat yang hidup bertuhan di samping menghormati dan memahami agama orang lain. Semoga lelaki tua yang tidak sempat ku tahu pun namanya hidup bahagia bersama Tuhannya.